Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: BERSIKAP JUJUR DENGAN SEJARAH, CAKAPLAH BENAR WALAUPUN IA PAHIT
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

BERSIKAP JUJUR DENGAN SEJARAH, CAKAPLAH BENAR WALAUPUN IA PAHIT

2 Syawal 1432H | 31 August 2011


Isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas ini - "Apakah British dan kuncunya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?" ditafsirkan.

Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang. 

Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, mereka telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka. Namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan. Maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.

Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero. Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?

Jika kedua-duanya pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.

Secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang  hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero.

Kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat? 

Secara menafsir sejarah secara jujur, semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.

Namun demikian, kita tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. ‘Cakaplah benar, walaupun ia pahit.’

Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

Inilah tafsiran sejarah secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era. Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah.

Sejarah yang paling kritikal juga berlaku di zaman peralihan antara Jepun dan British – di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini.

Dato' Tuan Ibrahim b. Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
31 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment