Anwar telah dihukum bersalah walaupun belum dibuktikan bersalah |
KUALA LUMPUR, 15 Mei — Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menggesa pihak berkuasa syarak agar tidak hanya menjadi ‘fence sitter’ atau penonton sama seperti rakyat biasa dalam menyelesaikan isu berkaitan dengan video seks yang didedahkan trio “Datuk T” Mac lalu.
Juanda berkata, kesemua pihak yang bertanggungjawab dalam soal penguatkuasaan undang-undang - penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah - bertanggungjawab di hadapan undang-undang dan Allah s.w.t atas akujanji dan sumpah setia jawatan mereka untuk menguatkuasakan undang-undang syarak.
Oleh itu kata beliau, jika ada pihak yang bersalah atas jenayah zina atau qazaf, maka jatuhkan hukuman sama ada dalam bentuk hudud ataupun takzir.
“Kegagalan mengambil tindakan adalah salah di segi undang-undang dan berdosa di segi agama kerana khianat atas akujanji mereka. Ambillah tindakan segera kerana isu ini sudah lama merosakkan imej umat Islam, merendahkan moral masyarakat dan memperlekehkan undang-undang negara,” tegasnya.
Sehubungan itu Juanda menambah, jangan kerana akibat kelalaian mengendalikan isu ini nanti, kelak ia menjadi “paku terakhir yang dipahat” oleh umat Islam ke atas “keranda” institusi perundangan syarak.
Juanda juga mendakwa imej undang-undang syarak di Malaysia sudah cukup tercalar akibat tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang syarak dalam isu video ini.
“Pihak penguat kuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah bertanggungjawab menjaga akhlak serta memelihara moral umat Islam. Video seks adalah salah dari segi agama dan undang-undang. Mereka wajib menjalankan tugas hisbah dalam sebuah negara Islam,” katanya.
Mufti itu juga menambah, mereka wajib menjalankan tugas “amar makruf nahi munkar” agar wujud masyarakat yang berakhlak dan bermoral, bukannya membiarkan mana-mana pihak sesuka hati melakukan maksiat, berzina dan seterusnya merakam dan mengedarkan perbuatan yang amat jijik dari segi agama dan moral ini.
“Tidak ada mana-mana agama dan sistem moral yang membenarkan manusia berzina, merakamkannya dan mengedarkannya untuk tontonan umum. Kalau ada pihak yang diaibkan, maka bersihkan imej mereka melalui pelaksanaan qazaf dan kalau ada pihak yang tidak bersalah, maka bebaskan mereka. Inilah keadilan Islam untuk semua, tanpa memilih kedudukan mereka,” katanya lagi.
“Ini semua adalah tanggungjawab kita kepada negara dan agama. Rakyat sedang menilai dan memerhatikan pihak penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah, sejauhmana mereka bertindak bagi membuktikan undang-undang adalah untuk semua dan tidak bersifat memilih bulu dalam tindakan yang diambil.
“Kita semua wajib memelihara imej agama, negara dan undang-undang kita. Sepatutnya pihak polis, penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah Wilayah Persekutuan tempat perkara ini berlaku mengambil tindakan segera dan tegas kerana ini adalah perbuatan jenayah syarak yang amat nyata,” jelas beliau.
Juanda menambah, pelaksanaan sama ada hukum hudud, qazaf atau takzir boleh difikirkan oleh penguat kuasa syariah dan mahkamah syariah.
“Penguatkuasa syariah, pendakwa syarie dan mahkamah syariah mesti tegas dan cepat bertindak kerana isu ini sudah lama meresahkan umat Islam,” kata Juanda. - themalaysianinsider
0 comments:
Post a Comment