Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: SELARAS FATWA AGAR TIDAK JADI BAHAN GURAUAN
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)



SELARAS FATWA AGAR TIDAK JADI BAHAN GURAUAN

23 Jamadil Awal 1432 H | 26 April 2011
PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan, kerana fatwa bukan untuk menjaga hati mana-mana pihak tetapi ia berdasarkan garispanduan yang mengikuti peraturan syarak.

Kita kesal bilamana golongan yang tidak mempunyai asas agama dalam memahami kaedah syarak mempertikaikan sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan. Apakah mereka membuat kajian, penelitian dan memahami kaedah pengambilan sesuatu hukum, sehingga mempertikaikannya?

Persoalan ini timbul akibat kegagalan kerajaan melalui kementerian menjadikan mata pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras dalam mana-mana peperiksaan, sehingga golongan jahil berani mempertikaikan pandangan Majlis fatwa.


PAS juga mencadangkan agar sesuatu fatwa yang ingin diputuskan dapat diselaras terlebih dahulu, walau ianya berada dalam bidang kuasa negeri; kerana tindakan dan fatwa yang berbeza akan menyusahkan rakyat. Biasanya kalau asas pengharaman itu sama, maka tidak timbul fatwa berbeza antara negeri-negeri.


Tetapi akibat tiadanya penyelarasan antara ahli-Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan menyebabkan ada negeri terlalu 'laju' dalam memberi fatwa, sedangkan implikasi fatwa itu sangat besar.


Seperti Pahang mengharamkan merokok, sedangkan negeri lain belum mengharamkannya. Ini bermakna kalau seseorang menghisap rokok, bilamana ia melepasi terowong ke Pahang mesti dipadamkan rokoknya. Akibatnya fatwa akan jadi bahan gurauan dan mainan. Ini akan merendah-rendahkan sesuatu fatwa itu.


Beliau turut berkata perkara yang sama turut berlaku dalam isu fatwa tarian poco-poco di mana Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria telah terlebih dahulu memutuskan bahawa tarian poco-poco adalah haram untuk orang Muslim di negeri Perak telah menimbulkan pelbagai pertikaian daripada pelbagai pihak.

Perkara ini menjadi lebih mengelirukan untuk umat Islam, Jumaat lalu, apabila Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipetik sebagai berkata bahawa umat Islam boleh mengamalkan tarian atau senaman itu selagi mematuhi panduan termasuk etika berpakaian, tiada pergaulan bebas, mistik, ritual, kebatinan, tahyul dan khurafat yang boleh jejaskan akidah.

Walaupun berbeza dengan fatwa negeri Perak, Abdul Shukor turut dipetik sebagai berkata bahawa jawatankuasa itu menghormati keputusan negeri tersebut untuk mengharamkan poco-poco sejak Januari lalu.

Namun begitu, perkara ini dinafikan Harrusani hari ini.

Harussani terkejut

“Dalam mesyuarat kita tidak bincangkan langsung pasal tarian poco-poco, apa yang berlaku saya hanya memberikan penerangan kenapa ia diharamkan, kita tidak bincangkan secara umum isu ini.

“Sebab itu saya terkejut apabila dalam akhbar kata Majlis Fatwa Kebangsaan benarkan tarian poco-poco di negeri lain, kita tidak bincangkan pun perkara ini... jadi bagaimana boleh kata macam itu,” kata Harussani (gambar) yang dipetik The Malaysian Insider, sambil menambah bahawa beliau sudah mendapatkan penjelasan Abdul Shukor dan dimaklumkan media telah salah faham.

Dalam pandangannya terhadap perkara ini, Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa fatwa bukan direka untuk menjaga hati mana-mana pihak dan dibuat berdasarkan garis panduan yang mengikuti peraturan syarak.

“Oleh itu, PAS menggesa seluruh umat Islam menghormati sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan,” katanya. - Harakahdaily

0 comments:

Post a Comment