Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: KEPADA SIAPA RAKYAT HENDAK MENGADU?
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

KEPADA SIAPA RAKYAT HENDAK MENGADU?

25 Sya'ban 1432 H | 26 Julai 2011

Kematian Allahyarham Baharudin Ahmad, 58 telah mengejutkan negara, lebih-lebih lagi dengan pendedahan pihak polis yang menyatakan bahawa arwah meninggal dengan tiga tulang rusuk dan giginya patah. Sedangkan pada awalnya polis juga mengeluarkan kenyataan bahawa arwah meninggal kerana serangan jantung.

Namun, menurut anak Allahyarham, Mohd Nasrul, keluarganya masih tertanya-tanya bagaimanakah polis mendapat fakta berhubung sebab kematian lelaki yang meninggal dunia semasa menyertai perhimpunan BERSIH 2.0 di KLCC, Kuala Lumpur dua minggu lalu sedangkan pihak keluarga sendiri masih belum menerima laporan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah. Bukan itu sahaja, dalam menguatkan hujah mereka, polis telah memaparkan gambar 'Baharuddin' memegang dadanya semasa perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu. 


Kini, rakyat sedang bertanya... 
“Kepada siapakah yang boleh diharapkan supaya keadilan dapat ditegakkan dalam kes seumpama mendiang Teoh Beng Hock, Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, mendiang A.Kugan dan yang terkini arwah Baharuddin?”


Nak mengadu pada pihak berkuasa, tetapi yang menyiasat juga ialah pihak berkuasa dan perkakas yang tidak berani melawannya. Rakyat kini susah hendak menerima hasil siasatan pihak berkuasa, terutamanya apabila pihak berkuasa yang menerima aduan turut terpalit dalam kes-kes tertentu untuk menghukum mereka sendiri.


Paling hebat ditubuhkan Suruhanjaya Diraja – sekiranya satu hari nanti Suruhanjaya Diraja juga hilang kewibawaan, maka akan ditubuhkan Suruhanjaya Khas pula. Lambat-laun segalanya gagal mendapat kepercayaan rakyat apabila mereka menyedari hakikat yang terang lagi bersuluh bahawa semuanya telah dicemari dengan campur tangan para pemimpin Umno dan Barisan Nasional di belakang takbir. 


Bahkan, kerajaan boleh berusaha untuk mengubah nama institusi-institusi dengan pelbagai nama sekalipun, namun hakikatnya semua itu hanyalah perubahan komestik kerana realitinya sistem negara telah punah kerana ia dipimpin oleh UMNO-Barisan Nasional yang telah punah struktur asasnya. Ia tidak lebih umpama bangunan yang telah dimamah anai-anai, walau kelihatan dari luarnya kukuh, sebenarnya ia hanya menunggu masa untuk rebah menyembah bumi.


Kepincangan serius ini menuntut sesuatu tindakan untuk dilakukan segera agar institusi-institusi yang disandar rakyat bagi menuntut keadilan dan hak mereka dapat terus diyakini. 


Disebabkan itu, PAS mengingatkan rakyat bahawa keadilan hanya dapat diperolehi daripada satu sistem yang adil dengan syarat sistem yang adil tersebut dilaksana oleh pimpinan yang adil. 
Diharapkan rakyat sudah bersiap sedia untuk melangkah ke arah perubahan tersebut di PRU ke 13 nanti.

0 comments:

Post a Comment