24 Sya'ban 1431 H | 5 Ogos 2010
KUANTAN – Pemimpin kerajaan dan parti politik perlu berani mengisytiharkan harta kepada umum sama ada harta di dalam dan juga di luar negara seperti dicadangkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammed.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, pengisytiharan harta itu menunjukkan ketelusan dan integriti seseorang pemimpin itu di dalam memiliki harta mengikut kemampuan mereka.
Menurutnya, satu badan bebas perlu diwujudkan bagi menjalankan siasatan terhadap semua pemimpin di negara ini bermula dari menteri-menteri kerajaan sehinggalah pemimpin parti-parti politik tanpa sebarang prejudis.
“Sehingga kini dua pemimpin sudah pun menyatakan kesanggupan untuk mengisytiharkan harta mereka iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Malah saya sendiri sanggup mengisytiharkan harta saya dan keluarga saya pada bila-bila masa dikehendaki,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya, di sini semalam.
Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) juga sudah pun bersedia untuk mengisytiharkan harta setiap pemimpin mereka sama ada yang masih berkuasa atau pun mereka yang berhasrat mahu bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Menurutnya, dengan cara itu, rakyat boleh menilai sendiri sejauh manakah nilai integriti yang dimiliki oleh seseorang pemimpin.
“Kita (PR) sudah pun bersedia untuk isytiharkannya walaupun Kabinet masih belum memutuskan sama ada cadangan pengisytiharan harta itu perlu diumumkan kepada umum atau pun hanya perlu dimaklumkan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya.
Azan berkata, kebanyakan negara Komanwel sudah pun melaksanakan kaedah ini dan ia terus diguna pakai oleh kerajaan mereka sehingga kini.
Menurutnya, Malaysia juga harus mengikut jejak langkah negara-negara Komanwel yang lain bagi memastikan rakyat berpuas hati terhadap kerajaan yang memerintah pada hari ini.
“Mengapa perlu dilengahkan perkara ini sedangkan ia merupakan satu perkara yang baik terhadap rakyat dan juga negara. Malah ia secara langsung mampu meyakinkan pelabur asing untuk berani terus melabur di negara ini agar ekonomi negara mampu terus berkembang,” katanya.
Sumber : Sinar Harian
Dua tahun kerajaan Madani menguak ke depan
-
*SUSUPAN MALAM*
ALHAMDULILAH kerajaan Madani yang dibentuk atas semangat perpaduan dan
keinsafan politik semua kaum yang ditunggaki PH - BN bersama GRS ...
7 hours ago
0 comments:
Post a Comment