Ikuti wawancara wartawan Harakah bersama Naib-naib Presiden. Versi penuh di sini
TITM: Petua penjagaan kesihatan terbaik ialah mengurangkan makan, cukup rehat dan senyum pada masalah, nescaya masalah akan senyum pada anda. Tapi yang payah apabila setiap program dihidangkan makanan yang heavy (berat), terkadang ceramah satu, makan tiga kali.
Perkara yang utama mesti ada waktu yang kita harus rehat, memenuhi hobi masing-masing. Saya mempunyai hobi memancing, ke hutan dan ke laut.
Nikmat ketenangan bila mana berada di tepi sungai yang jernih di tengah hutan, dengan air yang jernih tidak disentuh oleh pencemaran; dan jangan lupa ekspedisi memburu kelah dan sebarau....
Sesekali bawalah keluarga berkelah sama.
Adakah setiap persoalan yang diutarakan oleh pihak yang berkepentingan perlu dijawab oleh saf kepimpinan PAS? Sebab sekarang apa yang dapat dilihat ialah kebanyakan soalan-soalan atau isu yang dibangkitkan tidak logik dan ianya tidak perlu dilayan, contohnya isu penyatuan Melayu.
Sedangkan seperti yang diketahui orang Melayu sebenarnya tidak berpecah cuma orang Melayu ni mudah berkecil hati. Harap para Naib Presiden dapat memberikan komen.
Saya berpendapat tidak semua isu yang diada-adakan oleh media perdana dan diangkat oleh pimpinan UMNO perlu dilayan. Kita sebagai sebuah parti politik tidak perlu membanyakkan musuh.
Musuh kita ialah UMNO/BN. Terkadang apabila kita angkut sama semua agensi kerajaan sebagai musuh, ianya akan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang tidak sepatutnya.
Pegawai kerajaan dan institusi kerajaan yang ada bukanlah musuh bagi PAS, lantaran itu tindakan menyerang institusi kerajaan yang ada tidak menguntungkan jamaah; bahkan orang akan melihat kita menghabiskan peluru kepada bukan sasarannya.
Tambahan pula bilamana kita mendapat mandat dari rakyat, kita akan menggunakan semua agensi kerajaan sebagai mekanisma pelaksanaan perjuangan kita.
Bagaimanakah PAS dapat mempertahankan prinsip-prinsip perjuangan Islam dalam kerangka Pakatan Rakyat yang berlainan ideologi terutama DAP?
PAS sebuah parti politik berlandaskan Islam. Semua orang menyedarinya, dan di waktu yang sama kita juga menerima prinsip yang wujud dalam perlembagaan, selama mana ianya tidak bertentangan dengan dasar Islam. Prinsip ini telah diterima secara sepakat dalam Pakatan Rakyat.
Kita perlu menumpukan kepada persoalan yang menjadi agenda bersama bagi membina sebuah negara yang kita hasratkan iaitu membasmi penyelewengan, rasuah, membina jati diri rakyat dan membentuk akhlak rakyat yang menjadi nilai univesal dalam perjuangan. Di waktu yang sama kita harus menghormati dasar parti masing-masing dengan tidak menceroboh hak parti-parti dalam PR.
Islam diturun sebagai rahmat bagi seluruh alam, bukan sahaja untuk umat Islam. Terkadang istilah negara Islam membimbangkan sesetengah orang, kerana istilah itu telah dirosakkan oleh media berpuluh tahun; tetapi bilamana kita bicarakan kandungannya saya yakin semua pihak boleh menerimanya.
Apakah ada orang yang tidak setuju dengan sistem yang adil dan saksama, membasmi rasuah dan ketidak adilan dalam masyarakat, pemimpin mestilah berlaku adil dan mempunyai akhlak yang baik, tawaduk dan tidak takabur, mampu memimpin rakyat ke arah kebaikan? Itulah Islam.
Apakah nilai-nilai ini perlu dibimbangi? Cuma media telah merosakkan konsep ini; seperti ada orang yang ada darah tinggi, takut untuk memakan daging kambing, begitu juga ada orang fobia dengan Islam, kerana ia ditakutkan sebelum ia mengenal apa sebenarnya ajaran Islam.
0 comments:
Post a Comment