Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: KONVENSYEN PR 2 - AMANAT TG NIK AZIZ
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



KONVENSYEN PR 2 - AMANAT TG NIK AZIZ

11 Muharram 1432 H | 18 Disember 2010

Bersempena dengan Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-2 pada 19 di Kepala Batas, Pulau Pinang ini, semua pimpinan dan perwakilan hendaklah mengambil pedoman dari falsafah kesepakatan menurut Islam, iaitu mengutamakan peri pentingnya menjaga hubungan sesama anggota di dalam Pakatan Rakyat. Ia juga bersesuaian dengan keutamaan ajaran Islam sebagai agama perpaduan, maka Konvensyen Pakatan Rakyat perlu meletakkan keagamaan sebagai asas dalam menguruskan kesepakatan politik.

Pimpinan dan perwakilan parti-parti Pakatan Rakyat yang menghadiri konvensyen itu nanti perlulah mengambil pedoman daripada maksud al-Quran yang sewajarnya dijadikan rujukan dan penghubung di dalam penyelesaian permasalahan ummah. Justeru ajaran Islam dan asas-asas keagamaan dapat dijadikan rujukan utama dalam menguruskan kesepakatan hubungan antara parti-parti Pakatan Rakyat.


Bagi PAS, amat meyakini bahawa Allah telah menciptakan manusia dalam sifat yang berbeza-beza. Misalnya, sepuluh manusia yang diciptakan Allah, didapati sepuluh kepala (pemikiran) yang bebeza. Bagaimanapun, perbezaan itu tidak akan memberi masalah sekiranya ia berpandukan ajaran Islam dan menjadikan al-Quran sebagai panduan, kerana Islam itu untuk semua kaum.

Firman Allah SWT (surah Ali-Imran ayat 103) yang bermaksud: “...dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara...”

Sewajarnya juga kita mengambil pengajaran dari sabda Nabi Muhammad SAW: “Janganlah saling benci membenci, saling iri hati dan saling membuat keracunan. Jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara, dan tidak boleh seorang Muslim menghindari saudaranya lebih dari tiga hari.”

Demikian lagi, firman Allah SWT (surah al-Maidah ayat 48), maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya”

Oleh itu, atas nama kesepakatan politik yang berpandukan hubungan antara parti di dalam Pakatan Rakyat yang mengutamakan asas-asas keagamaan hendaklah bersetuju dan bekerjasama di dalam setiap perkara yang memberi manfaat bersama untuk ummah di Malaysia hari ini. Sehubungan itu, saya yakin manusia akan selamat sepanjang hidup mereka di dunia dan sejahtera di akhirat kelak sekiranya mengikut kehendak Islam yang syumul.

Selamat berkonvensyen, semoga berjalanlah ia dengan keberkatan Allah SWT.

0 comments:

Post a Comment