Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: August 2010
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

KENANGAN DI HARI LAHIRKU

19 Ramadan 1431 H | 29 Ogos 2010

27hb Ogos baru berlalu, tarikh keramat yang mengimbau bagaimana kini usiaku semakin lanjut. 50 tahun lalu aku dilahirkan oleh ibu, Nik Hasanah binti Nik Mat, adik kepada Nik Aziz Nik Mat.

Ibu pernah menceritakan pengalaman bagaimana sewaktu mengandungkanku lebih kurang 3 bulan. Dia mengidam nak makan ubi kayu bakar, terasa sedap jugak. Ibu menceritakan bagaimana dia pada suatu petang hari berjalan ke rumah jiran yang kebetulan ada menanam ubi kayu yang agak luas. Untuk membeli beberapa puluh sen, rasanya tiada masalah sangat. Biasalah orang mengidam tak makan banyak, beliau terus ke rumah jiran tersebut. Bilamana sampai di hadapan rumah jiran ibu memberi salam, dan menjelaskan hajat untuk membeli ubi kayu (dalam 20 sen) sambil menceritakan rasa mengidam nak makan ubi kayu bakar.
Masa itu 20 sen dah kira dapatlah seguni ubi kayu.

Tapi sayang tuan rumah menjawab: “Ubi kayu tidak dijual 20-30 sen, jual banyak sekali gus, sikit-sikit tak jual, maaf je lah ye….” Ibu sangat terasa hati dengan jawapan tersebut. Ingatkan dapat percuma, biasalah orang kampung kalau mengidam punya pasal, kita bagi sahaja. Tapi ibu merayu agar dia juallah sedikit, namun jawapannya tetap sama. Ibu terus pulang dalam keadaan sangat kecil hati dan rasa tersinggung dengan tindakan jiran itu.

Sambil balik ibu menceritakan ia mengadu dalam hati alangkah baiknya kalau Allah mengajar agar manusia insaf. Manusia boleh memiliki tanah, tapi yang mengeluarkan isi (hasil) adalah Allah. Kalaulah hujan turun, agaknya baru dia insaf… Bukanlah berdoa, tetapi hanya kerana rasa terkilan. Selepas solat Maghrib, tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya sehingga Subuh.

Keesokan hari bilamana hujan berhenti hampir 8.00 pagi, ibu membuka tingkap rumah. Didapati seluruh kawasan tanaman ubi ditenggelami air. Ubi kayu memang pantang tenggelam air, akan rosaklah ia.. Apabila ibu membuka pintu rumah, didapati ada beberapa ketul ubi kayu diletakkan di atas pelantar rumah. Maka
dapatlah ibu makan ubi bakar, kuranglah rasa mengidamnya.

Itulah sedikit kisah waktu ku dalam kandungan. Masa tu manalah kita tahu. Kisah ini ibu ceritakan kepadaku bilamana beliau mengingatkanku jangan sombong dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nasihat itu masih tergiang-ngiang di telinga. Mengenang hari lahir ini teringat bagaimana seorang ibu menahan penderitaan di saat melahirkan kita.
Semoga Allah sentiasa memelihara ibu, ayah dan semua sahabat seperjuangan.

ISU HUDUD DAN NEGARA ISLAM BERGEMA LAGI

14 Ramadan 1431 H | 24 Ogos 2010

Isu Hudud dan Negara Islam akan sentiasa menjadi polimik antara PAS dan DAP khususnya, selagi kefahaman dan penghayatannya tidak dilaksanakan. Persoalan utama ialah memahami dasar perjuangan PAS, yang berteraskan Dasar Islam. Sebagai umat Islam, melaksanakan perintah Allah adalah satu kewajipan yang dituntut oleh syarak. Kerana itu, bagi PAS melaksanakan hukum hudud, qisas dan takzir adalah satu kewajipan bagi pemerintahan Islam.

Oleh kerana UMNO yang memerintah lebih 50 tahun tidak melaksanakannya, maka timbullah tanggapan di kalangan orang bukan Islam, bahawa perlaksanaannya tidaklah menjadi tuntutan. Lantaran itu, kami jelaskan bahawa UMNO mengabaikan kewajipan yang sepatutnya mereka sebagai pemerintah melaksanakannya. Pengabaian ini menyebabkan timbulnya pertembungan antara PAS dan UMNO hingga kini. Asas kepada penentangan ini ialah UMNO mengabaikan kewajipan agama, yang telah difardhukan oleh Allah, manakala PAS berjuang agar kewajipan ini dilaksanakan.

PAS menekankan bahawa manusia adalah milik Allah, dan begitu juga bumi adalah milik Allah. Maka sebagai hamba Allah, kita mesti melaksanakan segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Sekiranya perintah dan larangan Allah diabaikan, pasti akan mengakibatkan timbulnya pelbagai kegawatan dalam masyarakat manusia.

Hari ini kita terpaksa menerima hakikat gagalnya sistem perundangan mengawal pelbagai kepincangan yang berlaku. Peningkatan kadar jenayah, pembunuhan, pembuangan bayi, dadah, perzinaan, kes kecurian, penderaan dan lainnya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan.

Manifestasi kegagalan ini boleh dilihat dengan indeks jenayah yang meningkat, penjara-penjara yang terpaksa menampung penjenayah yang di luar kouta yang dibenarkan, pusat-pusat serenti yang sentiasa bertambah, bahkan kini ada cadangan sekolah khas bagi ibu mengandung, pemberian jarum suntikan dan bekalan dadah sentatik kepada penagih dadah. Semuanya ini adalah gambaran gagalnya sistem ciptaan manusia, bahkan ianya membebankan negara.

Hudud, adalah sebahagian daripada perundangan Islam. Umat Islam yang menerima Islam sebagai agama bermakna menerima seluruh sistem yang ada dalam Islam. Allah menegaskan
“Wahai orang yang beriman, masuklah ( terimalah ) seluruh ajaran Islam, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan."

Oleh kerana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam, maka golongan bukan Islam tidak terikat dengan sistem dan perundangan Islam. Contohnya mahkamah syariah, ianya hanya membicarakan kesalahan di kalangan orang Islam, manakala orang bukan Islam tidak tertakluk di bawah mahkamah syariah, walaupun kini ianya tidak melibatkan kes-kes jenayah. Umpamanya kalau ada kes khalwat, hanya pesalah Islam dihukum, sedangkan pesalah bukan Islam tidak dihukum.

Meneliti peningkatan kes jenayah kini, yang majoritinya umat Islam, maka sangat penting ditekan agar umat Islam yang melanggar batas larangan syarak dapat dibimbing ke arah kehidupan positif lagi bermakna bagi negara. Hukum adalah sebahagian dari pada proses mendidik manusia agar menjadi warganegara yang berguna. Namun seandainya hukum yang ada gagal mengawal jenayah, bahkan ianya tidak menakutkan penjenayah bagi mengulagi jenayah di lakukan, bermakna kita sebenarnya gagal dalam membentuk satu sistem perundangan yang tepat.

Sebagai warga negara kita tentulah sangat inginkan sebuah negara yang aman, bebas daripada jenayah, pemimpin dan rakyat dapat membentuk satu kehidupan yang harmoni, golongan yang kaya tidak bimbang keselamatan hartanya daripada dicuri, anak-anak boleh bebas keluar dari rumah; dan ibu bapa tidak lagi bimbang keselamatan anak dari dirogol, diculik, diperdagangkan bahkan mungkin dibunuh.


Negara Islam.

Senaraikan bentuk negara terbaik yang anda inginkan samada ciri pemimpinnya, sistem pemerintahannya, tanggungjawab rakyat kepada pemimpin dan sebaliknya kewajipan pemimpin kepada rakyatnya serta bentuk kemajuan negara yang ideal bagi anda. Saya katakan itulah negara Islam. Sayangnya negara Islam kehilangan model sebenar, sehingga pelbagai persepsi timbul dalam pemikiran masyarakat, khusunya bagi masyarakat bukan Islam. Apakah bentuknya seperti negara Taliban di Afganistán, atau negara Iraq di era Saddam dan kini, atau Saudi yang majoritinya umat Islam. Kehilangan model ini menyebabkan timbul kebimbangan terhadap apakah bentuk negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

Dengan kemenangan PAS di Kelantan memerintah selama 20 tahun, apakah ada sesuatu yang menakutkan orang bukan Islam untuk mendiami negeri tersebut? Selama 20 tahun pemerintahan, Kelantan bebas dari pemimpin rasuah, berbanding sepenggal jadi MB bagi negeri UMNO/BN. Kehidupan pemimpin yang sederhana, rakyat meneruskan aktiviti ekonomi dengan baik, agihan kekayaan yang sampai kepada rakyat sehingga Kelantan mampu memulakan negeri berkebajikan mendahului negeri-negeri lain dalam keadaan sebuah negeri yang miskin, dengan tekanan politik dan ekonomi yang berterusan.

Bayangkan kalau negara kita ini dengan hasil minyaknya, gas, kelapa sawit, getah, bijih besi, emas dan pelbagai sumber kekayaan yang lain, tentulah kita mampu menjadikan negara ini sebuah negara yang makmur dan kehidupan rakyatnya yang mewah.

Bagi PAS nama negara tidak penting samada kita menerima negara Islam atau apa jua nama yang sesuai, kerana yang penting ialah ciri-ciri negara tersebut yang tidak bertentangan dengan nilai Ilahi. UMNO di era Tun Mahathir juga mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun ianya dipenuhi dengan rasuah, penyelewengan, salah urus tadbir, ketirisan yang semakin membesar, bahkan tindakan melindung pemimpin yang terlibat dengan skandal rasuah sangat mengaibkan bagi sebuah ‘negara Islam’.

Kita boleh mengekalkan bentuk negara yang ada dengan menguatkuasakan perundangan bagi membina sebuah negara yang bermoral. Membasmi rasuah dan penyelewengan, salah guna kuasa, dan lainnya. Bagi orang Islam mereka terikat dengan sistem perundangan Islam, manakala bagi golongan bukan Islam, mereka juga terikat dengan sistem perundangan sivil yang ada. Kerana bagi umat Islam, pemimpin mestilah yang paling tinggi akhlaknya, mampu menjadi model kepada rakyat, bertaqwa dan tidak fasiq, mampu melaksanakan keadilan kepada semua, memberi hak kepada yang berhak dan mengambil hak bagi yang tidak berhak, dan mengekalkan seluruh kebaikan dalam sistem pemerintahan negara.

Negara sekular bertentangan dengan bentuk negara Islam, kerana sistem sekular bermakna pemisahan negara dengan agama. Bagi PAS, menerima Islam bermakna menerima seluruh sistem Islam, bukan hanya menerima dalam persoalan peribadi, dan tidak menerima Islam dalam aspek lainnya.
Contohnya nilai haram bagi rasuah lebih tinggi nilainya berbanding bersalah dalam sistem sekular. Rasuah menyebabkan pelakunya dihumban ke neraka , walaupun mungkin dia terlepas di dunia. Demikian juga riba’ bagi umat Islam menyebabkan mereka kekal dalam neraka selama-lamanya berbanding ‘bersalah’ dalam sistem sekular. Rasa gerun ini perlu dididik agar mereka lebih takut kepada Allah dari undang-undang dunia.

Lantaran itu dalam proses membina negara ke arah lebih baik, apa jua sistem yang mampu membina negara, maka kita mesti menerima dan malaksanakannya. Maka bagi umat Islam, yang terbaik ialah sistem yang diturunkan oleh Allah berbanding sistem ciptaan manusia.

ZINA - 60% BERPUNCA DARIPADA BAHAN LUCAH

9 Ramadan 1431 H | 19 Ogos 2010

KUALA LUMPUR – Satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga."

“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sumber : Kosmo

ADUAN SAMPAH - SPRM PERLU TELUS

7 Ramadan 1431 H | 17 Ogos 2010

PAS mendesak pihak SPRM memaklumkan kepada pengadu bilamana mereka menolak aduan yang dianggap sampah. Pihak pengadu perlukan maklumat siasatan dan perlu mengetahui kenapa aduan mereka dibakul sampahkan. Kita khuatir aduan 'sampah' ini melibatkan aduan kepada pemimpin UMNO/BN, kerana sehingga kini berpuluh laporan dibuat masih tiada siasatan. Bahkan kita masih menunggu lapan kes berpfrofil tinggi sebagaimana yang didedahkan oleh Rais Yatim, apakah ianya juga dianggap sampah oleh SPRM?

Pihak pengadu juga tentu boleh membantu pihak SPRM seandainya ada perkara yang diperlukan oleh badan tersebut, kerana menganggap aduan tidak lengkap, tiada dokumen sokongan dan sebagainya. Oleh itu PAS meminta pihak SPRM jangan terlalu mudah membakul sampahkan setiap aduan yang dibuat.

Artikel asal SPRM:

Hampir 50 peratus aduan ‘sampah’

PUTRAJAYA 15 Ogos – Di saat rakyat Malaysia memandang jijik perlakuan rasuah, namun sebahagiannya dilihat cuba memperlekehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengemukakan aduan ‘sampah’ iaitu tidak disertakan dengan maklumat berasas.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kira-kira separuh iaitu 3,293 daripada 6,793 aduan yang diterima SPRM boleh dikategorikan sebagai aduan ‘sampah’.

Ini bermakna, 48.5 peratus daripada laporan yang diterima SPRM pada tahun ini terpaksa ‘diketepikan’ kerana pelbagai faktor termasuk mengandungi maklumat palsu, tidak berasas dan tidak lengkap.Cuma 3,500 daripada keseluruhan aduan itu adalah berasas dan benar-benar mempunyai unsur rasuah. Daripada jumlah itu, SPRM telah membuka 675 kertas siasatan manakala selebihnya masih dalam peringkat analisis.

Timbul persoalan mungkinkah ia disengajakan atas kepentingan tertentu atau pengadu benar-benar ikhlas mahukan rasuah yang diketahuinya dibanteras? Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia

GEJALA SOSIAL BUKTI KEGAGALAN KERAJAAN

7 Ramadan 1431 H | 17 Ogos 2010

Peningkatan gejala sosial kini sampai ke tahap yang sangat membimbangkan, dengan purata setiap 16 minit satu kes kecurian berlaku, perzinaan dan pembuangan bayi pula meningkat 154% - dengan 54 kes dari Januari hingga kini, berbanding hanya 42 kes pada tempoh yang sama tahun lalu. Begitu juga dengan peningkatan kes pembunuhan, rogol, ragut dan pelbagai jenayah lain. Semua ini adalah gambaran kegagalan kerajaan melaksanakan amanah mendidik rakyat agar takut kepada Allah serta gerun untuk melakukan maksiat. Walaupun media arus perdana sering meletakkan kesalahan kepada ibubapa dan masyarakat, namun rakyat sedar bahawa kegagalan ini berpunca daripada kerajaan.

Ibubapa boleh mengawasi tingkah laku anak-anak di dalam lingkungan rumahtangganya, guru-guru boleh mengawasi pelajar dalam lingkungan sekolah, namun siapa lebih bertanggungjawab terhadap sistem pendidikan yang mengabaikan soal akhlak, pendidikan kerohanian, soal dosa dan pahala dalam kehidupan? Dasar penyiaran yang bebas dengan pelbagai adegan yang merosakkan minda anak-anak, media cetak yang mempamerkan budaya liar dan pendedahan tubuh, internet yang tidak dikawal sehingga remaja dan kanak-kanak terdedah kepada pelbagai laman pornografi; tentulah ini dalam bidangkuasa dan tanggungjawab kerajaan.

Sebagai sebuah negara yang didakwa sebagai Negara Islam contoh, kita merasa malu bila mana negara China, Indonesia, India dan lainnya menyekat puluhan ribu laman web yang tidak bermoral ini, sedangkan kerajaan 1 Malaysia terus membiarkan rakyat khususnya remaja melayarinya tanpa batas.

Sikap kerajaan yang takut untuk memberi penekanan kepada pendidikan agama sehingga mata pelajaran agama bukan sahaja menjadi mangsa keadaan sehingga ianya tidak pernah menjadi subjek penting dalam mana-mana peperiksaan utama. Bahkan kerajaan sangat bimbang kalau rakyat memahami agama, kerana dikhuatiri akan menjadi penyokong pembangkang.

Akibat dari itu, kerajaan lebih rela membiarkan nilai negatif berlaku dalam masyarakat. Sedangkan program bercorak agama disekat. Masjid lebih rela kosong daripada diisi oleh tenaga muda yang pulang dari pelbagai universiti Timur Tengah atas alasan mereka tiada tauliah. Sepatutnya kalau mereka tiada tauliah, maka berikan tauliah dan galakkan mereka mengisi program keagamaan di masjid-masjid, surau dan jabatan-jabatan kerajaan. Bila mana jiwa remaja yang kosong dengan nilai-nilai aqidah terpaksa berhadapan dengan kebebasan media baru, maka tidak mustahil mereka mudah terjerumus kepada maksiat.

Kerajaan mesti menyekat laman web pornografi, mengawal media cetak yang menjurus ke arah nilai negatif dan diwaktu yang sama mewajibkan pendidikan agama sebagai subjek wajib lulus bagi semua peringkat peperiksaan. Tapi yakinlah hanya kerajaan bermoral akan melaksanakan program yang bermoral.

ISTIQAMAH AMALAN SEPANJANG RAMADHAN

1 Ramadan 1431 H | 11 Ogos 2010


Ramadhan bulan yang penuh keberkatan dan rahmat Ilahi kepada hambaNya, kerana hanya Ramadhan disebut namanya oleh Allah di dalam Al-Quran, sedangkan bulan-bulan lain tidak dinyatakan namanya oleh Allah. Ini satu penghormatan Ilahi kepada Ramadhan serta pengisytiharaan Ilahi kepada seluruh umat manusia. Lantaran itu kehadiran Ramadhan hendaklah dilihat dari pelbagai perspektif positif bagi menjadikannya pemangkin kepada perubahan.

Antara musuh utama yang diisytiharkan oleh Allah bagi manusia ialah syaitan, sebagaimana firman Allah: “Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu, maka hendaklah kamu perlakukannya sebagai musuh”. Syaitan yang menjadi musuh utama itu telah dibelenggu oleh Allah sepanjang Ramadhan. Ini satu lagi rahmat Ilahi kepada hambaNya dalam bulan Ramadhan.

Menyedari syaitan bukan lagi menjadi halangan bagi muslim sepanjang Ramadhan, maka yang tinggal hanyalah hawa nafsu yang juga menjadi keperluan manusia. Nafsu bukanlah semua negatif, kerana adanya nafsu mutmainnah yang membina nilai positif, hanya nafsu amaarah yang mendorong ke arah nilai negatif. Maka mengenal sifat nafsu amaarah sangat penting, kerana nafsu ini secara sendiriannya ia tidak mendorong ke arah keburukan, hanya ia berhajat kepada faktor lain bagi membentuk sikap negatif dalam jiwa manusia. Seperti sifat pemarah yang dihasilkan dari ego, takabbur, makanan yang mengandungi kadar kolestrol tinggi, daging, persekitaran yang membosankan serta tekanan hidup. Maka factor-faktor pendorong inilah yang perlu dijauhi agar nafsu amaarah tidak bergelojak dalam diri seterusnya mendorong kepada keburukan.

Jadikan Ramadhan sebagai titik tolak (turning point) kepada perubahan positif dalam diri. Untuk melakukan perubahan adalah sesuatu yang sangat sukar dalam kehidupan manusia, apatah lagi kalau sesuatu itu telah sebati dalam diri mereka atau telah lama dilakukan sehingga ianya menjadi budaya bagi dirinya. Seperti mendedahkan aurat. Bagi sesetengah wanita yang biasa tidak memakai tudung, sehingga ia rasakan perkara tersebut sebagai perkara biasa seolah-olah bukan lagi satu dosa. Kedatangan Ramadhan sebaiknya dijadikan titik tolak memulakan kehidupan baru sebagai wanita Islam dengan memulakan memakai tudung, serta menutup aurat dengan sempurna. Mendirikan solat berjamaah dan pelbagai aktiviti bagi mendekatkan diri kepada Allah. Ia sangat ringan untuk memulakan di awal Ramadhan ini.

Keghairahan di awal Ramadhan sangat menyeronokkan, bila mana surau dan masjid dipenuhi oleh pelbagai golongan bagi mendirikan solat tarawikh. Hal ini perlu dikekalkan sehingga penghujungnya dan berterusan selepas itu. Namun yang biasa kita lihat semakin hamper ke penghujung Ramadhan, semakin berkuranglah jamaah. Sedangkan diakhir Ramadhan lah dipenuhi dengan hari-hari Allah melepaskan manusia dari azab neraka.

Persoalannya bagaimanakah untuk istiqamah. Maka empat jalan yang disarankan:

  • Lakukan amal ibadah secara sederhana, ringan tetapi berkekalan. Jangan ghairah di awal sehingga menjemukan.
  • Memikirkan banyaknya kesalahan dan dosa dengan Allah, yang menuntut kita membanyakkan bekalan amal ibadat dan bertaubat dari dosa tersebut.
  • Semua keberkatan, rahmat dan keampunan yang ada dalam bulan Ramadhan akan berakhir, maka kita mesti mengambil peluang ini sebelum ianya berakhir.
  • Mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan akhir dalam kehidupan kita, maka kita mesti mengambil kesempatan sepenuhnya.

“Ya Allah, jadikalah awal Ramadhan ini sebagai hari-hari terbaik dalam kehidupanku, dan jadikan aku orang yang sabar dipertengahan Ramadhan dan perkuatkan imanku pada akhir Ramadhan agar dengannya aku dikasihi olehMu, diampuni seluruh dosaku dan diberkati baki-baki dari umurku.” Amin…

PERUTUSAN RAMADHAN

28 Sya'ban 1431 H | 9 Ogos 2010


Al-Hamdulillah, Ramadhan datang lagi dengan penuh rahmat dan keberkatan. Marilah kita panjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dipanjangkan umur sehingga kita bertemu semula Ramadhan. Rasulullah seringkali berdoa: "YaAllah, berkatilah kami dalam bulan Syaaban, dan (panjangkan umur kami ) sehingga bertemu dengan Ramadhan.”

Betapa besarnya rahmat Ilahi bilamana kita dipanjangkan umur sehingga bertemu dengan Ramadhan. Kerana sabda Rasulullah s.a.w: “Antara Ramadhan ke Ramadhan adalah pengampunan Allah.” Maksudnya sesiapa yang dipanjangkan umur sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan, maka Allah akan mengampuni dosa-dosanya (dosa kecil). Panjang umur bukan kerja kita, ia benar-benar hak mutlak Allah; lantaran itu marilah kita mensyukurinya.

Ramadhan adalah bulan tarbiyyah dan jhad bagi pejuang-pejuang Islam. Kedatangan Ramadhan adalah proses untuk menundukkan hawa nafsu yang sentiasa bergelodak dalam jiwa untuk mengabaikan jihad dan perjuangan. Andainya hawa nafsu boleh ditundukkan dengan jalan lain (bukan berpuasa) nescaya Allah akan mewajibkannya. Namun bilamana Allah mewajibkan puasa kepada umat dahulu dan sekarang, bermakna hawa nafsu hanya dapat dikawal melalui ibadah puasa.

Sejarah jatuh bangun umat dahulu memperlihatkan betapa banyaknya tekanan musuh dan serangan yang dilakukan dalam bulan Ramadhan kerana musuh menganggap umat Islam akan lemah kerana berpuasa. Lihatlah di zaman kita serangan ke atas Iraq, Afghanistan, Bosnia dan lainnya banyak dimulakan dalam bulan Ramadhan. Bahkan kalau kita buka lipatan sejarah lampau, sejak zaman Rasulullah s.a.w hingga zaman tabieen, serangan musuh banyak tertumpu dalam bulan Ramadhan. Kerana itu, Ramadhan janganlah dijadikan alasan untuk mengabaikan jihad; kerana tarbiyah Ramadhan adalah tarbiyah langsung dari Allah, sehingga Allah menyatakan dalam hadis Qudsi: “Puasa kamu untuk ku, maka Akulah yang akan memberi balasannya.”

Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua pendokong parti agar menjadikan Ramadhan ini sebagai bulan menambahkan amalan seharian, hidupkan tadarus al-Qur’an di kalangan ahli usrah. Hidupkan majlis berbuka, tarawikh dan tazkirah di mana-mana ruang yang ada, ambillah kesempatan menderma terutamanya memberi makan kepada orang yang berpuasa, kerana Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (menyediakan makanan berbuka puasa) maka ia memperolehi pahala sebagaimana orang yang berpuasa, dan tidak kurang sedikitpun pahala puasanya.”

Namun begitu pendekkanlah masa di bazar-bazar ramadhan, dan jangan membeli juadah untuk berbuka dari tangan-tangan yang fasiq, tangan yang tidak mengerjakan sembahyang, dan tangan yang tidak takutkan Allah. Peliharalah setiap suap makanan kerana ia menjadi darah daging, dan darinya menjadi air mani yang melahirkan zuriat kamu. Kutiplah mutiara keberkatan ramadhan pada siangnya dan hidupkanlah ibadahmu pada malamnya, kerana persoalan utama bukan Ramadhan yang penuh keberkatan dan rahmat, tetapi apakah kita memperolehi keberkatan dan rahmat itu.

Salam Ramadhan Kariem.

PEMIMPIN PERLU BERANI ISYTIHAR HARTA

24 Sya'ban 1431 H | 5 Ogos 2010

KUANTAN – Pemimpin kerajaan dan parti politik perlu berani mengisytiharkan harta kepada umum sama ada harta di dalam dan juga di luar negara seperti dicadangkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammed.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, pengisytiharan harta itu menunjukkan ketelusan dan integriti seseorang pemimpin itu di dalam memiliki harta mengikut kemampuan mereka.

Menurutnya, satu badan bebas perlu diwujudkan bagi menjalankan siasatan terhadap semua pemimpin di negara ini bermula dari menteri-menteri kerajaan sehinggalah pemimpin parti-parti politik tanpa sebarang prejudis.

“Sehingga kini dua pemimpin sudah pun menyatakan kesanggupan untuk mengisytiharkan harta mereka iaitu Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Malah saya sendiri sanggup mengisytiharkan harta saya dan keluarga saya pada bila-bila masa dikehendaki,” katanya pada satu sidang media di pejabatnya, di sini semalam.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat (PR) juga sudah pun bersedia untuk mengisytiharkan harta setiap pemimpin mereka sama ada yang masih berkuasa atau pun mereka yang berhasrat mahu bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Menurutnya, dengan cara itu, rakyat boleh menilai sendiri sejauh manakah nilai integriti yang dimiliki oleh seseorang pemimpin.

“Kita (PR) sudah pun bersedia untuk isytiharkannya walaupun Kabinet masih belum memutuskan sama ada cadangan pengisytiharan harta itu perlu diumumkan kepada umum atau pun hanya perlu dimaklumkan kepada Perdana Menteri sahaja,” katanya.

Azan berkata, kebanyakan negara Komanwel sudah pun melaksanakan kaedah ini dan ia terus diguna pakai oleh kerajaan mereka sehingga kini.

Menurutnya, Malaysia juga harus mengikut jejak langkah negara-negara Komanwel yang lain bagi memastikan rakyat berpuas hati terhadap kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Mengapa perlu dilengahkan perkara ini sedangkan ia merupakan satu perkara yang baik terhadap rakyat dan juga negara. Malah ia secara langsung mampu meyakinkan pelabur asing untuk berani terus melabur di negara ini agar ekonomi negara mampu terus berkembang,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

DISKUSI ISU-ISU SEMASA

22 Sya'ban 1431 H | 3 Ogos 2010

Ikuti wawancara wartawan Harakah bersama Naib-naib Presiden. Versi penuh di sini

Apakah petua penjagaan kesihatan Naib Presiden sekalian dalam menghadapi jadual yang begitu sibuk dan ketat sekali?


TITM
: Petua penjagaan kesihatan terbaik ialah mengurangkan makan, cukup rehat dan senyum pada masalah, nescaya masalah akan senyum pada anda. Tapi yang payah apabila setiap program dihidangkan makanan yang heavy (berat), terkadang ceramah satu, makan tiga kali.


Perkara yang utama mesti ada waktu yang kita harus rehat, memenuhi hobi masing-masing. Saya mempunyai hobi memancing, ke hutan dan ke laut.

Nikmat ketenangan bila mana berada di tepi sungai yang jernih di tengah hutan, dengan air yang jernih tidak disentuh oleh pencemaran; dan jangan lupa ekspedisi memburu kelah dan sebarau....

Sesekali bawalah keluarga berkelah sama.



Adakah setiap persoalan yang diutarakan oleh pihak yang berkepentingan perlu dijawab oleh saf kepimpinan PAS? Sebab sekarang apa yang dapat dilihat ialah kebanyakan soalan-soalan atau isu yang dibangkitkan tidak logik dan ianya tidak perlu dilayan, contohnya isu penyatuan Melayu.

Sedangkan seperti yang diketahui orang Melayu sebenarnya tidak berpecah cuma orang Melayu ni mudah berkecil hati. Harap para Naib Presiden dapat memberikan komen.


Saya berpendapat tidak semua isu yang diada-adakan oleh media perdana dan diangkat oleh pimpinan UMNO perlu dilayan. Kita sebagai sebuah parti politik tidak perlu membanyakkan musuh.

Musuh kita ialah UMNO/BN. Terkadang apabila kita angkut sama semua agensi kerajaan sebagai musuh, ianya akan menghabiskan masa dan tenaga kepada perkara yang tidak sepatutnya.


Pegawai kerajaan dan institusi kerajaan yang ada bukanlah musuh bagi PAS, lantaran itu tindakan menyerang institusi kerajaan yang ada tidak menguntungkan jamaah; bahkan orang akan melihat kita menghabiskan peluru kepada bukan sasarannya.

Tambahan pula bilamana kita mendapat mandat dari rakyat, kita akan menggunakan semua agensi kerajaan sebagai mekanisma pelaksanaan perjuangan kita.



Bagaimanakah PAS dapat mempertahankan prinsip-prinsip perjuangan Islam dalam kerangka Pakatan Rakyat yang berlainan ideologi terutama DAP?


PAS sebuah parti politik berlandaskan Islam. Semua orang menyedarinya, dan di waktu yang sama kita juga menerima prinsip yang wujud dalam perlembagaan, selama mana ianya tidak bertentangan dengan dasar Islam. Prinsip ini telah diterima secara sepakat dalam Pakatan Rakyat.


Kita perlu menumpukan kepada persoalan yang menjadi agenda bersama bagi membina sebuah negara yang kita hasratkan iaitu membasmi penyelewengan, rasuah, membina jati diri rakyat dan membentuk akhlak rakyat yang menjadi nilai univesal dalam perjuangan. Di waktu yang sama kita harus menghormati dasar parti masing-masing dengan tidak menceroboh hak parti-parti dalam PR.


Islam diturun sebagai rahmat bagi seluruh alam, bukan sahaja untuk umat Islam. Terkadang istilah negara Islam membimbangkan sesetengah orang, kerana istilah itu telah dirosakkan oleh media berpuluh tahun; tetapi bilamana kita bicarakan kandungannya saya yakin semua pihak boleh menerimanya.


Apakah ada orang yang tidak setuju dengan sistem yang adil dan saksama, membasmi rasuah dan ketidak adilan dalam masyarakat, pemimpin mestilah berlaku adil dan mempunyai akhlak yang baik, tawaduk dan tidak takabur, mampu memimpin rakyat ke arah kebaikan? Itulah Islam.


Apakah nilai-nilai ini perlu dibimbangi? Cuma media telah merosakkan konsep ini; seperti ada orang yang ada darah tinggi, takut untuk memakan daging kambing, begitu juga ada orang fobia dengan Islam, kerana ia ditakutkan sebelum ia mengenal apa sebenarnya ajaran Islam.