Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: August 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

BERSIKAP JUJUR DENGAN SEJARAH, CAKAPLAH BENAR WALAUPUN IA PAHIT

2 Syawal 1432H | 31 August 2011


Isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas ini - "Apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?" ditafsirkan.

Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang. 

Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka. Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan. Maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.

Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero. Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?

Jika kedua-duanya pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.

Secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang  hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero.

Kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat? 

Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.

Namun demikian, kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. ‘Cakaplah benar, walaupun ia pahit.’

Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah.

Sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British – di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Ogos 2011

20 NGO SOKONG MAT SABU, MINTA POLIS LEBIH ADIL

2 Syawal 1432H | 31 August 2011

Angkatan Warga Aman Malaysia sambil melahirkan sokongan kepada Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan tanpa sikap pilih kasih ke atas aduan dibuat berhubung isu komunis dan pejuang kemerdekaan.

“Angkatan Warga Aman Malaysia yang mewakili 20 pertubuhan bukan kerajaan menyokong penuh pandangan Timbalan Presiden PAS sebagai betul. Mat Sabu telah mengecam laporan Utusan Malaysia yang mendakwa beliau telah menyokong pengganas komunis dalam insiden Bukit Kepong sebagai hero,” kata Setiausaha Agungnya S Barathidasan dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga kini, Ezam 'kebal' dari sebarang tindakan

Semalam, Timbalan Ketua Polis, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini sebanyak 49 laporan polis diterima dan kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan kenyataan Mohamad yang dikatakan menghina pasukan polis minggu lalu.

Sehubungan itu kata Barathidasan, pihaknya ingin tahu apa sudah jadi dengan Utusan Malaysia, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Senator Mohd Ezam yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan berunsur mencetuskan ketegangan kaum.

“Mengapa sehingga kini polis tidak mengambil apa-apa tindakan apabila Angkatan Warga Aman Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan lain membuat laporan ke atas mereka? Mengapa ada sikap pilih kasih? Adakah rakyat akan ada kepercayaan dan keyakinan ke atas PDRM kita?” kata beliau. - themalaysianinsider

ISU CERAMAH MAT SABU - SATU CUBAAN ALIH PERHATIAN RAKYAT

29 Ramadan 1432 H | 29 August 2011

Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah tidak benar.

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Ketika ditanya media tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia. 


"Selepas mendengar balik ucapan saya itu, didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengarpun nama Goh Pen Tun seperti yang disiarkan.

"Berita itu telah ditokok-tambah sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu," jelasnya.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi  menjelaskan isu ceramah tersebut bukanlah sesuatu yang besar sehingga memberi kesan kepada negara.


"Perkara ini sengaja dijadikan isu kerana BN sudah kehabisan modal untuk menyerang PR, khususnya PAS. Ianya diberi liputan meluas dengan harapan untuk mengalih isu utama yang sedang menghimpit rakyat seperti bebanan kos kehidupan, isu pemberian status warganegara dan daftar pemilih warga asing.

"Oleh itu jangan kita hilang fokus terhadap isu utama yang mesti kita perjuangkan untuk kepentingan rakyat," tegasnya.

REFERENDUM RAKYAT JAWAPAN KEPADA KEMELUT LYNAS

PAS tetap konsisten dengan isu Lynas
29 Ramadan 1432 H | 29 August 2011

Isu Lynas, yang menjadi kontroversi kini bertambah hangat apabila Ahli Parlimen Hulu Langat PAS, Dr Che Rosli Che Mat, yang merupakan pakar nuklear mengeluarkan kenyataan bahawa kilang Lynas adalah sebuah kilang yang selamat untuk beroperasi di negara kita, dan tidak perlu dibimbangi oleh penduduk di sekitar Kuantan khasnya.


Selain Che Rosli, golongan yang menyokong projek Lynas ini terdiri daripada beberapa pakar tempatan dan luar negara termasuk pemantau antarabangsa dan juga kerajaan negeri.


Disebabkan pihak yang menyokong pembinaan kilang ini adalah kerajaan sendiri, maka ia juga menarik sama ahli-ahli Umno dan komponen parti Barisan Nasional yang lain untuk turut menyokong projek ini.

Kumpulan yang menyokong telah menggunakan kekuatan media perdana, dialog terus dengan penduduk dan NGO serta pelbagai promosi bagi meyakinkan penduduk ia adalah projek yang selamat dan tidak perlu dibimbangi.

Dalam golongan yang menentang pula, ia terdiri dari beberapa orang  pakar alam sekitar, pakar kesihatan awam, pencinta alam yang disokong oleh beberapa NGO seperti Badar dan “Save Malaysia! Stop Lynas!” dan pemimpin parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Ia diketuai oleh Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh yang terkenal dalam mengambil inisiatif utama dalam memperjuangkan isu menentang Lynas ini dengan saudara YDP PAS Indera Mahkota  Nasrun Amir dan dibantu oleh Anadansura, Ustaz Suhaimi Saad Ketua Penerangan Negeri dan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang diketuai oleh Zulkifli Mohamad Omar serta berpuluh NGO lain.

AGENDA TERSIRAT DI SEBALIK PEMUTIHAN PATI

Apakah yg tersirat di sebalik program pemutihan PATI ini?
27 Ramadan 1432 H | 27 August 2011

Kerajaan Malaysia terutama Kementerian Dalam Negeri (KDN) diingatkan agar tidak ghairah untuk memutihkan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini, sebaliknya memberikan lebih tumpuan bagi membersihkan daftar pemilih untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 tidak lama lagi.

Namun tindakan kerajaan BN menerusi KDN yang begitu bersungguh-sungguh melaksanakan program pemutihan Pati ke negara ini sekarang amat meragukan kerana ia dilihatkan seperti mempunyai muslihat tertentu. 


"Kita sendiri pun menjadi hairan apabila warganegara asing terlalu mudah dapat taraf warganegara ini. Jadi kita bimbang program pemutihan Pati itu juga turut memudahkan lagi usaha Kerajaan BN mendapat pengundi klon yang sekarang sudah begitu besar jumlahnya," katanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato'  Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis tazkirah di ibu pejabat Harakah. 


Katanya lagi, PAS yakin Kerajaan BN dan agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab tahu perkara itu dan dapat mengatasinya jika benar-benar dikehendaki. 


"Kelihatan ada mainan antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku pembekal data dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku pengguna data JPN itu. 


"Menteri Dalam Negeri mesti bertanggungjawab dalam hal ini. Rakyat sedang mendesak Kerajaan BN membersihkan data pemilih, bukannya pemutihan Pati. 


"Jadi sebelum memutihkan Pati, Kerajaan BN mestilah membersihkan data pemilih bagi pilihanraya terlebih dahulu. Jika tidak tak payahlah Kerajaan BN nak putihkan Pati kerana ia bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah lagi," katanya. - harakahdaily

PERUTUSAN EIDUL FITRI PJ PAS PAHANG

25 Ramadan 1432 H | 25 August 2011

Eidul fitri bermaksud kembali kepada fitrah. Fitrah asal kita yang suci bersih, patuh dan taat kepada perintah Allah.

Hari raya yang mengingatkan kita betapa satu waktu dahulu kita solat berjamaah setiap waktu,  kita mengaji Quran di rumah tok guru, kita bermain dengan adik abang kita , berlari seronok bersama ayah ibu, kita bahagia bersama kawan- kawan dengan gurauan dan tawa, bersama baju baru dan kasut baru- walau hanya kasut plastik warna putih.


Hari ini kita diminta ingat dan kembali kepada fitrah ketaatan kepada perintah Allah. Kebahagiaan bersama keluarga tanpa derhaka kepada Allah, kembali kepada kegembiraan bersama adik beradik yang saling sayang menyayangi.  Alangkah indahnya kalau sejarah lalu dapat diulang kembali.

Namun di hari mulia ini, marilah kita tauti semula kasih sayang, kita padukan semula persaudaraan,  kita damaikan semula persengketaan, kita dendang kembali lagu persahabatan yang telah lama kita tinggalkan.

Mari kita kembali kepada  fitrah ketuhanan yang perlu kita perjuangkan bagi kemenangan Islam.


Selamat Hati Raya Eidul Firti, Maaf Zahir Batin daripada Pesuruhjaya dan seluruh Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Pahang, serta seluruh ahli PAS Pahang.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Pesuruhjaya PAS Pahang

TAZKIRAH - TIPS DI HARI-HARI AKHIR RAMADHAN

21 Ramadan 1432 H | 21 August 2011

RAMADHAN semakin hari bakal meninggalkan kita. Bulan yang penuh rahmat, pengampunan dan dijanjikan pahala berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang mengikhlaskan pengabdian diri kepada Allah s.wt.

Oleh itu rebutlah peluang dengan baki hari yang ada, setiap jam yang dilalui, setiap minit yang berdetik dan setiap saat masa yang berlalu untuk mempastikan Ramadhan ini menjadi Ramadhan terbaik untuk kita semua.
  • Berkorbanlah dengan masa, tenaga dan segala-galanya untuk mencari malam Lailatul Qadar kerana di malam ini Allah menjanjikan ganjaran yang teramat besar di samping doa-doa yang akan dimakbulkan-Nya. Beri'tikaflah, bangunlah dan persembahkanlah rintihan, harapan dan taubat kerana malam itu hanya berlaku sekali dalam setahun
  • Hari-hari terakhir Ramadhan juga adalah hari-hari di mana Allah memadam nama-nama manusia yang akan dimasukkan ke dalam neraka. Na'uzubillah... Oleh itu perbanyakkanlah doa, basahi lidah dengan istighfar kepada Allah, sesalilah segala dosa-dosa yang dilakukan, dan berazamlah untuk tidak melakukannya lagi kerana sesungguhnya Allah amat ternanti-nanti permohonan ampun dari hamba-Nya
  • Luangkanlah masa 4-5 minit sebelum berbuka puasa untuk memperbanyakkan doa kepada Allah kerana detik-detik itu menjadi satu masa mustajabnya doa
  • Perbanyakkan lagi amalan-amalan membaca Al-Quran, bersedekah, sembahyang sunat dan segala perkara kebaikan kerana ingatlah hanya amalan sahaja yang akan menemani kita di saat kita berseorangan di alam barzakh
Sama-samalah kita istiqamah melakukan ibadah kepada Allah dan gunakanlah kesempatan masa yang diberikan Allah ini dengan sebaiknya kerana belum tentu Ramadhan akan datang kita dapat tempuhi lagi.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

KENYATAAN PM TOLAK HASRAT RAKYAT

21 Ramadan 1432 H | 21 August 2011

PAS melahirkan kekesalan terhadap kenyataan Perdana Menteri bahawa PRU 13 tidak perlu menunggu keputusan Jawatankuasa (JK) Khas Parlimen. Kenyataan tersebut membuktikan sikap sebenar kerajaan terhadap tuntutan rakyat agar sistem pilihanraya yang bersih dan adil dapat diwujudkan, sebelum PRU akan datang.

Justeru, apa gunanya dibentuk JK Khas ini?

Adalah mustahak untuk rakyat bahawa inisiatif mengatasi kelemahan dan hilangnya keyakinan mereka kepada sistem pilihanraya yang ada kini diperbetulkan terlebih dahulu supaya satu perjalanan sistem pilihanraya yang bersih dan adil di Malaysia dapat dijalankan.

Sekiranya tidak, apa gunanya rakyat mengundi sekiranya keputusan pilihanraya bukan keputusan yang membayangkan hasrat mereka sebenar di akar umbi, tetapi hasrat pengundi hantu dan warga asing yang berlambak untuk memenangkan calon parti tertentu.

Kesannya ianya akan mengundang kemarahan rakyat dan tahap kebolehpercayaan terhadap SPR akan terus merosot. Keadaan ini sangat tidak baik bagi negara, dan terutamanya kerajaan memerintah dan  tidak mustahil Pakatan Rakyat akan menarik diri ekoran kenyataan Perdana Menteri.

PAS ingin tegaskan kerajaan tidak patut dan sememangnya ia amat tidak bertanggungjawab untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan mereka sedar bahawa sistem pilihanraya negara kita sememangnya tempang, berhadapan dengan kelemahan dan kepincangan yang pelbagai.

Perbaiki dahulu beberapa kelemahan yang utama, barulah diadakan pilihanraya ke 13, demi rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat!

Pakatan Rakyat akan membincangkan secara serius perkembangan mutakhir ini pada 24 Ogos bagi membuat satu keputusan bersama terhadap ketidakikhlasan Najib dan Barisan Nasional untuk melakukan reformasi sistem pilihanraya.

ISU JAIS-GEREJA : PERCATURAN POLITIK UMNO MENCURIGAKAN

18 Ramadan 1432 H | 18 August 2011

Isu siapa dalang di sebalik tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini semakin hangat diperkatakan; terutama apabila Setiausaha Agong PAS, Dato Mustafa Ali menegaskan beliau mempunyai bukti kukuh penglibatan Umno dalam isu ini.

Dengan ledakan pelbagai bukti di blog pro-Umno, umum mengetahui dan boleh menjangkakan sememangnya wujudnya tangan-tangan ghaib di sebalik tindakan yang aneh ini.


Antaranya ialah:

  1. Media pro-Umno yang terus melonjak isu ini dengan membuat serangan kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri.

  2. Semua bukti wujudnya usaha pengkristianan dibongkar oleh blog-blog pro-Umno dan bukan oleh JAIS, sedangkan semua bukti itu adalah bahan sulit yang tidak sepatutnya dikeluarkan selagi belum ada dakwaan di mahkamah.

    Ini termasuklah soal-selidik, nama mereka yang hadir, jumlah wang yang dibekalkan, dan terbaru klip video serbuan tersebut dan juga laporan JAIS yang sepatutnya diberikan kepada Sultan Selangor terlebih dahulu. Kenapa bukti-bukti JAIS ini dapat keluar dan disiarkan oleh blog-blog pro-Umno?

  3. Demonstrasi oleh Mohamad Ezam Mohd Nor dibuat di masjid negeri dengan membuat kecaman kepada kerajaan Selangor, termasuk penyapu tandas, mangkuk tandas dihantar ke pejabat Menteri Besar.

    Anehnya, mereka ini dikatakan menentang proses kristianisasi yang dilalukan pihak gereja, bukankah ia sepatutnya demonstrasi dibuat di hadapan gereja?

  4. Tindakan JAIS melengah-lengahkan isu ini sehingga menimbulkan polemik umum tentulah tidak mendatangkan kebaikan kepada semua, dan di waktu yang sama ada pihak dalaman yang meledakkan pelbagai bukti dalam blog pro-Umno.
Kini, rakyat tengah menanti tindakan JAIS, lebih-lebih lagi PAS Pusat telah menyatakan pendirian mempertahankan aqidah umat Islam dari sebarang usaha untuk mengganggu-gugat oleh mana-mana pihak. 

VIDEO - PEMUTIHAN PATI, SEJARAH HITAM NEGARA

17 Ramadan 1432 H | 17 August 2011


Surat aku janji (gambar) yang mesti dipatuhi oleh setiap PATI dalam program pemutihan pendatang tanpa izin. Dahulu mereka ini diburu dan diserbu, dihantar ke pusat tahanan, seterusnya dihantar pulang ke negara asal masing-masing. Tetapi kini, 'layanan cukup istimewa' diberikan kepada mereka, tetapi dengan 'bayaran cukup hebat' - undi BN!


SPR TIDAK SERIUS BERSIHKAN DAFTAR PEMILIH


15 Ramadan 1432 H | 15 August 2011

KUALA LUMPUR 15 OGOS : PAS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) bahawa tiada daftar pemilih yang bersih di dunia ini.

"Kenyataan ini jelas menggambarkan sikap sebenar SPR, yang tiada niat langsung untuk memihak kepada rakyat untuk bersungguh-sungguh membersihkan daftar pemilih yang ada.


“Jawapan ini mengingatkan kita kepada kisah Pak Pandir yang menyatakan 'bukan anak kita je mati, anak orang lain mati jugak',” ujar 
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melalui satu kenyataan media. 

Mutakhir ini pelbagai kecelaruan dalam daftar pemilih SPR didedahkan. 
Ianya termasuklah kes Mismah, kisah Kg Baru dan sejumlah pengundi klon yang membimbangkan banyak pihak. 

Pengundi klon adalah mereka yang didaftarkan di bawah nama dan kad pengenalan lama yang sama tetapi nombor MyKad berlainan untuk klon mereka. 
Bahkan tindakan SPR yang dilihat mudah menuding jari ke arah pihak lain di samping menyebut ia adalah "kesilapan teknikal" sukar diterima.  

Namun bagi Tuan Ibrahim, kepincangan dan kecelaruan itu hanya menggambarkan kelemahan SPR dan JPN.


"Pengakuan SPR ini jelas kepada rakyat kenapa himpunan Bersih 2.0 diadakan dan kini rakyat mula nampak akan hasil himpunan tersebut.


“Bayangkanlah, undi warga asing sudah boleh menentukan keputusan politik dan masa depan negara - siapakah yang telah menjual negara secara senyap-senyap demi kekal berkuasa dengan cara yang haram?” soal beliau.


Oleh itu katanya, SPR perlu melakukan pembaharuan.


“Rakyat meragui kelayakan SPR menjadi pengadil pilihan raya sekarang, dan satu reformasi dalam sistem pilihan raya dituntut bagi membina keyakinan tinggi kepada semua pihak supaya keputusan pilihan raya umum nanti dapat diterima dengan hati terbuka dan tanpa was-was.


"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki, seperti undi pos yang terdedah kepada pelbagai manipulasi, persempadanan pilihan raya yang tidak adil, pengundian bertindih, tuntutan daftar automatik dan sebagainya,” katanya lagi. - tvsnews.net

UMNO 'MENANGGUK DI AIR KERUH'

15 Ramadan 1432 H | 15 August 2011
Tindakan UMNO cuba mempolitikkan semua isu  yang berlaku di negeri Pakatan Rakyat (PR), terutamanya isu agama memperlihatkan betapa dangkalnya pemikiran dan sifat hipokrit mereka.

Dalam isu fatwa pembesar suara yang mengarahkan pembesar suara tidak digunakan untuk memperdengarkan bacaan Al-Quran sebelum waktu Subuh di negeri Pulau Pinang, Umno kelihatan ingin mempolitikkan isu tersebut sehingga tidak boleh membezakan mana keputusan fatwa negeri, dan mana satu tindakan kerajaan negeri.

Isu bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara pada waktu pagi bukanlah isu baru, kerana ianya sudah acap kali ditimbulkan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan rakyat.


Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah keputusan mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang yang melihat isu ini bercanggah dengan nas yang jelas, kerana tindakan memperdengarkan bacaan al-Quran, walaupun ia satu kebaikan; namun Islam juga mengambil kira soal sensitiviti orang lain yang inginkan ketenangan, ada kanak- kanak yang sedang tidur, orang yang uzur, terutamanya yang tua sakit dan sebagainya. 


Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertikaikan keputusan Fatwa Kerajaan Pulau Pinang merupakan satu penghinaan kepada wibawa Mufti dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang yang telah membuat kajian dan keputusan yang teliti. Bayangkan kalau kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri Pualau Pinang, Lim Guan Eng, tentu ia akan menimbulkan kegilaan huru-hara para pemimpin Umno dan saudara baiknya Perkasa dan juga mengkritik beliau.


ISU GEREJA - KEMBALI KEPADA SIRAH NABI DAN SAHABAT

14 Ramadan 1432 H | 14 August 2011

Oleh : Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

Apabila tercetusnya isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap penganjuran program di Damansara Utama Methodist Church, tidak semena-mena media arus perdana bertindak memaparkan berita dengan tujuan untuk melonjakkan UMNO menjadi juara mempertahankan Islam, seolah-olah memang benarlah UMNO adalah sebuah parti gagah perkasa yang mempertahankan Islam. 

Perlu diketahui bahawa pertembungan agama untuk mencari penganut bukan perkara baru, kerana ianya berlaku sejak dari zaman Nabi Adam sehinggalah tamatnya ajal dunia ini. Umat Islam yang beriman bahawa mereka adalah penganut  agama para rasul yang berakhir dengan Nabi Muhammad S.A.W. wajib mempertahankan agama mereka dan menyebarkannya kepada seluruh manusia. Namun dilarang melakukan paksaan, kerana Islam itu bukan sahaja ucapan secara lisan, ianya hendaklah disertakan dengan iman dan dinyatakan dengan amalan yang ikhlas.
Rasulullah S.A.W. mengizinkan penganut agama lain wujud dalam masyarakat Islam secara aman dengan menjadi rakyat, yang wajib dilayan secara adil tanpa paksaan dalam agama  menerusi perjanjian bertulis yang dimeteraikan.
Dalam masa yang sama Islam mewajibkan  penganutnya mempertahankan Islam, yang menjadi hak kepada penganut Islam sendiri dan kerajaannya. Zalim terhadap penganut agama lain juga adalah haram, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran neraka kepada orang Islam yeng mengkhianati perjanjian yang sebenarnya adil.
Al Quran meletakkan garis panduan dalam surah Al Haj, ayat 40 :
Maksudnya :“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara dan gereja-gereja penganut kristian, rumah-rumah ibadat orang yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.”

JANGAN POLITIKKAN KEPUTUSAN MAJLIS FATWA


13 Ramadan 1432 H | 13 August 2011

PULAU PINANG: Pihak tertentu yang didalangi Umno sengaja memainkan sentimen kebencian terhadap kerajaan negeri itu bersifat anti-Islam, dengan memanipulasi keputusan Majlis Fatwa Pulau Pinang berkaitan suara bacaan al-Quran sebelum Subuh.
“Demi kepentingan politik sempit, pihak tertentu mengambil peluang mengekploitasi keputusan Majlis Fatwa. Pihak berkenaan pastinya menabur fitnah kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang anti-Islam,” kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang, Abul Malik Kassim.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau menegaskan kerajaan negeri itu tidak campur tangan terhadap keputusan Majlis Fatwa Negeri yang melarang penggunaan pembesar suara pada bacaan al-Quran pada Subuh.
“Saya menolak sekeras-kerasnya tohmahan pihak yang mengaitkan pimpinan kerajaan negeri terlibat dengan keputusan Majlis Fatwa itu,” kata Malik.
Menghormati keputusan itu, beliau berkata, masjid dan surau boleh mempertimbang sama ada mahu meneruskan tradisi atau sebaliknya selepas menerima pemberitahuan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) berkaitan keputusan itu.
“Sebagai institusi agama, mereka wajar menghormati keputusan Majlis Fatwa yang membuat keputusan berdasarkan hukum Islam tanpa dipengaruhi mana-mana pihak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Maung.
Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang  yang bersidang 7 April lalu memutuskan larangan membaca al-Quran sebelum Subuh menggunakan pembesar suara kerana ia boleh mengganggu orang lain.
Ia berdasarkan hadis dan dalil:
“Daripada Abi Sa’id al-Khudri berkata ia : ketika Nabi s.a.w beriktikaf ( beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : Ketahuilah setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain dan jangan kamu mengangkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” 
(Sunan Abi Daud, hadis ke 1332, juzuk 2, cet. Dar al Hadis) - keadilandaily.com

SPR 'BIAS', TERUS BERBOHONG - HUSAM

12 Ramadan 1432 H | 12 August 2011
KUALA LUMPUR, 12 Ogos — Pakatan Rakyat secara tegas menafikan dakwaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa perikatan itu mengulangi 'agenda politik kotor' untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.

Sebaliknya, menurut pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, apa yang didedahkan mereka selama ini adalah berdasarkan fakta dan bukti yang dinafikan badan pengurusan pilihan raya itu.


Malah mereka juga mengecam kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dan menggesa beliau meletakkan jawatan jika 'benar-benar mahu terlibat dalam politik'.


“Kenyataan beliau (Wan Ahmad) adalah kenyataan partisan bukan neutral, beliau mahu berpolitik dan kalau benar beliau mahu berpolitik letak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi SPR.


“Apa yang dikatakan pembohongan yang dilakukan Pakatan Rakyat? Apa yang kita dedahkan dan bangkitkan adalah berdasarkan fakta dan bukti. Sebagai contoh isu daftar pemilih yang menyaksikan banyak penyelewengan yang kita sudah dedahkan, yang belum didedahkan lagi banyak,” kata Naib Presiden PAS Datuk Paduka Husam Musa kepada The Malaysian Insider.


DETIK 100 HARI MENJELANG PRU BERMULA

12 Ramadan 1432 H | 12 August 2011

PAS telah mengarahkan semua jentera pilihanrayanya agar bersedia bermula daripada sekarang dengan kiraan 100 hari menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke - 13 tegas Naib Presiden PAS Haji Salahuddin Ayub ketika program bersama PAS Kawasan Ipoh Timur di sini. 

Salahuddin dalam ucapannya selepas menunaikan Solat Sunat Tarawikh bersama PAS Ipoh Timur menjelaskan bahawa keputusan Mesyuarat PAS Pusat baru-baru ini menjangkakan bahawa PRU 13 akan berlaku dalam masa yang terdekat. 


"Saya ingin maklumkan bahawa peringkat PAS Pusat telah memutuskan bahawa semua jentera parti perlu dipersiapkan dalam tempoh 100 hari daripada sekarang dan kita menjangkakan PRU 13 sudah hampir dengan kita," jelas beliau di dalam ucapannya di Markaz Unit Peti Undi (UPU) Taman Pengkalan Barat, Ipoh. 


Beliau juga meminta semua peringkat parti mesti bekerja keras bagi memenangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU 13 ini untuk sama-sama sampai ke Putrajaya jelas Salahuddin. Beliau yakin semua Ahli PAS akan membantu jentera PR samaada PKR atau DAP untuk sama-sama bekerja keras kali ini. 

ANALISIS BONUS - 'RANTING DIJAGA, AKAR DIBIARKAN'

Jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan,
sudah pasti tuntutan 2 bulan bonus dapat dipenuhi
10 Ramadan 1432 H | 10 August 2011

Kerajaan akhirnya bersetuju meng'hadiah'kan bonus kepada 1.27 juta kakitangan awam yang bakal menikmati bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, manakala setiap pesara kerajaan pula mendapat RM500 yang akan dibayar pertengahan bulan ini.

Jumlah pembayaran bonus tahun dianggarkan sebanyak RM2 billion.
 Maka kerajaan pun dilihat begitu prihatin dengan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan. Perdana Menteri sendiri menyebut pemberian bonus ini tidak lain adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat di musim perayaan ini.  

Namun begitu pemberian bonus ini sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat jika harga barang melambung tinggi dari kadar biasa. Logiknya, peningkatan nominal pendapatan kakitangan awam sebanyak 50% pada bulan ini tidak bermakna apa-apa apabila harga barang naik mendadak lebih dari kadar berkenaan hasil dari penguncupan kuasa beli mereka. 


Jika dana RM2 billion ini hasil pinjaman kerajaan, maka keputusan kerajaan memberikan bonus ini sekadar melepaskan batuk di tangga, isu ranting yang diberi perhatian, akar permasalahannya dipejamkan mata. Yang nyata, kita berdepan dengan keadaan kewangan kerajaan yang cacamarba pengurusannya. Kita punya kerajaan yang tidak serius menangani kebajikan ekonomi rakyat. 
 
 

DULU MISMAH, KINI KG. BARU

9 Ramadan 1432 H | 9 August 2011

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.
Berikut adalah kenyataan daripada Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat:
"Daftar pemilih SPR mencipta satu sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung bernama Kg Baru sebagai pengundi.

Kg Baru yang mempunyai no kad pengenalan  830527115422 dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut.

Daftar pemilih SPR bukan sahaja mendaftar manusia sebagai pemilih tetapi telah mencipta satu sejarah baru mendaftarkan kampung sebagai pemilih yang sah dalam negara ini."
Maklumat pemilih yang mencipta sejarah ini adalah seperti di bawah:

ISU GEREJA - PAS PILIH DIPLOMASI

7 Ramadan 1432 H | 7 August 2011

KUALA LUMPUR, 7 Ogos: "PAS akan berjumpa secara langsung dengan Jais dan pihak gereja apabila mereka memberikan tarikh. Kita perlu mendapatkan penjelasan daripada pihak yang berkenaan dan tidak timbul kenyataan sokong mana-mana pihak. Selepas berjumpa baru akan dibuat keputusan," tegas Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas tindakan Jais melakukan pemeriksaan terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama, baru-baru ini.


Ditanya pendirian PAS terhadap Dr Hassan, Ustaz Hadi berkata parti telah mendengar penjelasan beliau dalam mesyuarat dan berpuas hati dengan penjelasannya.

"Kita tak bincang apa-apa ketetapan pun terhadap Dr Hassan dan beliau datang hari ini kerana menghadiri mesyuarat AJK, bukan kerana dipanggil," jelas beliau.


Beliau turut mendakwa isu ini sengaja diperbesarkan untuk menutup isu penduduk tetap (PR) diberi kad pengenalan biru dan didaftarkan sebagai pengundi untuk pilihan raya umum ke-13.


"Kita tahu isu ini sengaja ditimbulkan untuk menenggelamkan isu pemberian kad pengenalan (biru) kepada penduduk tetap.


Sementara itu Ustaz Hadi memberitahu mesyuarat hari ini tertumpu kepada persiapan PRU ke-13 khususnya mengenai isu pembersihan dalam sistem pilihan raya.


"PAS bincang tentang PRU walaupun tarikh pilihan raya masih menjadi teka-teki. 
Daftar pemilih masih tidak bersih dan kita mahu daftar pemilih dibersihkan segera," katanya. - harakahdaily

1,108 PR JADI PENGUNDI, PAS SELANGOR KEMUKA BUKTI

Demi 1 undi, keselamatan negara jadi taruhan
6 Ramadan 1432 H | 6 August 2011

PAS Selangor membuat laporan polis ke atas JPN dan SPR berikutan
 wujud terlalu banyak konspirasi sehingga JPN membenarkan pemastautin tetap ditukar status menjadi warga negara Malaysia. Setakat ini seramai 1,108 warga asing telah dikenalpasti terlibat dalam 'projek' ini.

“Kita buat laporan terhadap JPN dan SPR kerana timbul terlalu banyak keraguan tentang status kewarganegaraan pemastautin tetap. Dalam masa yang singkat status mereka ditukar menjadi warganegara.


“Kita mahu polis siasat, siapa dalang di sebalik konsprirasi ini kerana ianya melibatkan jumlah yang terlalu ramai, dan boleh menjejaskan keselamatan negara,” kata Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman kepada The Malaysian Insider.


Kesemua 1,108 nama warga asing itu diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan. 
Tambah Khairuddin, tindakan JPN melakukan pertukaran status pemastautin tetap merupakan satu penipuan dan tidak bertanggungjawab.

“PAS Selangor mempunyai bukti jelas dalam bentuk cetakan, keadaan status kerakyatan sebelum dan selepas pertukaran dalam sistem data JPN yang diubah dalam tempoh tidak sampai 24 jam.


“Kami mahu mereka yang terlibat dalam kerja yang mengancam keselamatan negara ini dikenakan tindakan undang-undang yang berat,” katanya.

KOMPLOT TERANCANG TIPU DAFTAR PEMILIH?

3 Ramadan 1432 H | 3 August 2011
PETALING JAYA 3 OGOS : Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Hatta Ramli menyatakan kemungkinan wujud komplot antara agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menipu daftar pemilih untuk PRU akan datang.

Beliau berkata, sementara program bagi mendaftar pekerja-pekerja asing yang sah dilanjutkan tanpa tarikh akhir berbanding 31 Julai 2011 seperti yang ditetapkan sebelum ini, ia boleh disalah guna untuk menutup perubahan pada pangkalan data yang digunakan.


"Kami meragui tujuan sebenar program pendaftaran memandangkan ia membenarkan data diubah begitu cepat.


"Ia amat mungkin. Mereka sudah bagi tarikh tamat,kemudian mereka melanjutkannya ke tarikh yang tidak dinyatakan, ia amat menghairankan," tegasnya.


Semalam, portal Malaysiakini melaporkan, status seorang penduduk tetap yang berjaya didaftar sebagai pengundi bertukar kepada warganegara dalam tempoh empat jam sahaja selepas didedahkan.
Laporan itu mengundang kritikan pelbagai pihak, terutamanya oleh Pemuda PAS yang mendakwa memiliki banyak lagi bukti kes sebegitu berlaku.

Dr Hatta mengesyaki apa yang berlaku mempunyai kaitan dengan program pemutihan pendatang asing yang sedang berlangsung di seluruh negara yang bermula sejak sebulan lalu.


"Mereka daftar pekerja asing dengan biometrik. Adakah ini mempunyai kaitan? Adakah ini sebabnya data bertukar dalam beberapa jam sahaja. Itu juga sesuatu yang perlu dijawab Jabatan Pendaftaran Negara," katanya. 
- tvsnews

PAS PAHANG - KAJI SEMULA PERSEMPADANAN KAWASAN PILIHANRAYA

1 Ramadan 1432 H | 1 August 2011

TEMERLOH, 1 Ogos: PAS Pahang berpendapat jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited mahu lakukan transformasi pilihan raya, ia bukan setakat menangani isu pengundi hantu tetapi turut merangkumi persempadanan semula kawasan pilihanraya.

“Sebagai contoh persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun 2003 menyaksikan Parlimen Pekan merangkumi sebahagian daerah Kuantan iaitu memasukkan Kem Tentera Batu 9 dan Batu 10.
 

“Perubahan persempadanan tersebut amat tidak munasabah daripada segi  geografi dan demografinya. Tetapi hasilnya Najib sendiri yang hanya menang tipis 241 undi pada PRU 1999, menang besar pada PRU 2004,” tegas 
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal.

Tambahnya, jika proses persempadanan semula yang dilakukan setiap 8 tahun sekali itu tidak diberi perhatian, tafsiran ramai akan tetap mengatakan SPR boleh dipergunakan untuk kepentingan parti pemerintah.
 

“Sebab itu negeri-negeri yang dikuasai PAS dan kawasan majoriti besar berpengundi Melayu tidak mendapat tambahan kerusi parlimen,” tambahnya.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media hari ini yang memetik Najib komited menangani isu pengundi hantu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dan memastikan SPR melakukan 
transformasi pilihan raya.

Roslan berkata, Najib dan SPR juga mesti komited untuk mendaftarkan pengundi secara automatik apabila cukup syarat seseorang warganegara supaya nama pengundi tidak dimanupulasi.
 

“Kita mendakwa mempunyai sistem Mykad tercanggih di dunia, jadi mengapa tak boleh daftar warganegara sebagai pengundi secara automatik?
 

“Kita cadang ia dilaksanakan, cuma pameran untuk semakan dan bantahan setiap suku tahun itu dikekalkan bagi 'check and balance',” katanya. - harakahdaily