Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: REFERENDUM RAKYAT JAWAPAN KEPADA KEMELUT LYNAS
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



REFERENDUM RAKYAT JAWAPAN KEPADA KEMELUT LYNAS

PAS tetap konsisten dengan isu Lynas
29 Ramadan 1432 H | 29 August 2011

Isu Lynas, yang menjadi kontroversi kini bertambah hangat apabila Ahli Parlimen Hulu Langat PAS, Dr Che Rosli Che Mat, yang merupakan pakar nuklear mengeluarkan kenyataan bahawa kilang Lynas adalah sebuah kilang yang selamat untuk beroperasi di negara kita, dan tidak perlu dibimbangi oleh penduduk di sekitar Kuantan khasnya.


Selain Che Rosli, golongan yang menyokong projek Lynas ini terdiri daripada beberapa pakar tempatan dan luar negara termasuk pemantau antarabangsa dan juga kerajaan negeri.


Disebabkan pihak yang menyokong pembinaan kilang ini adalah kerajaan sendiri, maka ia juga menarik sama ahli-ahli Umno dan komponen parti Barisan Nasional yang lain untuk turut menyokong projek ini.

Kumpulan yang menyokong telah menggunakan kekuatan media perdana, dialog terus dengan penduduk dan NGO serta pelbagai promosi bagi meyakinkan penduduk ia adalah projek yang selamat dan tidak perlu dibimbangi.

Dalam golongan yang menentang pula, ia terdiri dari beberapa orang  pakar alam sekitar, pakar kesihatan awam, pencinta alam yang disokong oleh beberapa NGO seperti Badar dan “Save Malaysia! Stop Lynas!” dan pemimpin parti pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Ia diketuai oleh Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh yang terkenal dalam mengambil inisiatif utama dalam memperjuangkan isu menentang Lynas ini dengan saudara YDP PAS Indera Mahkota  Nasrun Amir dan dibantu oleh Anadansura, Ustaz Suhaimi Saad Ketua Penerangan Negeri dan Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat yang diketuai oleh Zulkifli Mohamad Omar serta berpuluh NGO lain.


Ketika ini, pihak yang menentang habis-habisan mengganggap projek Lynas ini adalah satu 'bom jangka' bagi penduduk sekitar tapak kilang Lynas yang bertapak di Gebeng. 
Kebimbangan tersebut pula dianggap oleh para pakar dan golongan yang menyokong kilang ini hanyalah ketakutan kepada bayang-bayang semata-mata.

Lebih parah lagi, di kalangan penduduk kini terbahagi kepada dua pihak iaitu kumpulan yang menyokong dan yang menentang. 
Penelitian umum mendapati sesetengah golongan masyarakat masih tidak dapat informasi secukupnya daripada kedua-dua belah pihak.

Kekangan media perdana untuk memberikan liputan yang adil dan sikap media berbahasa Melayu yang terlalu 'membela' kerajaan dalam laporan mereka telah menyebabkan sensitiviti orang Melayu rendah dalam isu sebegini dan kerana itu, menerima projek ini sebagai selamat.


PAS melihat jalan keluar kepada masalah ini dengan mengadakan referendum awam. Oleh kerana isu ini mempunyai impak besar kepada penduduk Kuantan dan sekitarnya, maka kerajaan dan Lynas dinasihatkan tidak boleh memandang mudah bantahan dari rakyat.


Kerana apa jua keputusan yang ingin dilakukan samada untuk menerus atau membatalkan projek ini mempunyai kesan langsung kepada penduduk dan syarikat berkenaan.


Andainya Lynas dan kerajaan mengambil sikap memekakkan telinga dengan bantahan rakyat, kita yakin bantahan in akan berterusan dan tidak mustahil golongan yang membantah akan membuat injuksi mahkamah.


Melalui referendum awam, ia boleh dijadikan landasan utama kepada kerajaan bagi meneruskan atau membatalkan projek ini. Ditambah pula, dengan cara ini, apa-apa keputusan yang diambil boleh kelihatan lebih adil kepada semua pihak.

Dengan kata lain, jikalau referendum awam menunjukkan majoriti rakyat bersetuju dengan projek tersebut, maka syarikat Lynas dan kerajaan tidak akan menghadapi masalah lagi. 

Referendum awam adalah salah satu mekanisma yang ada dalam rangka sistem demokrasi bagi memberi ruang kepada rakyat untuk membuat keputusan terhadap sesuatu yang besar kesannya kepada kehidupan  mereka. Tanpanya, pihak kerajaan juga tentu akan berhadapan dengan tekanan berterusan seandainya sesuatu yang buruk terjadi bilamana sesuatu projek diluluskan.

Semoga penyelesaian in akan mengundang keputusan yang baik bagi kedua-dua belah pihak dan haruslah diingatkan rakyat mempunya hak terbesar bagi menjamin suara mereka didengar oleh pemerintah.

Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS
29 Ogos 2011

0 comments:

Post a Comment