Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS KONSISTEN BANTAH LYNAS
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PAS KONSISTEN BANTAH LYNAS


8 Rabi'ul Awal 1433 H | 1 February 2012

PAS menyelar kenyataan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis yang mendakwa bahawa PAS menyokong kilang Lynas, dan isu tersebut hanya merupakan pandangan sebelah pihak dari Fuziah dan PKR sahaja.

Dakwaan tersebut berniat jahat untuk memesongkan fokus rakyat berkenaan isu sebenar yang timbul berikutan pembinaan kilang kontroversi tersebut dan berniat untuk memecah-belahkan penentangan rakyat terhadap operasi mereka.

Perjuangan menentang pembinaan dan pengoperasian kilang tersebut adalah perjuangan semua golongan rakyat yang prihatin tanpa mengira kaum, agama dan bangsa demi memelihara alam sekitar dan masa depan generasi akan datang.

Malangnya sebahagian besar masyarakat Melayu disekat dari mendapat maklumat yang telus dan terbuka. Tidak sebagaimana masyarakat Cina yang bebas menilai maklumat dan membuat penilitian berdasarkan ilmu dan akal yang waras selepas menilai pelbagai kemungkinan dan kesan yang akan timbul kelak. Maklumat yang disampaikan kepada kebanyakan rakyat terutamanya orang Melayu lebih berbentuk satu hala dan lebih kepada momokan yang memburukkan mereka yang menentang kilang tersebut.


PAS adalah konsisten melalui dan tidak pernah berganjak dari pendirian awal menentang projek tersebut. Usul yang di bawa oleh Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota disokong sebulat suara lalu dipanjangkan kepada Muktamar PAS Kawasan Indera Mahkota yang juga disokong secara konsensus. Usul ini kemudiannya dipanjangkan ke peringkat PAS negeri Pahang dan seterusnya diluluskan dalam Muktamar PAS Pusat.

PAS Indera Mahkota seterusnya menubuhkan Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (BADAR) bagi menyelaraskan aktiviti dan gerak kerja mewakili parti bagi menentang projek tersebut dan BADAR kini merupakan organ parti yang bernaung di bawah Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Tuan Guru Presiden PAS telah menyerahkan mandat PAS kepada Lajnah Alam Sekitar di bawah pimpinan Haji Zulkefly Mohamad Omar untuk bersama-sama dengan penduduk Pahang menentang projek ini.

Kehadiran dan sokongan dua tokoh utama PAS iaitu Tuan Guru Presiden dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis makan malam  Perdana bagi mengutip dana untuk tindakan mahkamah ke atas Lynas pada 7hb Januari 2012 yang lalu satu lagi isyarat jelas pendirian kepimpinan utama PAS terhadap isu Lynas.

Penglibatan segelintir ahli dan penyokong yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung adalah atas dasar peribadi dan tiada kena mengena dengan dasar dan pendirian PAS. Justeru itu, tidak timbul isu PAS menyokong Lynas sebagaimana yang di putar-belitkan oleh Curtis dan golongan-golongan yang berkepentingan dalam projek tersebut.

Pendirian Curtis bahawa pelabur asing tidak akan datang ke Malaysia sekiranya pembangkang membatalkan projek ini apabila berkuasa nanti adalah sama sekali tidak berasas. Saya bersetuju dengan kata-kata Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh bahawa sebaliknya pelabur asing mana yang sanggup datang ke Kuantan yang bakal dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi kerana radiasi kilang Lynas tersebut.

Sebaliknya Curtis perlu menjawab dengan jujur mengapa kontraktor AkzoNobel yang membekalkan resins untuk pembinaan kilangnya di Gebeng seperti yang didedahkan New York Times. Bagaimana pula masalah kelembapan yang dibangkit AkzoNobel yang menjadi sebab penarikan kontraktor tersebut dalam pembinaan tangki pemprosesan nadir bumi, yang dikatakan tidak stabil dan bakal berlaku kebocoran dan menyebabkan pencemaran?

PAS tegas dengan keputusannya dan berjanji akan menghalang kilang Lynas habis-habisan. Sekiranya kita diberi kuasa memerintah kelak, PAS berjanji akan memansuhkan operasi kilang ini dengan serta merta.

Seperti kata Murshidul Am, rakyat boleh membantu untuk menghentikan kilang Lynas dengan mudah – Buang BN, Ambil PR!

0 comments:

Post a Comment