Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: TERIMA KASIH KEPADA SEMUA - PRESIDEN PAS
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA - PRESIDEN PAS

26 Safar 1432 H | 31 Januari 2011

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen,  Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan. 

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan. 


Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.



PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini. 

Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini.
 


Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.
 Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan. 
Kita senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem 
demokrasi yang adil dan tulen.



Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Presiden PAS

0 comments:

Post a Comment