Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: September 2011
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

HUDUD : PENDIRIAN RASMI PAS

KENYATAAN MEDIA
2 Dzulka'edah 1432 H | 30 September 2011

1.   Parti Islam SeMalaysia  (PAS) ingin menegaskan bahawa aktiviti dan perjuangan PAS adalah dalam kerangka demokrasi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan jaminan kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda masing-masing, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

2. PAS juga ingin menegaskan komitmen untuk melaksanakan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini, menerusi muafakat rakyat yang telah dipersetujui dalam penegasan bersama yang disebutkan dalam Platfom Dasar Bersama Pakatan Rakyat (Pakatan Rakyat Common Policy Platform) dan Dokumen Buku Jingga.

3. PAS juga amat berpegang dan memperjuangkan prinsip negara berkebajikan yang menuntut dilaksanakan keadilan Islam untuk semua dalam masyarakat, dan menolak sekeras-kerasnya tindakan yang berunsur kezaliman terhadap mana-mana rakyat dalam semua tindakannya samada di peringkat dasar parti atau kerajaan yang dipimpin oleh PAS.

4. Perbezaan pandangan DAP terhadap Enakmen Jenayah Syariah adalah berpusat di atas penafsiran bahawa ianya bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan penafsiran ini adalah suatu isu yang sangat relatif kerana wujud perbezaan ketara antara pandangan pengamal undang-undang kedua belah pihak, terutama kaedah untuk mengatasinya. PAS melihat soal tafsiran mana yang menepati peruntukan perlembagaan hanya akan dapat diputuskan oleh mahkamah perundangan.

5. Sehubungan dengan perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II (1993) Kelantan dan Enakmen Jenayah Syariah (2003) Terengganu yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri masing-masing,  maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sejauh mana kesediaan Kerajaan Pusat memberi kebenaran merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan melalui proses yang sesuai dan munasabah.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang di bawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka.  Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama. Kini terpulang kepada kerajaan Kelantan bagi membawa Enakmen berkenaan di peringkat yang seterusnya.

PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS)’s STAND
30 SEPTEMBER 2011
1. PAS would like to stress that its struggle and actions are within the framework of democracy and the provisions of the Federal Constitution. These include the basics such as the position of Islam as the Federal religion, the guarantee for the freedom to practise other religions, the sovereignty of the Malay language as the National Language while maintaining the rights to one's mother tongue, the status of the Malay Rulers, as well as the special rights of the Malays and Bumiputera and the rights of all other communities as guaranteed under the Federal Constitution.

2. PAS reiterates its commitment towards comprehensive reforms in the country through a people's charter agreed upon under what is called Pakatan Rakyat Common Policy Platform and the Orange Book.

3. In all its actions as well as policies of PAS whether at party or governmental level, PAS strongly subscribes to the struggle for a benevolent state which demands for the universal justice of Islam to be enjoyed by all, and rejects in the strongest terms any acts of injustice to any citizen.

4. The differences with DAP with regard to the Syariah Criminal Enactment are based on the interpretation that it runs contrary to the provisions of the Federal Constitution. Matters of interpretation are subjective, as there are clear differences in the understanding between the legal experts of both parties, particularly in finding a solution. For PAS, the solution will ultimately lie with a court of law.

5. In line with Syariah Criminal Enactment II (1993) and Syariah Criminal Enactment (2003)  respectively passed by the state assemblies of Kelantan and Terengganu, PAS is of the view that the state government has the power to translate these enactments into law. The question of whether the Federal government is agreeable or not is secondary and one that needs to be solved in a suitable and logical setting. The people of Kelantan chose PAS on the basis of its Islamic ideals, and as such, their right to practise their religion must be acknowledged. Any attempt otherwise goes against the spirit of democracy which has been mutually agreed. As for the Enactment, it is now up to the Kelantan state government to proceed with the next step.

Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS
PAS Information Chief
30 September 2011

HUDUD : ANTARA 'TIDAK MENYOKONG' DAN 'MENGHALANG'

1 Dzulka'edah 1432 H | 29 September 2011


Sesungguhnya Allah akan bagi dugaan berdasarkan kemampuan seseorang untuk menerimanya.

Keputusan mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) kali ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana telah berjaya memincang isu utama yang menyentuh secara langsung pendirian PR.

Hasil perbincangan yang memakan masa lebih tiga jam itu telah merumuskan satu keputusan yang akan memperteguhkan lagi hubungan PR walaupun berhadapan dengan isu yang rumit. Ternyata cubaan Umno-BN sekali lagi gagal memecah-belahkan PR dalam isu ini.

Pendirian PR dalam memperakui Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 membuktikan PR telah bertindak dengan penuh cermat dan berhemah dalam mencari penyelesaian terbaik dalam isu pelaksanaan hudud.

Perakuan ini bermakna PR memperakui bahawa undang- undang jenayah syariah yang dilulus oleh kedua- dua dewan negeri telah melalui prosedur yang betul, menepati kehendak dalam sistem demokrasi.

Sehubungan itu, perakuan bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993, dan Enakman Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri maka PAS melihat kerajaan negeri mempunyai hak bagi memperkanunkan undang-undang tersebut.

Persoalan sekarang ialah sejauhmana kesediaan pusat untuk memberi kebenaran untuk pelaksanaan merupakan perkara kedua yang perlu diselesaikan.

Rakyat Kelantan khususnya memilih PAS atas dasar Islam yang dibawanya, kerana itu mereka seharusnya diberi hak bagi mengamalkan ajaran mereka. Sebarang usaha menghalang adalah bertentangan dengan semangat demokrasi yang dipersetujui bersama.

Kini terpulanglah kepada kerajaan Kelantan bagi menggazetkan undang-undang tersebut.



Antara “Tidak menyokong” dengan “Penghalang”

PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal ini dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak. Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka.

DAP berpendapat ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.
Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguat-kuasakannya.

Jadi jelas, yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun, dan bukannya DAP. DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini. Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf.

Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya.
Tambahan pula, dengan kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

Namun responnya mengecewakan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan mereka dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini.

Keputusan yang dibuat PR ternyata jauh lebih baik dari pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Sebagai 'damage control' ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

54 tahun memerintah tapi dalam keadaan kononya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah.

Pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.



FAHAMI KANUN JENAYAH SYARIAH II KELANTAN

1 Dzulka'edah 1432 H | 29 September 2011

KUALA LUMPUR, 29 Sept: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat memahami bahawa Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 diluluskan secara demokratik iaitu melalui undi di Dewan Undangan Negeri (Dun).

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat sedikit perbezaan pendapat di kalangan pemimpin DAP dari segi penafsiran undang-undang tersebut iaitu sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Mahkamah Sivil, bukan Mahkamah Syariah.


"Di Kelantan, enakmen tersebut wujud mengikut prosedur di Dewan Undangan Negeri yang mendapat sokongan 39 undi sewaktu dibentang.


"Jadi tak timbul kita melanggar prinsip demokrasi. Cuma percanggahan pendapat di sini dan DAP menentang kerana penafsiran yang berbeza.

"Mungkin DAP tak setuju bukan soal hudud tapi soalnya kerana pada penafsiran DAP bahawa sebarang undang-undang jenayah terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, dan  bukan Mahkamah Syariah," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.


Ujar Tuan Ibrahim, soal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan hanya boleh ditentukan oleh mahkamah. Namun begitu Kelantan tetap mempunyai hak untuk melaksanakan undang-undang tersebut.


Bagaimanapun katanya, dalam Buku Jingga, pelaksanaan hudud memang tidak termasuk dalam agendanya. 


"Hudud tidak termasuk dalam perkara yang dipersetujui bersama (dalam Buku Jingga) tapi yang dipersetujui bersama ialah menghormati sistem demokrasi.


"Jadi dalam menghormati sistem demokrasi, cadangan Kelantan untuk laksanakan hudud juga merupakan keputusan yang dibuat secara demokratik iaitu melalui Dewan Undangan Negeri," katanya.



'Roadshow' hudud

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus memberikan penerangan mengenai hudud kepada orang Islam dan bukan Islam agar mereka faham bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.


"Pas akan teruskan penerangan dan Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat pun telah buat kenyataan bahawa PAS akan teruskan penerangan kepada sesiapa yang kurang jelas dari semasa ke semasa melalui seminar, dialog, wacana ilmiah dan bersikap terbuka terhadap apa yang sulit dalam enakmen hudud ini.


"Sebab kita laksana hudud kepada orang Islam sahaja, orang bukan Islam tidak terlibat dengan enakmen ini dan yang keduanya kita laksanakan dalam konteks Kelantan sahaja," katanya.

TIADA SEBAB UNTUK DAP KELUAR PAKATAN - TGNA

28 Syawal 1432 H | 27 September 2011

KOTA BARU, 26 Sept – Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hukum hudud yang mahu dilaksanakan di Kelantan sama sekali tidak kena-mengena dengan masyarakat bukan Islam terutama DAP yang juga tiada sebab membantah undang-undang Islam itu dilaksanakan.

Sehubungan itu beliau menyifatkan DAP seperti “budak-budak kecil takutkan hantu” sedangkan hukum hudud sebenarnya lebih adil dan tidak membabitkan golongan bukan Islam.


“DAP nak keluar (gabungan pembangkang) pasal apa? Hudud untuk orang Islam dan apa hubungan dia (DAP) dengan orang Islam,” katanya kepada pemberita di kediaman Menteri Besar di sini hari ini.


Semalam, beliau berkata hukum hudud itu akan dilaksanakan di Mahkamah Syariah di Kelantan walaupun mendapat tentangan daripada DAP. - themalaysianinsider

HUDUD : PUTRAJAYA SEPATUTNYA BANTU, BUKAN SEKAT - PAKAR PERLEMBAGAAN

26 Syawal 1432 H | 25 September 2011

KUALA LUMPUR, 25 Sept – Kerajaan pusat wajar membantu Kelantan dalam melaksanakan hukum hudud dengan meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan selain memansuhkan Akta Mahkamah Syariah 1965 dan kerangka perundangan semasa membenarkan keadaan itu, kata pakar perlembagaan.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Putrajaya perlu membantu dengan:
  • Memansuhkan Akta Mahkamah Syariah yang “mengikat tangan Mahkamah Syariah.”

  • Meminda beberapa peruntukan dalam Kanun Keseksaan dengan memberi pengecualian untuk Kelantan

  • Membenarkan polis dan jabatan-jabatan lain yang berkaitan yang berada di bawah tangan mereka untuk melaksanakan tugas di sisi undang-undang

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kerajaan pusat akan tetap menyekat sebarang usaha mahu melaksanakan hukum hudud kerana realiti keseimbangan jumlah masyarakatnya tidak mengizinkan undang-undang sebegitu dikuatkuasakan.

Penegasan sedemikian juga telah diberikan secara hitam putih oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1994.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ia boleh dibuat tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga.

“Kalau MCA dan Gerakan tak mahu sokong tak apa kerana apa yang Kelantan cadangkan itu tidak memberi kesan kepada bukan Islam,” katanya.

“Contohnya sekarang, kalau orang Islam berzina dengan bukan Islam, orang bukan Islam tidak didakwa. Orang Islam tak boleh cabar hudud kerana di bawah Perlembagaan hak sama rata tidak terpakai dalam konteks undang-undang peribadi.

“Wanita Islam tak boleh cabar undang-undang poligami atau kuasa cerai suami atas alasan mereka didiskriminasi. Orang Islam kena faham Malaysia ada dua sistem undang-undang, jadi tak timbul tuntutan layanan sama rata,” kata beliau lagi.

“Perlembagaan membenarkan cadangan itu. Kalau Karpal Singh tak setuju itu hak dia tapi dia kena sedar pendapat dia tidak mutlak. Satu lagi kesimpulan ialah faktor kritikal ialah kejujuran dan kemahuan politik,” katanya lagi.

Aziz berkata, apa pun yang Kelantan hendak ialah hak negeri melaksanakan hudud dan persekutuan perlu memberi kerjasama tetapi ini sukar berlaku kalau dilihat dari sudut isu royalti minyak.

“Hudud ini sebenarnya mempertingkat undang-undang jenayah syariah yang sedia ada. Kesalahannya, contohnya zina, sudah mengikut Islam. Apa yang perlu dipinda ialah hukuman,” katanya lagi. - themalaysianinsider

HUDUD : HORMATI HAK KELANTAN - ANWAR

26 Syawal 1432 H | 25 September 2011


Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama.

Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang.


Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato’ Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya.


Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.


Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua.


Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.


PERSIAPKAN JENTERA PILIHANRAYA DI TAHAP OPTIMUM

24 Syawal 1432 H | 23 September 2011

Muktakir ini, media Umno sengaja membesar-besarkan pelbagai isu bagi mengalihkan tumpuan kerja Pakatan Rakyat.

Isu ucapan Mohamad Sabu, bendera, hudud, sejarah kemerdekaan merupakan antara isu-isu yang sedang sengaja diwujudkan menjelang PRU akan datang. Tujuannya hanya satu -
 untuk mengalihkan perhatian kepada isu-isu utama yang mempunyai kesan langsung kepada keselamatan negara seperti isu warga asing yang diberi kerakyatan mudah, penyelewengan wang rakyat dan rasuah secara besar-besaran. 

Demikian juga isu warga asing yang diberi hak mengundi, peningkatan kos hidup yang membebankan, cukai GST yang akan dilaksanakan selepas PRU ke 13, dan yang terkini isu akta yang akan menggantikan ISA.


Dalam menghadapi PRU yang semakin hampir, rakyat sedang dan akan bakal saksikan bagaimana media perdana akan menggiatkan usaha untuk mengalihkan perhatian mereka sehingga isu-isu utama tenggelam.
 Teknik seperti isu bangsa, agama dan pelbagai isu sensitif sememangnya menjadi hobi dan senjata BN untuk lima dekad yang lalu, terutamanya pada waktu timbulnya isu-isu yang mereka tidak boleh jawab. Harapan mereka supaya rakyat lupa bahawa mereka perlu menjawab sesuatu isu besar yang dibangkitkan. 

Strategi ini sentiasa digunakan kerana BN mempunyai kuasa mutlak terhadap media perdana. Dulu ia sememangnya berkesan, akan tetapi pada zaman teknologi sekarang keberkesanannya boleh dikurangkan secara drastik bergantung kepada kebijaksaan Pakatan Rakyat menghadapi teknik ini. 
Walaupun ada-kalanya kita terpaksa menjawab isu-isu yang sengaja dibangkitkan, namun pada masa yang sama para pemimpin Pakatan Rakyat harus terus menekankan isu-isu utama yang membabitkan rakyat sehingga BN terpaksa menjawabnya. 

Oleh itu, dalam masa menjawab tuduhan dan isu yang sengaja diwujudkan, Pakatan Rakyat mesti lebih bijaksana mengambil peluang untuk mengungkit semula isu-isu utama ini supaya rakyat tidak hilang fokus dan terpengaruh dengan taktik alih perhatian BN.
 Pakatan Rakyat dinasihatkan untuk mengawal emosi apabila berdepan dengan provokasi sebegini. Ini kerana isu-isu yang sengaja dibangkitkan adalah untuk mengganggu emosi supaya PR terus berbalah dengan mereka dalam isu yang sengaja diwujudkan sehinggakan tiada ruang dan masa untuk mengungkit isu-isu yang lain yang lebih penting dan berbangkit. 

Seluruh jentera Pakatan Rakyat diharap tidak terpengaruh dan 
hendaklah memastikan seluruh jentera parti dapat menumpukan kepada persiapan akhir untuk pertarungan PRU-13 dengan mengemaskinikan segala maklumat penting. Bilik gerakan mestilah dibuka segera, semakan daftar pemilih mesti dilakukan dan semangat pekerja-pekerja jentera parti mesti berada pada tahap optimum.

Tindakan bagi mengesan kelemahan jentera dan pembekalan peralatan pilihanraya juga mesti disiapkan segera. 
Kewangan dan dana pilihanraya mesti dikeluarkan dan dijana bagi melengkapkan peralatan asas yang perlu disediakan. Gerak kerja rayu undi, semakan daftar, peralatan pilihanraya dan cara penerangan isu-isu semasa mesti dilengkapkan sebelum parlimen dibubarkan. Gunakan dana pilihanraya di semua peringkat sekarang, bukan setelah parlimen dibubarkan. Segala-galanya akan berubah bilamana parlimen bubar. 

Untuk itu, jangan terpengaruh dengan isu yang sengaja diwujudkan bagi melekakan kita dari tugas sebenar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU akan datang.

EKSKLUSIF - "MENGAPA SPRM HEBAH KEBURUKAN ORANG YANG BELUM TERBUKTI BERSALAH?"

23 Syawal 1432 H | 22 September 2011

Saya, Maziah Manap adalah balu kepada Allahyarham Ahmad Sarbaini Bin Mohamed.  Keluarga kami masih menanggung duka nestapa akibat kematian suami saya semasa dalam tahanan SPRM pada 6 April 2011. 

Beban sengsara dan kesedihan yang saya dan anak-anak alami menjadi lebih berat apabila kami diaibkan dengan tohmahan dan andaian bahawa Allahyarham adalah seorang pegawai Kastam yang korup.


Itulah gambaran dan kesimpulannya apabila peguam SPRM, Muhammad Shafee Abdullah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 12 September 2011 bahawa SPRM tidak boleh dipertanggungjawabkan kerana suami saya meninggal dunia apabila cuba melarikan diri untuk berjumpa kawannya supaya pernyataan mereka kepada SPRM dapat diselaraskan. 

Kenyataan akhbar tersebut dihebahkan secara meluas seolah-olah ianya suatu fakta hakiki. 
Saya sangat dukacita dan sedih dengan kenyataan akhbar SPRM tersebut yang merupakan satu lagi tohmahan yang sangat zalim terhadap Allahyarham dan keluarga saya. 

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan tersebut supaya masyarakat awam dapat menilai perkara yang sebenarnya kerana saya tidak terlarat lagi mendengar dan melihat cemuhan demi cemuhan yang dibuat semata-mata untuk melepaskan SPRM daripada dipertanggunjawabkan ke atas kematian suami saya.


Yang menambahkan lagi dukacita saya ialah propaganda yang digunakan oleh SPRM untuk menghebahkan keburukan orang-orang yang belum lagi terbukti bersalah. Sebaliknya, apabila sesuatu perkara membabitkan kecacatan, kecuaian dan keburukan SPRM, maklumat tersebut seolah-olah cuba disembunyikan atau dipadamkan daripada pengetahuan awam.


"LUCUNYA CABARAN TUN M" - TGNA

23 Syawal 1432 H | 22 September 2011

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh perdana menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan perdana menteri? Lucu sekali cabaran Tun Mahathir...,” kata Nik Aziz dalam mesej dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook beliau pagi ini.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik balik surat tersebut,” kata Mursyidul Am PAS ini mengulas kenyaatan Dr Mahathir yang dikeluarkan di Tanjong Malim semalam.

Dr Mahathir meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanakannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya. - themalaysianinsider

HAPUS ISA TIDAK BERMAKNA TERBAIK DEMOKRASI

23 Syawal 1432 H | 22 September 2011

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap kenyataan Perdana Menteri bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia adalah sebagai kenyataan yang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata.

Ini kerana, ISA adalah satu daripada ratusan isu serta akta yang menyekat kebebasan rakyat Malaysia selama ini.  ISA adalah akta drakonian yang ketinggalan zaman.  Hanya sekarang Perdana Menteri menyedarinya, itupun kerana desakan rakyat, maka Perdana Menteri terpaksa mansuhkannya.

Hakikat sebenarnya Malaysia telah jauh ketinggalan daripada negara-negara yang tinggi amalan demokrasinya di dunia ini, apatah lagi untuk dinobatkan sebagai negara demokrasi yang terbaik.

Jika benar Perdana Menteri berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik, banyak perkara yang perlu diubah dalam negara ini.  Selain ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ordinan Darurat (EO), Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta lain-lain lagi perlu dinilai kembali keberkesanannya.  Ini kerana akta-akta ini sudah tidak relevan lagi untuk dilaksanakan ketika ini.

Selain itu, kredibiliti golongan penting yang mewakili agensi utama kerajaan seperti Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, dan lain-lain lagi perlu diangkat martabat mereka.  Untuk memulihkan imej mereka di mata rakyat, Perdana Menteri mesti berjanji untuk membebaskan mereka dari sebarang pengaruh parti politik.  Sebarang campurtangan politik dalam setiap keputusan atau tindakan akan menjejaskan integriti mereka di depan rakyat.

Perdana Menteri juga perlu membebaskan kongkongan parti pemerintah terhadap media utama di negara ini.  Rakyat melihat media di negara ini pada hari ini sebagai agensi yang terpenjara dengan berita dan maklumat yang bersifat berat sebelah semata-mata. 

Saban hari yang menjadi mangsa serangan bertali arus media adalah PAS dan Pakatan Rakyat sementara yang dipuja dan suci dari sebarang dosa adalah pemimpin UMNO-BN.  Bagi mereka yang celik maklumat, berita daripada media arus perdana sangat memualkan.

Akhir sekali Perdana Menteri juga perlu memberi komitmen untuk membersihkan sistem pilihanraya dari sebarang penipuan.  Dengan daftar pemilih yang semakin dicurigai, undi pos yang masih digunakan, dakwat kekal yang masih tidak dilaksanakan, pengundi bangsa asing yang semakin kerap dijumpai, kempen yang berat sebelah, dan lain-lain lagi menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan untuk menjadi negara demokrasi terbaik di dunia. 

Mungkin juga Malaysia boleh menjadi negara demokrasi terbaik di dunia, tetapi dari kalangan negara yang mengamalkan kuku besi dan autokratik!

Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz
Timbalan Ketua DPP Wilayah Persekutuan.

DAKWA MAT SABU - ADAKAH NAJIB BOLEH DIPERCAYAI?


22 Syawal 1432 H | 21 September 2011

Tindakan pendakwaan ke atas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengesahkan sangka buruk rakyat bahawa sememangnya janji Perdana Menteri (PM) Umno tidak boleh dipercayai.


Kenyataan Mohamad Sabu mengenai status Mat Indera bukannya cakap kosong sebab ia dapat disahihkan ada kebenarannya oleh beberapa sumber rujukan – sebuah buku berjudul ‘Pengukir Nama Johor’,  kajian tesis 
pelajar Universiti Malaya, Ayub @ Uiop Kassim di tahun 1973, ada juga pengakuan kawan dan ahli keluarga Mat Indera.


Jikalau itu pun salah, maka kesalahan harus dikembalikan kepada segala sumber rujukan beliau - sebagaimana semua rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa ‘negara pernah dijajah British’.


Ini kerana mereka ini sudah tersalah memahami sejarah negara kerana mempercayai kesilapan buku sejarah keluaran Kementerian Pelajaran, sekiranya apa yang secara dinyatakan secara teknikalnya oleh Professor Zainal Kling dan Dr Mahathir adalah betul.


Takkan pula waris-waris kepada mereka yang pernah bekerja di bawah kerajaan sebelum 31 Ogos 1957 dan kerajaan hendak membuat laporan polis dan mendakwa semua pelajar yang menyatakan negara ini pernah dijajah oleh British?


Kalau dikira, isu yang dibangkitkan oleh Mohamad Sabu hanya berkaitan satu peristiwa iaitu peristiwa Bukit Kepong berbanding perisytiharan yang dilakukan oleh MPN, tentulah perisytiharan MPN itu mempunyai kesan lebih besar kepada rakyat dan negara.


Akan tetapi yang didakwa ialah Mohamad Sabu. Sekiranya Mohamad Sabu perlu didakwa, bagaimana pula Majlis Professor Negara (MPN) dan Zainal Kling?


Secara 'simple' nya ini yang berlaku - “Mohamad Sabu menyatakan Mat Indera sebagai hero pejuang kemerdekaan, tapi Umno dan medianya memutar-belit kenyataan beliau kepada ‘Mohamad Sabu menyokong komunis’ dan menyebarkannya ke merata tempat.”


Sedangkan, apa yang diminta oleh beliau ialah kajian semula fakta sejarah perjuangan pra kemerdekaan dengan membawa contoh peristiwa Bukit Kepong dan Mat Indera. 


Apakah Mohamad Sabu boleh dianggap mengancam keselamatan negara dengan hanya satu ucapan begitu?


Mohamad Sabu didakwa atas ucapan beliau yang diputar-belitkan oleh media pro Umno, yang kemudiannya dengan sengaja mewujudkan suasana kelam-kabut bagi menghalalkan tindakan bagi mendakwa beliau.


JANGAN LAYAN ISU MURAHAN, FOKUS PRU13

19 Syawal 1432 H | 18 September 2011

Tiada keperluan untuk menukar bendera negara kerana bendera adalah lambang kedaulatan negara. Disebabkan itu, sebagai rakyat Malaysia, bendera negara perlu dipertahankan, tidak boleh diperlekeh dan dipersendakan.

Isu utama kini bukanlah bendera tetapi Barisan Nasional yang memerintah negara. Slogan Barisan Nasional, 1Malaysia yang menggunakan lambang bendera Malaysia itu juga bukan isu utama kerana slogan akan sentiasa bertukar.


Pada zaman Tun Dr Mahathir, berapa banyak slogan yang telah digunakan BN hanya sebagai penyedap kata? Demikian juga zaman Tun Abdullah Badawi dengan Islam Hadharinya, dan kini Datuk Seri Najib Razak dengan promosi 1Malaysia yang hebat, namun tetap gagal memahamkan orang sebijak Tun Dr Mahathir mengenai maksud slogan tersebut sehingga kini, apatah lagi rakyat Malaysia.


Sama-sama Barisan Nasional pun mereka tukar slogan apatah lagi apabila bertukar kerajaan.

Isu ini tidak perlu jadi polimik kerana ia TIDAK AKAN menjadi dasar Pakatan Rakyat, dan PAS secara tegas tidak akan sesekali menyokong cadangan sedemikian daripada sesiapa pun.

Mari kita bekerja keras bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam pilihanraya umum akan datang. Itulah isu yang harus difokuskan oleh semua pemimpin, anggota, penyokong Pakatan Rakyat dan rakyat yang inginkan pembaharuan dan jaminan masa depan yang lebih baik.

RAKYAT PERLU BERUBAH SEBELUM REBAH

19 Syawal 1432 H | 18 September 2011

Perisytiharan penghapusan akta zalim ISA pada 15 September telah memenuhi dada-dada akhbar. Seperti biasa juak-juak Umno, yang dulunya lantang melaungkan dan memperjuangkan pentingnya ISA dikekalkan, telah menebalkan muka dan memuji bertubi-tubi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang berani, tegas dan hebat.

Jika pujian itu diterima, secara logiknya - bukankah itu bermaksud dulu semua pemimpin Umno ini penakut, tiada ketegasan dan tiada kehebatan? Cuma sekarang saja ada keberanian.


Pada tahun 2009, kerajaan BN berkali-kali menegaskan bahawa dasar dan pendirian kerajaan adalah untuk mengkaji dan bukannya memansuhkan ISA. Malah pada bulan Disember 2009, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan bahawa 'semua pihak' sepakat ISA dikekalkan.


'Lembu punya susu, sapi dapat nama' 
Pakatan Rakyat pula dalam Buku Jingganya pula menyatakan akan memansuhkan ISA. Apabila Pakatan Rakyat kata penghapusan akta zalim ini meniru idea dalam Buku Jingga, tiba-tiba bangkitlah beberapa orang menteri Umno amnesia yang menyatakan bahawa ini idea asli Perdana Menteri, bukannya tiru idea Buku Jingga.


Malah, Najib menyuarakan bahawa “inisiatif untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah keputusan dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bukan perjuangan mana-mana pihak lain.”


Mananya penghargaan kepada jasa-jasa pejuang-pejuang memansuhkan ISA selama ini? Takkanlah disebabkan mereka ini rakyat jelata yang menyokong perjuangan samada dalam wadah pembangkang ataupun tidak, dalam menuntut memansuhkan ISA, langsung tiada kredit!?


Siapakah pencetus inisiatif tersebut kalau bukan rakyat yang membantah kerajaan dalam isu ISA, terutamanya barisan pembangkang dulu?


Secara tiba-tiba, 'pejuang-pejuang' yang dulunya bermati-matian nak kekalkan ISA kini menjadi hero, manakala yang hendak mansuhkan ISA sejak dulu pula sengaja diketepikan. Tindakan ini terus mengingatkan rakyat kepada nasib yang menimpa pejuang-pejuang haluan kiri pra-kemerdekaan… sejarah seolah-olah diulang tayang untuk membuka mata rakyat.


Cukup marah nampaknya Perdana Menteri dan para pimpinan Umno apabila dikatakan mereka telah meniru idea orang lain. Barangkali itu sebenarnya punca utama di sebalik penggantungan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa ahli parlimen PR dalam kontroversi APCO kerana mereka juga pernah menyatakan idea 1Malaysia adalah hasil ciplak 1Israel.


Media perdana kini terus memberikan bayangan bahawa Perdana Menteri sedang disanjungi kerana keberaniannya, sehinggakan Zaid Ibrahim perlu cepat-cepat memohon maaf kepadanya  kerana tersilap membuat andaian.


PENDEDAHAN SHEIKH HASINA - ANWAR TUNTUT PENJELASAN NAJIB

Rakyat diminta patriotik, tapi bagaimana dengan PM?
18 Syawal 1432 H | 17 September 2011

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa siasatan terhadap pengakuan Perdana Menteri Bangladesh bahawa rakyatnya memperoleh kerakyatan Malaysia dan layak mengundi.

“Kita minta pengesahan lanjut kerana keterangan itu dari laman web kerajaan Bangladesh, inikan aneh.


“Saya anggap kecurangan, ini isu nasional. Bagaimana boleh sebuah negara yang kononnya yang begitu cekap dan canggih dengan kemudahannya mengizinkan pemalsuan terang-terangan,” kata Anwar.


Ketua Pembangkang itu berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu berlaku ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat supaya lebih patriotik dan menjaga keamanan bersama.


“Saya ikuti website (laman web) kerajaan Bangladesh malam tadi (17 September), benar atau tidak rakyat Bangladesh yang diberi izin mengundi di Malaysia. Itu kenyataan Perdana Menteri Bangladesh. Ini dakwaan serius,” katanya.

Bagaimanapun, semakan Keadilan Daily pada jam 7 malam ini mendapati pengakuan itu dipadamkan dari laman web berkenaan atas sebab yang tidak diketahui. - keadilandaily.com

MANSUH ISA - JIKA IKHLAS, BEBASKAN MEREKA

Pemansuhan ISA satu kemenangan untuk rakyat!
18 Syawal 1432 H | 17 September 2011


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak digesa membebaskan semua tahanan ISA yang sedang ditahan di Penjara Kamunting sebagai langkah keikhlasan pertama  ekoran pengumuman beliau untuk menghapusan akta tersebut.

Amat dikesali kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang sekali lagi mengikut langkah melawan arus seperti dalam hal menangani perhimpunan Bersih 2.0 dengan mengumumkan bahawa tahanan ISA kini akan kekal ditahan sehingga dua akta baru menggantikan ISA disiapkan.


Dua akta itu pula hanya akan dibentangkan tahun depan mengikut kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz dan semua ini menambahkan perit kepada ahli keluarga tahanan ISA yang menaruh harapan tinggi sejak pengumuman Najib semalam.


Seharusnya Menteri Dalam Negeri bertindak lebih bijak dalam hal ini dengan membebaskan semua tahanan ISA secepat mungkin sebagai langkah keikhlasan dan demi membantu Najib mendapatkan kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat bahawa pengumuman melakukan reformasi untuk kebaikan negara bukanlah hangat-hangat tahi ayam seperti apa yang melanda siri reformasi ekonomi yang diwar-warkan beliau.


MANSUH ISA - PAS AMBIL PENDIRIAN 'TUNGGU DAN LIHAT'

17 Syawal 1432 H | 16 September 2011

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masih terlalu awal untuk PAS menyatakan pendirian berhubung pemansuhan ISA yang diumum Datuk Seri Najib Razak dalam pertusan Hari Malaysia malam tadi.

"PAS mengambil sikap untuk tunggu dan lihat dahulu berkaitan penghapusan ISA dan beberapa akta lain yang diumumkan Perdana Menteri. 


"Ini kerana kita hendak melihat dahulu perundangan alternatif yang disebut kerajaan bagi menggantikan ISA," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.


Ianya sebagai respon awal PAS berhubung pengumuman kerajaan memansuhkan akta yang sudah lama dituntut oleh Pakatan Rakyat agar dihapuskan itu.


Biarpun ISA diumum akan dimansuhkan, Najib juga mengumumkan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan akta itu.


Selain itu, PAS juga kata Tuan Guru Abdul Hadi masih sangsi dengan pengumuman itu ekoran ianya dibuat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.


"Tambahan pula ia dibuat menjelang pilihanraya yang kita lihat sebagai tujuan politik dan tawaran pilihanraya Barisan Nasional. 


"Setelah beribu orang menjadi mangsa kezaliman akta tersebut, menjelang pilihanraya barulah ia dihapuskan," katanya. - harakahdaily

'LAYANILAH UMNO SEADANYA, JANGAN KECILKAN HATINYA'

16 Syawal 1432 H | 15 September 2011

Kalau anda ingin mengenali seseorang itu tua atau muda, anda boleh menilai dari perbualan mereka. 

Seandainya orang yang anda temui itu berbicara banyak mengenai perkara-perkara yang lepas, dan menceritakan tentang pengalaman hidupnya yang lalu, itulah tanda yang sedang berbicara itu sudah tua.


Akan tetapi kalau perbicaraannya menceritakan apa yang sedang berlaku, atau apa yang akan dilakukan, maka ianya tanda orang itu muda.


Ini antara petanda usia seseorang. 
Memang realiti orang yang lama akan seronok berbicara apa yang telah mereka lalui, memberi gambaran suka dan duka. Seperti kisah-kisah kehidupannya di zaman Jepun, susahnya kehidupan dahulu, nostalgia harga barang murah, kenakalan zaman remajanya dulu yang tidak seperti kenakalan remaja sekarang dan sebagainya.

Itulah putaran kehidupan, dan kalau anda bertemu dengan orang tua begini, layanlah perbualannya dengan baik. Sekali-sekala sampuklah cakapnya, agar dia rasa seronok. Kerana itulah keindahan orang tua. 


Begitulah keadaan yang sedang dialami oleh Umno sekarang yang seronok berjumpa dengan bekas-bekas polis, tentera dan pegawai pencen. 
Kepada mereka, layanlah UMNO seadanya. Kerana sebagaimana biasa, hanya menjelang pilihanraya umum anda diingati, dan selepas PRU13 ini, mungkin UMNO sudah tidak jumpa anda lagi. 

PAS HORMAT KEPUTUSAN TPM, DESAK HENTIKAN HIPOKRASI

Berani menyerang, tetapi tidak sanggup berdepan
15 Syawal 1432 H | 14 September 2011

Tindakan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sanggup berdebat dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu telah mengecewakan banyak pihak. Sebelum ini, beliaulah yang secara yakin menyuruh Mohamad untuk bertaubat seolah-olah pasti apa yang Utusan Malaysia laporkan terhadap kenyataan Mohamad adalah benar.

Walaupun demikian, ingin ditegaskan bahawa debat yang dicadangkan PAS berbentuk ilmiah, dan bukannya untuk mencari siapa menang siapa kalah, tetapi untuk rakyat menilai hujah mengenai tafsiran sejarah pra-kemerdekaan masing-masing. Jadi seharusnya, tiada apa yang harus ditakutkan oleh mana-mana pihak sebab debat ilmiah ini bersifat terbuka kepada rakyat.

Meskipun Muhyiddin menolak, namun PAS tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat menghina beliau sebagaimana yang dilakukan oleh graduan Oxford Ketua Pemuda Umno, kerana kita perlu hormati keputusan beliau samada untuk terima atau tolak. 


Orang ramai ingin mendengar hujah dari kepimpinan kedua-dua parti politik terutamanya setelah pemimpin dan media Umno telah begitu hebat menghentam dan mengkritik serta memutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu. Apa tidaknya isu ini dibelitkan sehinggakan ada seorang Menteri Besar terpaksa menidakkan kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya 7 tahun lalu demi menyelamatkan putar-belit yang semakin hilang arah.


PM DAN 'PERMAINAN POLITIK KOMUNIS'

 13 Syawal 1432 H | 12 September 2011

Apabila terbongkarnya fakta bahawa parti Umno telah mengadakan hubungan dengan Parti Komunis Cina (CPC) dengan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU),  Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak tetiba membuat kenyataan bahawa “komunis sekarang tidak sama dengan komunis dahulu.”

Kata PM:
“Komunis sekarang lain, komunis dulu lain, dulu mereka ingin kuasai negara dan sebarkan ideologi yang tak beri hak kepada rakyat. Kita baik dengan negara komunis sekarang kerana mereka telah tinggalkan ideologi lama mereka.”

Jika kita mengikut logik PM, maka boleh disimpulkan bahawa komunis sekarang sudah tidak lagi menjadi pengganas, kerana itu komunis sekarang tidak lagi mendatangkan bahaya kepada negara.


Sekiranya rakyat mengikut logik PM yang bijak ini juga bermakna, mana-mana rakyat yang ingin menganut ideologi komunis sekarang tidak lagi dianggap bahaya dan bukan lagi ancaman kepada negara.

Mungkin atas logik tersebut juga rasanya, sebab utama beliau sedia berbesan dengan anak pemimpin  Kazakhstan, sebuah negara berfahaman komunis dan lama di bawah jajahan Rusia. 

Jika benar kenyataan Najib itu ikhlas, rakyat kini tetiba rasa hairan bilamana dalam ambang perhimpunan Bersih 2.0 baru-baru ini, mengapa pula kerajaan di bawah telunjuk beliau menahan enam pemimpin PSM dalam Akta Ordinan Darurat kerana tuduhan cuba menghidupkan fahaman komunis? 
Bukankah ini melanggar logik Najib sendiri?

MEREKA KELIRU DAN MENGELIRUKAN - AZIZ BARI

"Tunku hilang gelaran Bapa Kemerdekaan..."
12 Syawal 1432 H | 11 September 2011

Prof. Dr Abdul Aziz Bari

Saya fikir profesor-profesor itu keliru dan kemudian mengelirukan orang. Profesor Datuk Dr Zainal Kling orang sosiologi, dan Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim orang sejarah. 

Status jajahan (colony) dan negeri lindungan (protectorates or protected states) adalah konsep undang-undang antarabangsa. 
Beza antara konsep-konsep itu tidak jelas pada orang biasa. Apa beza antara Melaka dan Pulau Pinang - strait settlements - dan negeri-negeri Melayu seperti Selangor dan Perak? Atau antara kita dengan India yang merupakan tanah jajahan British? Tidak nampak. 

British kekalkan status raja - dan negeri mereka - sebagai protectorate kerana mereka hendak mengelakkan penentangan sebagaimana di India. Sebab itu British perkenalkan indirect rule di sini dengan meletakkan residen sebagai penasihat sultan (yang sebenarnya memaksa).


British mahu menunjukkan kepada orang Melayu bahawa negeri mereka kekal di tangan Melayu dengan mengekalkan sultan. Tetapi pemerintahan dan pentadbiran sebenar dijalankan oleh British melalui residen mereka.


Ini bermakna di atas kertas - yakni teori - memang sultan dan negeri Melayu tidak dijajah (kalau dijajah maka kedudukan sultan akan dihapuskan sebagaimana di India dan Burma). Tetapi praktik dan kenyataannya ialah British yang membuat keputusan
Hatta urusan agama pun dikacau - meskipun perjanjian melarang ini. Contohnya apa yang dilakukan oleh Sir Andrew Clarke kepada Raja Muda Perak yang mengetuai majlis agama di Perak.

Sebab itu penentangan kepada pentadbiran British yang dibuat oleh orang-orang seperti Dato Maharajalela, Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan lain-lain mudah dipatahkan kerana nama sultan digunakan.
Pada hakikatnya mereka semua menentang British tetapi mereka berlindung di sebalik sultan.

BN GUNA KONTROVERSI UNTUK TUTUP PENYELEWENGAN

11 Syawal 1432 H | 10 September 2011

GOMBAK, 10 Sept — Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Barisan Nasional (BN) sengaja membesar-besarkan isu kenyataan kontroversi membabitkan timbalannya Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong untuk menutup segala penipuan pilihan raya yang telah dirancang.
Menurut Presiden PAS (gambar), pihaknya mendapat maklumat wujud rancangan “penipuan cukup besar” yang hendak dilakukan BN bagi memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Sengaja BN yang tutup isu penipuan pilihan raya, BN buat satu isu apatah lagi kita dapat penemuan dan pendedahan yang nyata, yang jelas kerjasama antara SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dengan kementerian dan jabatan-jabatan (kerajaan) lain.

“Walaupun kita dibayangi dengan maklumat-maklumat yang cukup mendukacitakan di mana rancangan untuk penipuan cukup besar hendak dilakukan, zaman ini zaman teknologi... kita dapat kesan dan kita juga dapat  tahu mereka cepat-cepat tutup maklumat ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Tambah beliau, bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil SPR perlu bertindak sebagai sebuah badan yang telus dan bertanggungjawab selain tidak mengikut mana-mana arahan yang dikeluarkan pemerintah.

“Kita harap SPR betul-betul jadi badan yang telus dan bertanggungjawab, jadi macam SPR di Palestin yang mana pengarah dan jenteranya akan meletakkan jawatan sekiranya mereka tiada kuasa.

“Jangan nak makan gaji sahaja, kemudian jadi alat kepada BN,” katanya. - themalaysianinsider

GAGAL KEMASKINI DATA, JPN GUNA ALASAN LAPUK - MAFREL

11 Syawal 1432 H | 10 September 2011

SHAH ALAM 10 SEPT : Alasan lapuk yang digunakan oleh Jabatan Pendaftran Negara (JPN) bahawa agensi itu gagal mengemaskini pangkalan data sehingga mengakibatkan bukan warganegara disenarai sebagai pemilih di negara ini adalah alasan yang longgar dan meragukan. 


Menurut Pengerusi Mafrel, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar), kegagalan mengemaskini data dalam tempoh tiga tahun bermula tahun 2008 adalah sesuatu yang serius dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus membuat tindakan susulan mengenainya.


"Bunyinya agak meragukan kerana kalau 2008, sekarang ini sudah 2011, sudah 3 tahun berlalu, biasanya data ini sudah dikemaskinikan.


"Pada pendapat saya, sepatutnya macam data JPN ini mungkin dalam tempoh satu suku, tiap-tiap suku harus dikemaskinikan, kalau tidak pun setahun sekali. Jadi kalau dalam kes ini, maknanya dakwaan ini telah dibuat (tetapi) 3 tahun ini ia tidak dikemaskini dan itu alasan yang diberi.. saya rasa itu agak meragukan dan kita sepatutnya betul-betul selidik adakah itu sebabnya atau ada sebab-sebab yang lain?" soalnya. 


JPN sebelum ini mengakui bahawa kegagalannya mengemaskini pangkalan data menyebabkan satu lagi kes orang bukan warganegara disenaraikan sebagai pengundi.


Jurucakap JPN, Jainisah Mohd Noor berkata pengundi 
berkenaan, Yusnati Haris, 27, telah diberikan status kewarganegaraan pada 2008. Tambahnya, Yusnati masih disenaraikan sebagai pemegang kad pengenalan hijau kerana pangkalan data yang boleh diakses oleh masyarakat umum itu tidak dikemaskini.

Mengulas hal itu, Syed Ibrahim berpandangan, JPN tidak seharusnya memandang ringan akan hal itu memandangkan ia melibatkan soal keselamatan negara dan imej institusi itu sendiri yang akan terus diragui kesahihannya. 


"Saya rasa elok fokus kepada isu tersebut dan berikan jawapan, hujah-hujah mengapa ia berlaku dan juga cari jalan penyelesaian mengapa ia berlaku dan juga cari jalan penyelesaian untuk mengelakkan daripada berlaku pada masa hadapan, saya rasa itu fokusnyalah,"kata Syed Ibrahim.


Terdahulu, isu pertukaran status MYPR kepada MyKad mengejutkan negara dalam kes Mismah.


Malaysiakini mengeluarkan berita “PR Didaftar Sebagai Pengundi” pada jam 1.06 petang,  2 Ogos 2011. 
Pada masa tersebut  individu bernama Mismah no kad pengenalan 640704715238 adalah berstatus Permastautin Tetap(PR).

Menariknya menjelang jam 2.30 petang hari yang sama selepas berita Malaysiakini dikeluarkan maka status Mismah sudah bertukar menjadi warganegara Malaysia. - tvsnews.net