Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: HUDUD : PUTRAJAYA SEPATUTNYA BANTU, BUKAN SEKAT - PAKAR PERLEMBAGAAN
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



HUDUD : PUTRAJAYA SEPATUTNYA BANTU, BUKAN SEKAT - PAKAR PERLEMBAGAAN

26 Syawal 1432 H | 25 September 2011

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Kerajaan pusat wajar membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum hudud dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan selain memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan kerangka perundangan semasa membenarkan keadaan itu, kata pakar perlembagaan.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Putrajaya perlu membantu dengan:
  • Memansuhkan Akta Mahkamah Syariah yang “mengikat tangan Mahkamah Syariah.”

  • Meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan dengan memberi pengecualian untuk Kelantan

  • Membenarkan polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan yang berada di bawah tangan mereka untuk melaksanakan tugas di sisi undang-undang

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Penegasan sedemikian juga telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ia boleh dibuat tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Kalau MCA dan Gerakan tak mahu sokong tak apa kerana apa yang Kelantan cadangkan itu tidak memberi kesan kepada bukan Islam,” katanya.

“Contohnya sekarang, kalau orang Islam berzina dengan bukan Islam, orang bukan Islam tidak didakwa. Orang Islam tak boleh cabar hudud kerana di bawah Perlembagaan hak sama rata tidak terpakai dalam konteks undang-undang peribadi.

“Wanita Islam tak boleh cabar undang-undang poligami atau kuasa cerai suami atas alasan mereka didiskriminasi. Orang Islam kena faham Malaysia ada dua sistem undang-undang, jadi tak timbul tuntutan layanan sama rata,” kata beliau lagi.

“Perlembagaan membenarkan cadangan itu. Kalau Karpal Singh tak setuju itu hak dia tapi dia kena sedar pendapat dia tidak mutlak. Satu lagi kesimpulan ialah faktor kritikal ialah kejujuran dan kemahuan politik,” katanya lagi.

Aziz berkata, apa pun yang Kelantan hendak ialah hak negeri melaksanakan hudud dan persekutuan perlu memberi kerjasama tetapi ini sukar berlaku kalau dilihat dari sudut isu royalti minyak.

“Hudud ini sebenarnya mempertingkat undang-undang jenayah syariah yang sedia ada. Kesalahannya, contohnya zina, sudah mengikut Islam. Apa yang perlu dipinda ialah hukuman,” katanya lagi. - themalaysianinsider

0 comments:

Post a Comment