Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: April 2012
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



NEGARA BANKRAP - BN TERUS KETANDUSAN ISU

5 Jamadil Akhir 1433 H | 27 April 2012

SERENDAH – Barisan Nasional (BN) dibidas kerana sering mengatakan negara akan bankrap sekiranya pelaksanaan gaji minimum dan penurunan harga minyak termasuk pendidikan percuma dilakukan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana negara mempunyai hasil pendapatan yang tinggi dan jumlah yang disalurkan untuk tujuan tersebut hanya pada kadar rendah.

“Bila kita nak turun harga minyak Perdana Menteri (PM) kata negara bankrap. Bila kita kata nak bagi gaji minima RM1,100, gaji minimum bukan RM10,000 tapi PM kata negara bankrap.

“Anak pemimpin gaji ratusan ribu ringgit sebulan, gaji anak penternak lembu yang baru keluar universiti berusia 22 tahun dapat RM20,000 satu bulan, manakala anak orang kampung baik daripada Melayu, Cina, India atau Singh, kita nak bagi gaji minimum RM1,100 orang itu jawab negara bankrap, mana ada perasaan hati perut punya manusia,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penduduk pada sambutan Perayaan Vasaikhi di Tampel Gurduara Singh di sini semalam.

Anwar berkata, rakyat perlu membawa perubahan dalam negara terutama pendapatan rakyat. Menurutnya, Malaysia bukan negara miskin kerana hasil minyak setahun mencecah RM80 bilion.

Beliau turut mengulangi penurunan harga minyak mampu dilaksanakan dan pengumuman itu akan dilakukan sehari selepas beliau mengangkat sumpah sekiranya PR memerintah.

“Saya bukan kata pemberian minyak seperti pemberian air percuma di Selangor, kalau itu bankrap la kita. Tapi saya kata hari ini pilihan raya, esok angkat sumpah, satu hari lepas itu kita umum harga minyak seluruh neraga turun.

“Perdana Menteri kata bankrap tapi kita sekarang dapat RM80 bilion setahun dan ini jumlah yang banyak, turunkanlah harga minyak,” katanya.

Katanya, pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga mampu dilaksanakan dan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, menteri dalam negara ini dahulu mendapat gaji RM38,000 sebulan, tetapi sekarang meningkat RM80,000 sebulan.

Bagaimanapun, dengan sinis beliau mengatakan menteri-menteri masih masih mahukan saham, kontrak termasuk mengaut peruntukan jutaan ringgit untuk penternakan lembu.

“Jadi, sebab itu saya kata kita mampu laksanakan. Najib kata mana nak cari RM40 bilion, saya kata tak sampai RM30 bilion bukan untuk setahun, jumlah ini untuk 16 tahun jadi kira-kira RM3 bilion setahun tapi kalau saya akan tambah lagi RM5 bilion setahun.

“Ini termasuk yuran, makan, tempat tinggal dan buku supaya kualiti pendidikan kita meningkat. Semuanya hanya RM5 bilion setahun, minyak RM80 bilion setahun, jadi akan bankrap ke negara kita?” katanya. - SinarHarian

PENGUNDI WARGA ASING SERLAH 'WAJAH' SEBENAR UMNO/BN

4 Jamadil Akhir 1433 H | 26 April 2012

ALOR SETAR - Pas menyifatkan dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sebagai helah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menenggelamkan isu yang lebih penting yang dibangkitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu terbabit sengaja ditimbulkan di saat PRU13 semakin hampir bagi menutup isu sebenar.


“Saya anggap itu berita PRU13. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup isu sebenar yang kita bangkitkan, antaranya pendedahan kewujudan 'task force' memberi kerakyatan kepada warga asing dan penipuan dalam proses mengundi,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah di sini sempena lawatan kerja sehari ke Kedah, semalam.


Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan beliau berhubung wujudnya pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kerakyatan kepada warga asing di negara ini adalah isu yang lebih penting untuk diberi perhatian berbanding isu remeh yang dibangkitkan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda Raja-Raja Melayu.


“Yang menjadi ancaman lebih besar kepada institusi diraja dan kedaulatan negara adalah kes babitkan warga asing, bukannya isu remeh seperti itu. Kes berkenaan yang sebenarnya akan menghakis institusi Raja-Raja Melayu dalam tempoh tertentu,” katanya.


Menurutnya, sekiranya berlarutan, tidak mustahil ia turut mengancam keselamatan negara.


“Warga asing ini berada di luar budaya perlembagan diraja, negara mereka tidak amalkan sistem beraja. Apabila mereka diberi kerakyatan dan mengundi, kesannya amat besar termasuk boleh menjejaskan kedaulatan institusi diraja,” katanya. -
SinarHarian

UMNO MAKIN KETANDUSAN MODAL POLITIK

"Jika sesat, mengapa PAS tidak diambil tindakan?"
21 Jamadil Awal 1433 H | 13 April 2012

SHAH ALAM - Rakyat tidak akan 'termakan' dengan modal kempen P:Pas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU13), kononnya Pas sebuah parti politik sesat, yang sedang dibawa oleh Umno sekarang, kata Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu beliau juga menegaskan bahawa kempen P:Pas yang sedang dibawa Umno bukan perkara baru, malah sudah kedengaran sejak dua dekad yang lalu.

"Ini bukan perkara baru. Sudah lebih 20 tahun Umno membawa dakwaan kononnya PAS sebuah parti sesat.

"Kalau selama 20 tahun orang ramai tidak termakan dengan dakwaan Umno, jadi saya pasti rakyat tidak akan terpengaruh dengan kempen ini.

"Pas sebuah pertubuhan berdaftar, parti yang sah, bukan parti sesat. Kalau benar kami sesat, pastinya JAKIM sudah ambil tindakan... tetapi ini tidak berlaku, jadi saya anggap perkara ini sengaja dibawa oleh Umno," kata Tuan Ibrahim ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, Umno Terengganu cuba membawa isu ini untuk mengalih pandangan rakyat daripada masalah pokok yang sebenar, selain menutup kelemahan yang ada pada parti teras Barisan Nasional (BN) itu.

Mengikut laporan media semalam, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, program P:Pas iaitu Pas: Parti Ajaran Sesat yang bermula di Terengganu kelmarin akan diteruskan ke seluruh negara.

Sambil menegaskan Pas tidak bimbang dengan program sedemikian, Tuan Ibrahim menegaskan, dasar rakan komponen Pakatan Rakyat itu berlandaskan Islam dan al-Quran.

"Kami sebuah parti yang perjuangan bersandarkan pada ajaran Islam. Kami mengadakan dasar dan program bersandarkan Islam, yang mana ia berbeza berbanding Umno.

"Ini jelas dan boleh dilihat di Kelantan," katanya lagi.

"Saya fikir Umno hendak mengalih pandangan rakyat. Misalnya, apabila program Pas Ganti Umno yang dilaksanakan di Terengganu mulai berjaya, Umno sudah rasa bimbang dan kini memulakan kempen seperti ini," katanya lagi. - SinarHarian

NEGARA MUFLIS AKIBAT PEMBAZIRAN MELAMPAU BN

20 Jamadil Awal 1433 H | 12 April 2012

SHAH ALAM, 12 APR : Dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa negara bakal muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan, dan menunaikan tiga janji mereka adalah tidak tepat.
Sebaliknya Umno-BN ‘terlupa’ bahawa perkara yang menyumbang kepada negara muflis adalah pengurusan tidak telus, pembaziran melampau dan subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka.
Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pentadbiran Umno-BN sepatutnya mengambil iktibar daripada cara pemerintahan Pakatan terutamanya di Selangor.
Di negeri itu pengurusan yang lebih telus, berhemat serta berjimat telah mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.
“Sebagai contoh di Kedah, kerajaan PR menurunkan cukai tanah dan dapat meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus.
“Begitu juga di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis.
Bahkan kalau kita tengok, simpanan tunai di Selangor juga meningkat walaupun pelbagai program kebajikan dilaksanakan. Justeru, tidak timbul soal bangkrup,” ujarnya apabila ditemui di sini.
Tegasnya, tiga janji yang ditawarkan Pakatan, penghapusan kutipan tol, gaji minima RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara.
Tambahnya, kenyataan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini berhubung mekanisma untuk memansuhkan PTPTN juga meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan.
“Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Aziz berkata, keadaan ekonomi negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran semakin tinggi.
“Saya tidak nampak bagaimana mereka (Umno-BN) boleh mengubah sikap mereka seperti yang dijanjikan kerana kita lihat sendiri program transformasi yang diwar-warkan juga gagal.
“Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik.
“Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara,” katanya. - media selangorku

BN KHIANATI NEGARA DEMI SATU UNDI?

19 Jamadil Awal 1433 H | 11 April 2012
PAS mengingatkan seluruh rakyat bahawa kita mempunyai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan kian berkhianat terhadap masa depan negara.

Tindakan kerajaan memekakkan telinga terhadap pendedahan berani Naib Presiden PAS, Dato Mahfuz Omar bahawa wujudnya sebuah task force khas yang diketuai oleh pegawai khas kepada Perdana Menteri yang bertindak memberikan kewarganegaraan dan kad pengenalan kepada warga asing demi menyelamatkan kerajaan BN, merupakan suatu malapetaka bagi negara.

Tindakan terdesak ini jauh lebih besar bahaya berbanding semua penyelewengan dana negara. Dengan memberi kad pengenalan dan taraf kewarganegaraan kepada warga asing bermakna menggadai kedaulatan dan masa depan negara.

Apa erti kuasa politik seandainya keputusan politik ditentukan oleh warga asing yang diberi kad pengenalan sehingga mereka mendapat hak yang sama dengan rakyat dalam negara ini?

Tindakan melampau ini tidak seharusnya dipandang sepi oleh pengamal media, sehingga tiada satu pun media arus perdana yang mengangkat isu ini.

Bahkan, apa yang lebih mendukacitakan badan-badan NGO yang selama ini bertempik mempertahankan kedaulatan negara, bangsa dan tanahair sunyi sepi seolah-olah isu ini hanya rekaan pembangkang. 

Seandainya ia suatu rekaan, tentulah Mahfuz tidak berani untuk menyenaraikan satu persatu nama yang terlibat kerana ia terdedah kepada tindakan perundangan seperti saman, siasatan dan tindakan undang-undang. Kesediaan beliau untuk memberi segala maklumat kepada Suruhanjaya Diraja, merupakan tindakan berani bagi mendedahkan isu besar ini.

Sehubungan itu, PAS akan terus mendesak sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk bagi meneliti dan membuat siasatan rapi berhubung dakwaan ini. Kegagalan kerajaan membentuk suruhanjaya ini dilihat sebagai bukti jelas kebenaran apa yang didakwakan itu.

HARAKAH JADI MANGSA KETAKUTAN UMNO-BN

15 Jamadil Awal 1433 H | 7 April 2012

Tindakan Umno Putrajaya mengoyak akhbar Harakah percuma mencerminkan ketakutan mereka terhadap rakyat bermaklumat.

Mereka sedar kalau rakyat membaca Harakah atau media alternatif, rakyat akan mendapat maklumat sebenar tentang sesuatu isu yang berlaku. Inilah yang ditakuti mereka.

Kerisauan mereka juga timbul kerana sedar akan tahap keyakinan rakyat kepada Harakah.

Umumnya tindakan membakar mengoyak atau memboikot mana-mana akhbar dilakukan kerana berita yang terkandung di dalam akhbar tersebut. Belum pernah kita dengan ada pihak yang membakar atau mengoyak akhbar kerana ianya diberi secara percuma. Ini agaknya yang dikatakan buang tabiat, sebagai petanda awal sesuatu itu nak mati. 

Dari tinjauan dan kajian umum kita dapati ramai dari kalangan penduduk menerimanya dengan hati terbuka dan mula berminat dengan Harakah. Inilah juga yang ditakuti oleh mereka.

Mereka takut pembohongan mereka dalam media perdana diketahui oleh rakyat, menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada Umno-BN.

Sehubungan tindak-balas Umno yang menggalakkan itu, PAS akan menggerakkan seluruh jentera parti untuk melipat gandakan usaha penyebaran risalah bagi menyedarkan rakyat betapa perlunya perubahan pimpinan negara dalam PRU akan datang.

PRU13 - KERAJAAN TAK BERSUNGGUH LAKSANA PEMBAHARUAN

15 Jamadil Awal 1433 H | 7 April 2012

KUALA LUMPUR, 6 April — Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menegaskan cara laporan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) berkaitan penambah baikan pilihan raya dibentang dan diluluskan menimbulkan persoalan.

“AMANAH menyambut baik kenyataan Najib yang mahukan pilihan raya akan datang dijalankan dalam situasi yang adil dan bersih, dan menolak untuk dipilih berdasarkan penipuan.

“Namun begitu, cara PSC membentangkan laporannya di Parlimen dan diluluskan tanpa bahas dan juga cara di mana laporan minoriti yang dibentangkan pula ditolak mentah-mentah adalah sesuatu yang membimbangkan dan menimbulkan persoalan yang serius tentang keikhlasan kerajaan,” jelas Abdul Kadir dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, situasi berkenaan telah menambahkan keresahan dalam kalangan rakyat yang mana kemudiannya menjurus kepada perhimpunan Bersih 3.0 yang bakal dianjurkan pada 28 April.

“Tambahan pula tiada had waktu ditetapkan dalam laporan PSC tersebut tentang bilakah cadangan-cadangan tersebut akan dilaksanakan.

“Semuanya ini menimbulkan keresahan di kalangan rakyat yang amat sangat yang mana memberi justifikasi untuk diadakan Bersih 3.0,” katanya.

Beliau turut menyatakan rasa terkilan apabila dua daripada cadangan AMANAH berkenaan kebebasan media arus perdana, dan menolak penggunaan agensi keselamatan dan entiti berkaitan kerajaan seperti GLC untuk berkempen tidak mendapat perhatian Putrajaya.

“Mustahil kita boleh mengadakan pilihanraya yang bebas dan bersih dalam keadaan sekarang ini, dalam suasana sekarang ini,” tegasnya.

“AMANAH yakin cadangan-cadangan tersebut boleh dilaksanakan dengan mudah jika terdapat kesungguhan dan keikhlasan dari pihak kerajaan. Ianya tidaklah rumit untuk dilaksanakan,” tambahnya.

Malah, beliau sekali menegaskan, pilihan raya akan datang tidak seharusnya dijalankan selagi Suruhanjaya Pilihan Raya, PSC, dan Putrajaya belum selesai mengkaji cadangan tersebut sepenuhnya. - themalaysianinsider

PENDEDAHAN HASAN ALI TIDAK JEJASKAN PAS

13 Jamadil Awal 1433 H | 5 April 2012

Pas tidak melihat pendedahan video murtad dibuat bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali kelmarin sebagai satu konspirasi menjatuhkan parti itu. Isu yang dibangkitkan langsung tidak memberi kesan memandangkan ia bukan parti yang memerintah kerajaan pusat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya tidak mahu isu murtad dijadikan bahan polemik, tetapi melihat sebagai perkara serius yang merupakan tanggungjawab bersama bagi menangani sebarang perkara berkaitan akidah orang Islam.

“Tindakan Hasan itu tidak memberi kesan memandangkan selama ini Pas tidak lepas tangan menangani isu murtad yang dianggap perlu ditangani bersama secara tegar.

“Sepatutnya beliau tidak menunggu terlalu lama untuk melakukan sebarang tindakan memandangkan rakaman tersebut dikatakan berlaku sekitar 2002 lagi.

“Pada ketika itu Hasan merupakan Pesuruhjaya Pas Selangor juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, jadi dia mempunyai kuasa bertinda,k namun mengapa baru sekarang ingin membuat tindakan sebegini,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, justeru tindakan Hasan telah menampakkan kelemahan kepimpinannya ketika itu yang tidak mampu menangani perkara tersebut.

“Sepatutnya melalui pengakuan tersebut Hasan bertindak dengan segera bersama pihak berkuasa yang bertanggungjawab.

“Melalui rakaman tersebut mereka sudah boleh memanggil mereka yang terlibat untuk disoal siasat bagi mendapatkan penjelasan lebih lengkap dan tepat.

“Bukan dengan mencari jalan menunggu masa sesuai melakukan pendedahan lisan yang boleh mencetuskan kekeliruan,” katanya.

Beliau menegaskan, Hasan perlu membuat laporan di Jabatan Perdana Menteri dan mengambil tindakan susulan berkaitan isu ini.

“Perkara ini perlu ditangani dengan cara betul dan bukannya membangkit isu yang boleh diprovokasi. Banyak lagi perkara yang turut dipandang serius dalam usaha memansuhkan perkara murtad.

“Sebagai contoh, Orang Asli yang sudah memeluk Islam kembali kepada ajaran mereka, pengikut ajaran sesat dan banyak lagi,” katanya. - SinarHarian

RESPON UTK NAJIB - 'PEMANDU YANG BAHAYA MESTI DITUKAR'

12 Jamadil Awal 1433 H | 4 April 2012

Aspan Alias

PM Najib berkata: “Jangan tukar pemandu di pertengahan jalan!” Maksudnya jangan tukar kerajaan dalam pilihanraya akan datang kerana itu adalah tindakan merbahaya.

Setiap kerajaan bertukar tangan dalam perjalanan. Parti Conservative dan Liberal Democrat telah mengambilalih kerajaan Britain dari Parti Buruh dalam perjalanan. Mana ada kerajaan yang sudah tiada untuk ditukar? Tentulah kerajaan yang sedang berkuasa yang selalu ditukar dan mereka ditukar kerana bersebab, bukan saja-saja untuk ditukar.

Perjalanan mentadbir negara adalah tugasan yang berterusan kepada siapa yang diberikan mandat. Ibarat sebuah bas yang dalam perjalanan jauh, ia disyaratkan supaya mempunyai pemandu gantian (spare driver). Banyak kemalangan berlaku kerana pemandu itu terlena sambil memandu kerana telah memandu terlalu lama. Maka itulah undang-undang mensyaratkan setiap bas ekspress mesti mempunyai seorang lagi pemandu gantian supaya bas itu dipandu bergilir-gilir supaya tidak membahayakan penumpang yang sedang tidur lena itu.

Dalam kes kerajaan pimpinan Najib, penumpang-penumpangnya sudah bangun dari tidur dan telah merasakan yang pemanduan Najib sudah cukup merbahaya. Najib memandu dengan tidak mematuhi undang-undang memandu. Maka penumpang menuntut supaya pemandu ditukar supaya bas tidak terhumban ke dalam gaung yang dalam. Pemandunya bernama Najib telah memandu bas itu dengan begitu bahaya kerana penumpang nampak yang pemandu bernama Najib itu sudah nampak hendak terlena.

Najib telah terlena kerana keletihan memandu atau pun tidak bijak memandu. Mungkin dia merasa mengantuk kerana makan terlalu kenyang. Apa pun sebabnya dia mengantuk, pemandu gantian itu perlu sangat untuk mengambilalih pemandu yang lalai itu. Kali ini bas yang tidak berapa baik keadaannya itu wajar dipandu oleh pemandu gantian untuk keselamatan penumpang yang ramai itu.

Pemandu sekarang sudah terlalu lemah dan jika tidak diganti ia mungkin membahayakan penumpang. Sekarang inipun sudah nampak bas yang dipandu Najib itu sedang terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan sehinggakan selalu memakan jalan dan lorong bertentangan.

Selama ini kita telah mendengar bas-bas ekspress yang telah melanggar jambatan, ‘toll-gate’ dan kenderaan yang berhenti dan sebagainya yang telah menyebabkan penumpang terbunuh bergelimpangan di tepi lebuhraya. Sebabnya pemandu yang keletihan dan tidak ditukar.

Kita juga banyak mendengar pemandu-pemandu bas yang tidak jujur membuat ‘duit luar’ dengan menjual ‘spare tyre’ serta menjual banyak alat-alat gantian yang ada didalam bas itu serta lari mencuri minyak petrol dan di jual kepada orang luar.

Kita jangan dengar nasihat pemandu yang sedang memandu kita sekarang kerana bas yang dipandunya telah hampir rosak dan tidak berfungsi dengan baik lagi. Cari sahaja pemandu lain supaya bas-bas itu dijaga dan mendapat ‘maintenance’ yang lebih baik.Lagi pun pemandu yang sekarang ini selalu makan sambil memandu.

Jika pemandu sekarang masih memandu maka ‘premium’ insurannya akan terlalu mahal kerana ‘loading’ kepada premiumnya terlalu tinggi, ‘loading’ kepada insurannya itu menjadi tinggi disebabkan risiko yang terlalu tinggi dan merbahayakan bas-bas yang akan dipandunya itu.

UNDI PAS MASUK SYURGA - 'UMNO DENDANG LAGU LAMA, DIBERI NAFAS BARU'

11 Jamadil Awal 1433 H | 3 April 2012
3 APRIL — Sejak lebih 30 tahun apabila kerajaan dan pimpinan Umno dianggap rasuah, pemimpin Umno tidak menafikannya tetapi mengalihkan anggapan itu dengan berkata, rasuah paling teruk ialah parti politik yang menjanjikan syurga kepada pengundi yang mengundinya.

Ia diulang-ulang hingga hari ini oleh penyokong-penyokong Umno.

Dengan berkata begitu, Umno tidak kata ia tidak rasuah, tetapi menyindir ada yang lebih rasuah iaitu parti yang dikatakannya menjanjikan syurga kepada penyokongnya dan sesiapa yang mengundinya.

Tentulah yang disindirnya itu PAS kerana di negara ini PAS saja yang bercakap tentang pahala dan dosa dalam politik.

Politik itu ada jenayahnya. Hosni Mubarak dan Gaddafi adalah orang yang dituduh melakukan jenayah politik, tetapi tidak ada orang mengatakan politik mereka itu berdosa. Kalau pun dikata berdosa dan derhaka, mereka berdosa kepada rakyat dan derhaka kepada negara.

Tiada yang mengatakan mereka berdosa kepada Allah dan derhaka kepada Allah. Tetapi pemimpin PAS Tok Guru Nik Aziz berkata, politik seperti itu tidak sekadar berdosa kepada rakyat dan negara tetapi berdosa juga kepada Allah.

Chua Jui Meng, ketua PKR Johor berkata dalam Wacana Sinar, “PAS kata, rasuah berdosa.” Berdosa itu adalah pada sisi Allah.

Orang yang berdosa masuk neraka kecuali taubatnya diterima.

Rasuah itu adalah kejadian yang boleh berlaku dalam politik. Politik macam itu berdosa. Banyak lagi perbuatan poliltik yang berdosa.

Politik yang boleh berdosa itu adalah politik itu tidak dijadikan ibadat. Orang Islam mesti menjadikan politiknya sebagai ibadat. Ketika memula solat dia berikrar dalam doa Iftitah bahawa solatku, ibadatku, hidupku dan matiku kerana Tuhan semesta alam.

Maksud hidupku ialah segala kegiatan selepas lahir hinggalah mati. Antara kegiatan hidup itu ialah sekolah, kerja, kahwin, berniaga dan berpolitik. Maka mestilah politiknya politik ibadat.

Oleh kerana politik PAS itu politik Islam, maka politiknya adalah ibadat. Apa jua kegiatan politiknya jika diterima Allah sebagai amal soleh secaya mendapat pahala. Dengan pahala itulah semua masuk syurga.

Pahala itu bukan PAS yang menjanjikannya dan bukan PAS yang memberinya. Allah yang menjanjikan pahala dan syurga bagi yang beramal soleh. Apabila pilihanraya, mengundi dan kempen menjadi ibadat, maka terhindarlah ia dari maksiat, menipu undi, membeli undi, undi hantu dan sebagainya.

Tapi kalau niat tidak betul mengundi calon parti Islam pun tidak dapat pahala seperti banyak orang solat masuk neraka kerana solatnya lagho. Solat itu adalah jalan ke syurga, tetapi kalau solatnya lagho, dia tidak dapat pahala.

Demikian juga politik. Politik yang menjadi jalan ke syurga ialah politik yang diredha Allah. Politik yang diredhai itu ialah yang menjadikan politik itu ibadat. Barang siapa yang berada dalam politik ibadat itu dapatlah dia pahala.

PAS tidak memandai-mandai menjanjikan syurga kepada sesiapa, tetapi PAS sampaikan apa suruh sampaikan melalui al-Quran dan Sunnah NabiNya. Neraka dan syurga itu Allah yang punya. Dia saja yang menentukan siapa masuk syurga dan siapa masuk neraka.

Apa yang dikatakanNya boleh masuk syurga, itu yang PAS kata. Dan apa pula yang menyebabkan masuk neraka, maka itulah PAS kata. Allah saja yang berhak berkata begitu dan menjanjikan begitu. PAS adalah sebagai pendakwah menyampaikan apa yang Allah janji.

Maka apa yang PAS sampaikan itulah dikatakan oleh Umno, PAS menjanjikan rasuah syurga kepada penyokongnya dan sekalian yang mengundinya. PAS tidak mendakwa begitu. Umno yang kata PAS kata begitu.

Sejak lebih 30 tahun dulu tak habis-habis Umno kata, PAS kata undi PAS masuk syurga. - themalaysianinsider