Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: 'JANGAN BAGI PELURU UNTUK DISERANG' - TGNA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

'JANGAN BAGI PELURU UNTUK DISERANG' - TGNA

26 Muharram 1433 H | 22 December 2011

Saya ingin memberikan sedikit ulasan berkaitan dengan Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat malam semalam yang memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini.

Saya menyokong sepenuhnya keputusan ini dan menganggap ia sebagai satu langkah yang terbaik untuk meredakan kemelut yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini.

Selaku Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS), saya suka memberikan jaminan bahawa Majlis Syura Ulama selaku badan pemantau kepada parti sama sekali tidak akan berpeluk tubuh jika dasar parti dilanggar atau dirombak. Justeru, dakwaan yang menyatakan bahawa Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden di dalam ucapan dasarnya di dalam Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini sudah tersasar dari perjuangan asal PAS adalah merupakan dakwaan yang tidak berasas.

Di pihak Majlis Syura, kita menganggap idea Negara Berkebajikan yang disebut oleh Dato Seri Presiden bukannya menggelincirkan PAS dari landasannya bahkan lebih mendekatkan masyarakat Malaysia kepada perjuangan PAS yang bercita-cita mendaulatkan Islam di dalam sistem pemerintahan. Dalam hal ini, negeri Kelantan yang telah 21 tahun ditadbir oleh PAS menjadi rekod dan testimoni yang nyata terhadap cita-cita murni PAS ini.

Saya juga menyeru kepada semua pihak di dalam parti tidak lagi menggunakan media massa milik musuh politik PAS untuk memperkatakan tentang masalah dalaman parti. Selesaikan perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman parti dan tidak memberikan peluru kepada musuh. Saya yakin, apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-allah.

0 comments:

Post a Comment