Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: 'PRODUK' BARU INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



'PRODUK' BARU INDUSTRI PELANCONGAN NEGARA


14 Rabi'ul Awal 1432 H | 17 Februari 2011

Menteri Pelancongan melahirkan kebimbangan dengan tindakan Dewan Pemuda PAS melaksanakan pemeriksaan ke atas remaja yang melakukan maksiat sempena 'Valentine Day' pada malam 14hb Feb lalu. Di antara alasannya ialah kebimbangan tindakan ini akan mengurangkan kehadiran pelancong ke Malaysia.

Memandangkan industri pelancongan domestik berkembang dengan pesat kini, dicadangkan satu lagi produk baru industri negara, iaitu pelancongan politik.

Selepas PRU ke 12, kita dapati telah ada 14 kali PRK dan dua lagi menunggu di Merlimau dan Kerdau. Setiap kali PRK diadakan menyaksikan pelbagai aktiviti yang turut sama menjana ekonomi setempat, dan ini merupakan tarikan baru bagi menjana ekonomi.
Semua bersetuju bahawa budaya politik Malaysia ialah menimbunkan pelbagai projek bila mana adanya PRK dan keadaan ini sangat menggembirakan penduduk di kawasan terbabit. Projek yang sukar diperolehi pada waktu biasa dengan pelbagai alasan, akan dapat dengan mudah bila mana adanya PRK. Bahkan pemimpin dengan bangga mengisytiharkan peruntukan jutaan ringgit bagi mendapatkan sokongan pengundi pada waktu ini. Maka tidak hairan kalau ada penduduk berdoa agar wakil rakyat di kawasannya meninggal dunia lebih awal, kerana ini akan menguntungkan mereka.


Apa yang menarik juga ialah kedatangan ‘pelancong politik’ pada hari penamaan calon, hari pengundian dan hari-hari berkempen.  Keadaan ini tentunya akan meningkatkan pendapatan peniaga dan penduduk setempat. Bayangkan sewa rumah untuk petugas, yang biasanya kalau kawasan Kerdau, Galas, Tenang dan Batang Ai yang hanya RM150.00-RM200.00 sebulan telah mencecah ke RM4,000 sebulan. Maka ia benar-benar mendatangkan hasil lumayan kepada penduduk setempat.

Demikian juga industri makanan, restoran dan percetakan tentulah lebih lumayan sepanjang tempoh tersebut. Tidak terkecuali para kontraktor dan pencacai politik murahan akan mendapat habuan masing-masing daripada wang rakyat ini. Di atas nama menghadapi PRK, ianya adalah ‘permit mudah’ bagi menghalalkan perbelanjaan wang negara. Oleh itu 'produk' ini seharusnya ‘dikembangkan’ supaya ianya menjadi produk tetap sepanjang  5 tahun tempoh PRU.



Kerajaan boleh memberi beberapa cadangan bagi suasana ini dapat berterusan sepanjang tempoh tersebut, dengan meletakkan syarat kepada bakal-bakal calon dalam PRU. Antara kategori yang boleh dicadangkan ialah:
  • Calon mesti berumur 70 tahun ke atas.

  • Mempunyai masalah kesihatan yang serius, dan yang berulang alik ke hospital digalakkan, dicadangkan ada KPI bagi jumlah rawatan diterima.

  • Mereka yang mempunyai kencing manis lebih daripada bacaan 20 digalakkan.

  • Mempunyai masalah ginjal, dan sekurang-kurang dua kali semingu ke hospital adalah lebih baik. Kerana setiap kali berita YB masuk hospital, akan dapat liputan media, dan ini dapat memberi peluang kepada penduduk untuk membuat persiapan awal.

  • Mempunyai masalah jantung; dan mereka yang belum menjalani pembedahan jantung digalakkan.

  • Calon yang ada bebanan hutang, kerana hal ini akan memberi peluang kepadanya untuk songlap duit rakyat, dan melakukan rasuah; lalu mahkamah menjatuhkan hukuman yang akan menghilangkan kelayakan sebagai wakil rakyat; dan PRK akan diadakan.

  • Menerima terus mana-mana kerusi yang diistiharkan kosong oleh speaker, kerana apa yang penting PRK akan menjana ekonomi untuk rakyat-barulah sesuai dengan slogan rakyat didahulukan.

  • Mereka yang mempunyai penyakit kulit seperti panau, kurap dan gaout tidak digalakkan bertanding, kerana ianya tidak akan menjadi berita penting bagi satu-satu kawasan pilihanraya.
Seandainya cadangan tersebut dianggap terlalu akstrem, maka dicadangkan SPR memikirkan satu kaedah baru bagi memperbaiki sistem politik di Malaysia agar rakyat lebih tenang menghadapi hari-hari mereka.

0 comments:

Post a Comment