Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: PAS PAHANG SERAH MEMORANDUM BANTAHAN KEPADA MUFTI PAHANG
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

PAS PAHANG SERAH MEMORANDUM BANTAHAN KEPADA MUFTI PAHANG

27 Rejab 1432 H | 28 Jun 2011


MEMORANDUM MEMBANTAH PENYIARAN KARIKATUR MENGHINA ISLAM OLEH AKHBAR UTUSAN MALAYSIA
  
KEPADA:

SOHIBUS SAMAHAH
YH DATO` HAJI ABD RAHMAN BIN HAJI OSMAN.
DSAP.DIMP.SMP.AMP.PKC

MUFTI KERAJAAN NEGERI PAHANG


OLEH
  PAS NEGERI PAHANG
 26 REJAB 1432 / 28 JUN 2011

Assalamualaikum w.r.t

Muqadimah
Merujuk kepada pelbagai isu yang mencemar kesucian agama Islam yang sering dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan yang terbaru, membabitkan penyiaran karikatur berbau penghinaan Islam oleh akhbar Utusan Malaysia pada 15 Jun 2011.

Memorandum bantahan diserahkan kepada
Sohibus Samahah Mufti Pahang
Oleh sebab kesan daripada penyiaran tersebut telah menimbulkan kegelisahan yang amat mendalam kepada umat Islam khususnya dan masyarakat keseluruhannya maka sesuatu tindakan yang wajar dan berkesan perlu diambil oleh pihak berwajib.

Ybg Datuk,

Sama ada penyiaran lakaran karikatur itu disengajakan atau tidak disengajakan atau sama ada mereka sedar ianya suatu penghinaan terhadap Islam atau pun mereka tidak menyedarinya, namun penyiaran karikatur tersebut telah menyebabkan berlaku kekecewaan, kegelisahan dan ketidaktenteraman masyarakat keseluruhan dan khasnya kepada umat Islam.

Akhbar Utusan Malaysia adalah akhbar antara yang tertua di negara ini dari segi penerbitannya. Penyebarannya begitu meluas. Namun akhir-akhir ini mereka menunjukkan sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap penyiarannya apabila menerbitkan banyak artikel sensitif membabitkan isu agama dan moral.

Penyiaran lakaran karikatur serta minat yang mendalam dengan menjaja bahan berunsur porno (kelucahan melampau) seperti isu video seks, memuatkan berita-berita yang boleh mendatangkan ketegangan kaum secara melampau telah merosakkan usaha memelihara kesucian agama Islam,  pembinaan akhlak umat serta perpaduan kaum di negara ini.


Ybg Datuk,

Dalam penyiaran lakaran karikatur tersebut, akhbar Utusan Malaysia telah membuat perbandingan salah mengenai kaedah perlaksanaan hukuman jenayah rogol.

Gambar pertama dipaparkan dengan merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan tok’ penghulu yang berimejkan seorang alim. Tok Penghulu tersebut telah menolak aduan wanita itu kerana tidak mempunyai empat orang saksi walau pun ia hanya mempunyai rakaman kejadian menggunakan `handphone`.

Sebaliknya, gambar bersebelahan pula merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan seseorang yang digambarkan sebagai anggota polis. Pihak polis menerima rakaman `handphone` untuk bukti aduan rogol tersebut.

Ybg Datuk,

Maksud dalam gambaran yang diberikan oleh karikatur tersebut adalah jelas bertentangan dengan perjalanan hukum syariah yang sebenar. Keadaan ini jika dibiarkan akan menimbulkan berbagai-bagai persepsi buruk masyarakat terhadap Islam.

Lebih membimbangkan lagi apabila ada di kalangan umat Islam terpengaruh dengan gambaran yang diberikan sehingga boleh merosakkan aqidah umat Islam itu sendiri yang sepatutnya dipelihara oleh semua pihak.

Ybg Datuk,

PAS Negeri Pahang menaruh harapan yang amat tinggi dan begitu berbesar hati agar pihak Datuk dan pihak  berkuasa agama dapat memanjangkan isu ini ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu untuk dipertimbangkan.  PAS Negeri Pahang juga berharap semoga tindakan yang berkesan dapat diambil bagi memelihara kesucian agama Islam dan kesejahteraan hidup rakyat.

Kami juga suka menyarankan supaya pihak berkuasa agama dapat menyediakan garis panduan syariah bagi mengawal dan mengawasi bahan-bahan penyiaran pelbagai media di negara ini.

Justeru itu saya bersama Ahli Jawatankuasa PAS Negeri Pahang mengajukan memorandum ini untuk dipertimbangkan. Bersama ini juga kami lampirkan keratan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan lakaran karikatur sebagaimana yang dimaksudkan.

Bagi pihak PAS Negeri Pahang, sekali lagi kami mengucapkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat  Allah serta penghargaan yang tinggi kepada Datuk  atas kesudian  menerima   memorandum yang kami sediakan ini.  Ia  bertujuan untuk menjaga kepentingan dan kesejahteraan umat Islam keseluruhannya.

Sekian, terima kasih. 

Dato` Tuan Ibrahim Tuan Man
Pesuruhjaya  PAS Negeri Pahang.

0 comments:

Post a Comment