Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: FAHAMI PERLEMBAGAAN, KETAHUI HAK ANDA
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

FAHAMI PERLEMBAGAAN, KETAHUI HAK ANDA

29 Rejab 1432 H | 30 Jun 2011

PAS menggesa orang awam yang menyokong Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih)  2.0 untuk mengambil inisiatif untuk membaca dan memahami Perlembagaan Persekutuan negara untuk mengetahui hak masing-masing untuk berdepan dengan fobia Kementerian Dalam Negeri yang dikawal Barisan Nasional menjelang perhimpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan 9 Julai ini.

Dengan memahami Perlembagaan Persekutuan negara, orang awam boleh mengenal pasti dan sedar apabila batasan hak mereka yang termaktub di dalam perlembagaan telah dicabuli.


Sebagai contoh yang muktahir, dengan adanya pengetahuan mengenai perlembagaan persekutuan, orang awam akan tahu bahawa kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bahawa ia
satu kesalahan bagi mana-mana individu yang memakai baju Bersih 2.0, adalah sesuatu yang tidak berlandaskan undang-undang dan juga perlembagaan negara.


Baru-baru ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia telah menegaskan bahawa Bersih 2.0, Pemuda Umno, Perkasa dan orang ramai mempunyai hak untuk berhimpun dan menyuarakan pandangan secara aman, sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.



Dengan memahami perlembagaan persekutuan, orang awam juga akan tahu dan sedar bahawa larangan polis terhadap mereka untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0 tanpa sebarang gangguan dan provokasi adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) dan Perkara 20(1) Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang dinyatakan pihak Suhakam.


Untuk memahami Perlembagaan Persekutuan, PAS mencadangkan agar orang awam untuk mendapatkan Buku Panduan Rakyat Perlembagaanku@MyConstitution – hasil terbitan satu kempen usaha murni Majlis Peguam untuk mendidik orang awam untuk memahami perlembagaan secara lebih mudah dan efektif.


Memandangkan pihak polis telah menerima arahan untuk menahan sesiapa saja yang disyaki menyokong Bersih 2.0, PAS juga menyeru orang awam yang menyokong Bersih 2.0 untuk mengetahui hak-hak mereka apabila ditahan polis seperti yang tercatat dalam Buku Merah terbitan Majlis Peguam.


PAS juga meminta jasa baik orang awam untuk berkongsi maklumat mengenai Buku Merah dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengedarkannya dalam bentuk bercetak, Facebook, emel dan Twitter kepada keluarga-keluarga dan rakan-rakan sekalian.

Tindakan ini bukan untuk melawan polis, tetapi untuk menjaga hak-hak mereka supaya tidak dicabuli polis, yang terpaksa bertindak atas arahan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang masih bermimpi ngeri mengenai lautan kuning Bersih 2007.

Muat turun Buku Merah

0 comments:

Post a Comment