Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PERPADUAN : SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PERPADUAN : SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN

AHAD, 01 NOVEMBER 2009 | 13 ZULKAEDAH 1430H

Pengisytiharan 16hb September sebagai Hari Malaysia merupakan satu langkah baik ke arah menyatukan perpaduan di kalangan rakyat, walaupun ianya agak aneh, kerana di Malaysia ada hari merdeka, dan ada Hari Malaysia. Penulis tidak berhasrat mengupas persoalan tersebut, tetapi bilamana kita melihat isu perpaduan kaum di negara kita, walaupun ianya telah berjalan dengan baik; tetapi masih terdapat beberapa isu tertangguh yang belum selesai.

Perpaduan Nasional merupakan teras yang perlu dipelihara oleh semua pihak, dalam usaha mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara. Antara isu utama yang masih belum selesai ialah persoalan pendidikan, yang merupakan elemen penting perpaduan nasional.

Setelah negara mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun, kita masih mempunyai dua sistem pendidikan kebangsaan, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan. Apakah matlamat kewujudan sekolah tersebut, selain daripada memenuhi kehendak kaum yang ada. Kewujudan sistem pendidikan bersifat perkauman ini tentulah tidak membantu perpaduan nasional yang lebih kukuh. Bayangkan wujudnya dua sekolah kebangsaan dalam satu perkampungan, satu taman perumahan bahkan wujud tiga sekolah kebangsaan di sesuatu kawasan. Kita lihat negara jiran kita samada
Indonesia atau Thailand, mereka hanya ada satu sistem pendidikan sahaja, iaitu sistem pendidikan kebangsaan.

Isu setiap kaum yang memerlukan kemahiran bahasa ibunda dan tulisan ibunda masing-masing bukanlah masalah besar kerana ianya boleh diwujudkan dalam sistem yang sedia ada. Begitu juga soal budaya dan adat resam kaum. Kita perlu melihat jauh ke hadapan dalam usaha perpaduan ini. Seluruh ahli politik khususnya dan pemimpin kaum mestilah sedia bertolak ansur ke arah pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan. Kita perlu membentuk satu bangsa
Malaysia melalui satu sistem pendidikan, yang mana pergaulan dimulai sejak kecil lagi.

Kalau kita ke negara jiran, terkadang kita tidak lagi mengenali mereka mengikut kaum masing-masing. Bahkan nama juga mengikut nama
Thailand atau Indonesia, walaupun mereka masih mengekalkan nama nasab keluarga.

Kerajaan perlu ketegasan dalam merealisasikan hasrat penyatuan dan perpaduan ini. Satu tempoh perlu diberi kepada semua sekolah-sekolah jenis kebangsaan agar mereka dapat bersedia ke arah satu sekolah kebangsaan. Kalau ini dapat dilakukan, sebenarnya tidak banyak perkara yang perlu diubah, kerana sebahagian besar silibus yang digunakan kini telahpun sama dengan apa yang diajar di sekolah kebangsaan. Cuma beberapa subjek yang perlu kekalkan bagi memenuhi hasrat setiap kaum.

Kepimpinan masyarakat terdiri dari PIBG, Majlis Guru, pemimpin kaum, ahli-ahli politik perlu duduk semeja bagi membincang hala tuju masa depan negara. Perpaduan perlu dipupuk sejak kecil, dengan saling perlu memahami hak-hak setiap kaum dan agama dan budaya mereka. Semua ini dapat dibentuk melalui satu sistem pendidikan. Usaha ini harus dimulakan.

Kerajaan perlu melihat isu sistem pendidikan kebangsaan ini sebagai masalah yang masih belum selesai. Persoalannya apakah kerajaan yang ada ini bersedia ke arah itu, dengan pergantungan sokongan politik kaum cina dan
India kepada BN? Saya ingin tegaskan bahawa isu ini hendaklah dilihat dalam skop yang luas, bukan terikat dengan kepentingan politik perkauman yang sempit, sehingga boleh menjejaskan hasrat besar ini. Kenyataan PM bahawa kita kena tengok reaksi rakyat, tentu tidak banyak membantu ke arah kewujudan satu sistem persekolahan kebangsaan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS Pusat.

0 comments:

Post a Comment