Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS TUNTUT PENJELASAN HASAN, NASHA DAN SAARI
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS TUNTUT PENJELASAN HASAN, NASHA DAN SAARI

26 Muharram 1433 H | 22 December 2011
PAS hari ini memutuskan untuk memanggil bekas Pesuruhjaya Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungip untuk memberikan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit mutakhir ini yang dilihat membazir masa parti.

“Penjelasan ini mesti dilakukan, supaya parti tidak lagi perlu membazir masa melayan pertikaian yang timbul akibat kecil hati terhadap sesuatu kesilapan yang kecil, ego berlebihan dan keengganan sesetengah pihak menerima keputusan parti dan jamaah,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan hari ini.

Melihat situasi pilihanraya umum yang semakin hampir, PAS kata Tuan Ibrahim tidak akan bertolak ansur dalam sebarang sabotaj sama ada dari dalam mahupun luar yang mengganggu persiapan akhir parti.

“Semua ahli mesti memainkan peranan sebagai team player untuk memastikan jamaah bergerak dalam keadaan baik dan harmoni.

"Seluruh tumpuan kerja mesti difokus kepada persiapan akhir ini daripada melayan karenah-karenah segelintir pemimpin yang ada berbeza pandangan terhadap dasar parti yang dijamin arahnya oleh Majlis Syura,” tegasnya.

Menggunakan media lawan milik Umno, Utusan Malaysia, Hasan, yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mempertikaikan dasar "Membangun Negara Berkebajikan" yang menjadi tema PAS sekarang ini.
Bagi Hasan, PAS sepatutnya kekal dengan dasar negara Islam yang telah menjadi perjuangan asal PAS.

Membalas hujah Hasan, Tuan Ibrahim menerangkan bahawa PAS ialah sebuah parti jamaah yang berdemokrasi, segala keputusan bukanlah keputusan individu tapi keputusan jamaah.

“Apabila keputusan telah dibuat, dan Majlis Syura telah mengesahkan bahawa keputusan tersebut selari dengan dasar Islam, setiap ahli PAS perlu bergerak pada arah yang sama untuk membawa parti mencapai matlamat yang disasarkan dan memenangkan Islam,” tegas beliau.

Dalam kenyataannya itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan ahli-ahli PAS kepada ungkapan ‘apa yang ada ialah hari ini, yang lepas tidak akan datang kembali, yang depan tidak menentu lagi'.

“Oleh itu, pendamkan dendam, buangkan kekecilan hati, ketepikan kepentingan individu  dan kembalikan fokus dan bergerak ke depan untuk memenangkan parti,” nasihat beliau. - harakahdaily

0 comments:

Post a Comment