Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: SBPA - KESILAPAN BARU KERAJAAN PIMPINAN NAJIB
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

SBPA - KESILAPAN BARU KERAJAAN PIMPINAN NAJIB

15 Rabi'ul Akhir 1433 H | 9 March 2012
Pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) menonjolkan sekali lagi kegagalan transformasi yang diwar-warkan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan akhirnya terpaksa berbalik kepada sistem lama.

Isu SPBA diwujudkan secara gopoh-gapah sebagai reaksi segera PM kepada janji Pakatan Rakyat (PR) dalam Buku Jingga. Bahkan pemerhatian umum yang dilakukan terhadap banyak perkara yang dikatakan transformasi kerajaan hanyalah berkisar di sekitar Buku Jingga PR.

Lihat sahaja apa yang berlaku terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings, sebuah syarikat yang tiada aset selain hutang diberi amanah untuk mengambil aset Felda Plantation, Koperasi Permodalan Felda dan lain sebagai modal penyenaraian. Kini ia berhadapan dengan pelbagai bantahan peneroka Felda dan kakitangan Felda yang tidak bersetuju.

Demikian juga isu kegagalan kerajaan mengawal harga barangan pengguna, yang akhirnya kerajaan sekadar mampu mewujudkan kedai-kedai 1Malaysia yang disubsidikan duit berjuta ringgit untuk menjual barang pada harga yang diwar-warkan lebih rendah.

Sedangkan tugas kerajaan bukan mewujudkan kedai murah. Bayangkan pekedai lain terpaksa bersaing dengan kedai kerajaan, dan ini sangat tidak adil bagi peniaga dan rakyat yang jauh dari kedai 1 Malaysia, yang terpaksa membeli dengan harga yang lebih mahal. Ini juga membuktikan kegagalan Najib dan kerajaan sekali lagi menggunakan cara yang tidak munasabah untuk mengawal harga barangan kepada pengguna.

Isu SPBA berkait-rapat dengan janji PR kepada kakitangan awam dan skim gaji minimum yang dijanjikan dalam belanjawan alternatif 2012 PR. Isu penyenaraian Felda pula mengambilkira janji PR untuk memastikan hak peneroka terpelihara di semua ladang Felda.  Dan lainnya, hanyalah gambaran sebenar sikap menggelabah PM dalam menghadapi janji Buku Jingga.

Dalam flip-flop terbaru ini, jelas ia adalah akibat daripada sikap gopoh-gapah pentadbiran Najib tanpa perancangan teliti, kajian mendalam dan sikap mengenepikan pandangan kesatuan sekerja dan badan berkaitan. Akhirnya, kerajaan berhadapan bantahan umum kakitangan sehingga terpaksa kembali kepada sistem lama.

Oleh kerana sikap gopoh-gapah inilah rakyat dapati apa yang dicadang oleh PM berhadapan dengan pelbagai masalah sehingga terpaksa disemak, ditarik balik dan dibatalkan. Inilah transformasi 1Malaysia Najib – “Mulut didahulukan, Flip-Flop diutamakan.”

0 comments:

Post a Comment