7 Ramadan 1431 H | 17 Ogos 2010
Peningkatan gejala sosial kini sampai ke tahap yang sangat membimbangkan, dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian berlaku, perzinaan dan pembuangan bayi pula meningkat 154% - dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain. Semua ini adalah gambaran kegagalan kerajaan melaksanakan amanah mendidik rakyat agar takut kepada Allah serta gerun untuk melakukan maksiat. Walaupun media arus perdana sering meletakkan kesalahan kepada ibubapa dan masyarakat, namun rakyat sedar bahawa kegagalan ini berpunca daripada kerajaan.
Ibubapa boleh mengawasi tingkah laku anak-anak di dalam lingkungan rumahtangganya, guru-guru boleh mengawasi pelajar dalam lingkungan sekolah, namun siapa lebih bertanggungjawab terhadap sistem pendidikan yang mengabaikan soal akhlak, pendidikan kerohanian, soal dosa dan pahala dalam kehidupan? Dasar penyiaran yang bebas dengan pelbagai adegan yang merosakkan minda anak-anak, media cetak yang mempamerkan budaya liar dan pendedahan tubuh, internet yang tidak dikawal sehingga remaja dan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai laman pornografi; tentulah ini dalam bidangkuasa dan tanggungjawab kerajaan.
Sebagai sebuah negara yang didakwa sebagai Negara Islam contoh, kita merasa malu bila mana negara China, Indonesia, India dan lainnya menyekat puluhan ribu laman web yang tidak bermoral ini, sedangkan kerajaan 1 Malaysia terus membiarkan rakyat khususnya remaja melayarinya tanpa batas.
Sikap kerajaan yang takut untuk memberi penekanan kepada pendidikan agama sehingga mata pelajaran agama bukan sahaja menjadi mangsa keadaan sehingga ianya tidak pernah menjadi subjek penting dalam mana-mana peperiksaan utama. Bahkan kerajaan sangat bimbang kalau rakyat memahami agama, kerana dikhuatiri akan menjadi penyokong pembangkang.
Akibat dari itu, kerajaan lebih rela membiarkan nilai negatif berlaku dalam masyarakat. Sedangkan program bercorak agama disekat. Masjid lebih rela kosong daripada diisi oleh tenaga muda yang pulang dari pelbagai universiti Timur Tengah atas alasan mereka tiada tauliah. Sepatutnya kalau mereka tiada tauliah, maka berikan tauliah dan galakkan mereka mengisi program keagamaan di masjid-masjid, surau dan jabatan-jabatan kerajaan. Bila mana jiwa remaja yang kosong dengan nilai-nilai aqidah terpaksa berhadapan dengan kebebasan media baru, maka tidak mustahil mereka mudah terjerumus kepada maksiat.
Kerajaan mesti menyekat laman web pornografi, mengawal media cetak yang menjurus ke arah nilai negatif dan diwaktu yang sama mewajibkan pendidikan agama sebagai subjek wajib lulus bagi semua peringkat peperiksaan. Tapi yakinlah hanya kerajaan bermoral akan melaksanakan program yang bermoral.
0 comments:
Post a Comment