Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS AKAN LEBIH KUAT DI KEDAH
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



PAS AKAN LEBIH KUAT DI KEDAH

8 Rabi'ul Akhir 1433 H | 2 March 2012

KUALA LUMPUR, 2 Mac: Semua ahli jawatankuasa PAS Pusat akan mengadakan pertemuan mahabbah dengan PAS Kedah malam esok bagi mendengar segala permasalahan di pihak kepimpinan parti negeri itu.

Naib Presidennya, Salahudin Ayub (gambar) berkata, pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang akan turun ke Kedah bagi bertemu dengan kedua-dua pihak iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Exco, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi.

"Kami mengambil keputusan untuk mengadakan pertemuan pada Sabtu di Alor Setar, Kedah di mana kami akan mengadakan perjumpaan mahabbah di antara kedua-dua belah pihak iaitu Ustaz Azizan dan Datuk Phahrolrazi," kata beliau selepas mesyuarat khas jawatankuasa PAS Pusat yang berlangsung kira-kira empat jam di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut malam tadi.

Mesyuarat kira-kira empat jam itu diadakan bertujuan menyelesaikan kemelut di Kedah selepas Phahrolrazi enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu berkata, PAS Pusat yakin isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik setelah mengadakan 'pertemuan mesra' dengan semua peringkat di Kedah.

"Malam ini kami telah mengadakan perjumpaan secara harmoni, dan mengambil berat apa yang berlaku.

"Oleh itu, PAS akan turun bermesra dengan semua peringkat iaitu Dewan Ulama, Pemuda dan perhubungan negeri dan akan dengar semua pandangan dan penyelasaian sedang diatur dan saya yakin PAS akan muncul lebih kuat selepas ini," katanya.

0 comments:

Post a Comment