"ROS guna fakta dan dakwaan aneh!" |
PETALING JAYA 19 MEI: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) perlu membatalkan pendaftaraan Umno terlebih dahulu sebelum membatalkan permit PKR.
Ini kerana, Umno-Barisan Nasional (BN) sebelum ini telah memecat beliau pada September 1998 tanpa dipanggil untuk membela diri oleh jawatankuasa disiplin parti itu.
Justeru menurut beliau, sekiranya RoS ingin membatalkan permit PKR kerana bertindak memecat keahlian A. Jayagopal setelah melanggar perlembagaan parti, maka agensi kerajaan itu juga seharusnya membatalkan pendaftaran Umno.
"Contoh, September 1998, Saifuddin dipecat daripada Umno tanpa dipanggil membela diri atau mengadap jawatankuasa disiplin di bawah Tun Zaki Azmi. Saya adalah jawatankuasa disiplin Umno.
"Dua minggu selepas Datuk Seri (Anwar) dipecat, saya pula dipecat tetapi tidak dipanggil. Jadi kalau pemecatan anggota parti tanpa melalui Lembaga Disiplin, RoS juga patut batalkan pendaftaran Umno. Hantar surat macam ini juga kepada Umno pada tahun 1998," ujar beliau.
Saifuddin yang ditemui media sebelum itu memperjelaskan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mengemukakan notis bertarikh 9 Mei 2011 mengugut untuk membatalkan pendaftaran parti itu.
Alasan yang dikemukakan pertubuhan itu mendakwa PKR dengan sengaja melanggar Fasal 32.2.1 Undang-undang Berdaftar Parti kerana memecat keahlian seorang anggota parti yang bertanding tanpa mendapat watikah perlantikan daripada parti.
Jelasnya lagi beliau tidak menyesal dipecat oleh Umno-BN kerana menyebelahi bekas Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang difitnah oleh kerajaan pimpinan Tun Mahathir Mohamed berikutan dakwaan liwat terhadap bekas pemandunya Azizan Abu Bakar.
"Itu jelas saya masih ingat. Saya menerima surat daripada Setiausaha Agung, Sabaruddin Chik. Bukan mahu ungkit tapi mahu menyebut fakta. Saya tidak menyesal," katanya lagi. - tvselangor.com
1 comments:
BN /UMNO makin kalut dengan kuasa . Akan gunakan apa yang ada untuk menghalang kebangkitan rakyat seperti kata PM.
Post a Comment