Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: MAJLIS FATWA PERLU BERDIRI DENGAN KEKUATAN SENDIRI
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



MAJLIS FATWA PERLU BERDIRI DENGAN KEKUATAN SENDIRI

17 Jamadil Akhir 1433 H | 9 May 2012

Kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa haram untuk menyertai perhimpunan yang mencetuskan huru-hara dengan mengaitkannya dengan perhimpunan Bersih 3.0 telah menimbulkan pelbagai komentar dan kritikan.

Tindakan ini dilihat sangat tidak baik dan tidak sihat kerana kedudukan Majlis Fatwa sangat tinggi di kaca mata umat Islam kini dipertikai. Majlis Fatwa yang merupakan institusi tertinggi dan kredibilitinya dalam mengeluarkan fatwa seharusnya sentiasa dihormati dan dirujuk. Namun episod terbaru ini telah menyebabkan ramai yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa.

Sebagai seorang Islam, semua pihak boleh menyatakan pandangan dan kritikan. Tapi, fatwa terbaru ini yang turut dipertikaikan oleh golongan ulama perlu diberi perhatian.

Saya melihat kenyataan Majlis Fatwa bukanlah perkara pelik, atau bercanggah dengan nas. Inilah yang dinyatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz yang menyokong kenyataan tersebut, iaitu bahawa menyertai perhimpunan yang bertujuan untuk menimbulkan huru hara, merosakkan harta awam dan ketenteraman awam adalah bertentangan dengan Islam.

Kenyataan ini tidak perlu dipertikai oleh mana mana pihak, dan PAS menerimanya.

Namun apa yang mendukacitakan ialah Majlis Fatwa seolah-olah menghukum ribuan rakyat yang hadir seolah-olah telah melakukan perkara bertentangan syarak apabila menghadirkan diri di Bersih 3.0.

Seseorang yang hadir dalam mana mana demonstrasi aman tidak bercanggah dengan hukum syarak, lebih-lebih lagi jika ianya adalah sebahagian dari penentangan terhadap kemungkaran sistem politik.


Mungkar bukan hanya melibatkan minum arak, berzina atau merompak, malah kemungkaran juga berlaku apabila melibatkan sistem yang rosak, rasuah, menyeleweng dan salahguna kuasa. Tidak kurang juga dengan perjalanan pilihanraya yang tidak adil, manipulasi daftar pemilih dan salahguna media awam juga adalah sebahagian daripada kemungkaran.

Melihat kepada kemungkaran ini, sepatutnya para ulamak dan seluruh ahli Majlis Fatwa turun bersama-sama rakyat dalam himpunan Bersih 3.0 bagi menuntut sistem yang adil kerana ini menepati tuntutan syarak.

Kekecohan adalah perkara mendatang. Ia dicipta oleh pihak tertentu yang menembak gas pemedih mata dan air asid kepada orang awam yang tidak melakukan sebarang rusuhan.

Sebenarnya pencetus kekecohan adalah golongan yang sebenarnya melakukan kemungkaran dalam himpunan tersebut. Apatah lagi tindakan memukul, menyepak dan mendera orang ramai yang tidak melakukan sebarang keganasan, yang jelas bertentangan dengan semua nilai sejagat.

Sehubungan itu, PAS tidak bersetuju dengan kenyataan Majlis Fatwa yang dibuat berdasarkan maklumat tidak tepat, rakaman peristiwa yang telah diedit dan sebagai orang yang bukan berada di lapangan.

Fatwa tidak boleh dikeluarkan tanpa memahami realiti keadaan dan tujuan himpunan, apatah lagi apabila fatwa dibuat berdasarkan maklumat yang diseleweng oleh media perdana dengan menggambarkan orang ramai yang membuat huru hara dan kekecohan.

Fatwa hanya melarang menyertai perhimpunan untuk menimbulkan huru hara dan keganasan. Siapa yang menimbulkan huru-hara sepatutnya diberi fokus; iaitu pasukan polis dan FRU yang mencetuskan suasana kecoh dan gawat.

Tindakan ahli dan pengerusi Majlis Fatwa menggunakan media perdana menyebabkan ia terdedah kepada pelbagai penyelewengan dari maksud sebenar.

PAS melihat Majlis Fatwa perlukan saluran media sendiri, atau melalui satu sidang media melibatkan semua pihak bagi menyalurkan pandangan dan fatwa dengan memberi penjelasan terperinci bagi sebarang fatwa yang dikeluarkan.

Dengan cara ini ianya boleh mengurangkan spin kepada kenyataan yang dikeluarkan sehingga dipertikaikan kewibawaannya.

0 comments:

Post a Comment