Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: GUNA DAKWAT KEKAL, ELAK PENGUNDIAN BERULANG
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

GUNA DAKWAT KEKAL, ELAK PENGUNDIAN BERULANG

64 pengundi pelbagai bangsa didaftarkan di alamat
1138 Kg. Bagan Serai, Parlimen Permatang Pauh
1 Sya'ban 1432 H | 2 Julai 2011

SHAH ALAM 2 JULAI : Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dicabar supaya tampil dengan bukti kukuh bahawa "hampir mustahil" seorang pengundi boleh membuang undi sebanyak dua kali pada satu-satu pilihan raya.

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu Wan Ahmad bukan hanya berhujah lantang, sebaliknya membuktikan kata-kata beliau berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini.    

"Soal mustahil atau pun tidak itu adalah pandangan SPR yang tidak dikemukakan dengan bukti dan asas yang kukuh, saya ingin mencabar SPR untuk menjawab beberapa siri pendedahan yang dikemukakan yang terdapat pengundi mengundi lebih daripada sekali,"cabar Shamsul. 


Menurut Shamsul,situasi sebegini sering berlaku apabila menjelang pilihan raya, seperti yang berlaku pada tahun 2010 di Pulau Pinang apabila isteri-isteri tentera telah didaftarkan sebagai pengundi pos tanpa kebenaran mereka. 


Taktik ini katanya tidak mustahil akan digunakan sekali lagi pada pilihan raya umum ke 13 untuk memenangkan kerajaan pemerintah.


Oleh itu menurut Shamsul, Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) dan Pakatan Rakyat punya asas yang kukuh apabila mahu penggunaan dakwat kekal direalisasikan di negara ini bagi mengelak hal sama berulang. 


Walau bagaimanapun, saranan itu disambut hambar oleh SPR. 



"Sebab itulah Pakatan Rakyat meminta dan mendesak supaya SPR menggunakan teknik untuk mempertingkatkan lagi ketelusan mereka menggunakan dakwat kekal tetapi sehingga sekarang SPR tidak berani untuk melaksanakan dasar tersebut walaupun dalam pilihan raya yang lalu secara prinsipnya mereka telah bersetuju untuk melaksanakan (tetapi dibatalkan) kononnya dengan alasan dakwat itu terlalu mahal,"kata Shamsul lagi. 

Jelas beliau, situasi seperti ini boleh berlaku apabila terdapat nama pengundi di dua lokaliti berlainan, biasanya nama mereka ini terdapat dalam dua DUN 
yang berlainan malah mungkin dalam negeri yang berlainan.

Beliau juga tidak menolak cubaan SPR dalam memperbodohkan rakyat apabila menggunakan alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menidakkan pilihan raya yang 
telus.   

"Banyak kenyataan-kenyataan yang saya fikir bersifat seolah-olah memperlekeh dan memperkecilkan kebijaksanaan rakyat kerana kita (Pakatan Rakyat) melihat dalam konteks yang lebih besar. Apa yang ingin kita tentukan adalah satu perubahan dalam sistem pilihan raya,"ujar beliau.

Tegasnya SPR adalah satu badan yang bebas dan berasaskan kepada perlembagaan negara yang seharusnya bersifat telus. 
Malah badan itu perlu menjadikan amalan penambahbaikkan dalam mewujudkan sistem yang adil dan tidak terikat kepada kerajaan pemerintah. - tvsnews.net

0 comments:

Post a Comment