Blog Rasmi Ketua Penerangan PAS Pusat: JANGAN BOHONG KEPADA RAKYAT
DANA PRU13 PAS PAHANG - Sumbangan boleh disalurkan melalui DANA TAQWA PAS PAHANG (BIMB : 0602 8010 0417 06) @ DANA PILIHANRAYA PAS PAHANG (MAYBANK : 5560 5750 2013)

JANGAN BOHONG KEPADA RAKYAT

23 Sya'ban 1432 H | 24 Julai 2011

Rata-rata generasi hari ini adalah generasi pasca merdeka, yang tidak merasai keperitan perjuangan menuntut kemerdekaan negara. Ratusan perajurit terkorban melawan komunis yang mengambil alih negara beberapa minggu bertindak ganas terhadap penentangnya, lalu mereka digelar pengganas komunis.

Era selepasnya mencatatkan sejarah besar susah payah pemimpin mengembeling tenaga bersatu dengan mengorbankan kepentingan parti mereka. 
Gabungan Barisan Nasional ini telah memberi harapan baru kepada rakyat. Namun rasa curiga khususnya di kalangan UMNO terhadap perkembangan PAS menyebabkan akhirnya PAS ditendang keluar. Akibatnya PAS hilang pengaruh, hilang rakan seperjuangan dan hanya memenangi satu kerusi parlimen oleh Tn Guru Nik Abdul Aziz.

Era tersebut telah menjadi sejarah negara walau tiada buku sejarah yang diajar di sekolah. Kita banyak menyembunyikan fakta sejarah kecuali yang menyebelahi parti pemerintah. Sampaikan fakta kemenangan PAS di Terengganu seolah-olah dibuang dalam sejarah Terengganu. Kenapa kita jujur dalam ilmu, sehingga akhirnya rakyat yang mengetahui akan membohongi sejarah?



Kini wujud generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Kerajan tidak seharusnya menilai rakyat di era 80-an walaupun radio Nasional cuba mengembalikan nostalgia lama. 
Rakyat yang menyedari mereka ditipu di Felda bertahun-tahun, kini bangkit menyaman Felda. Dan mereka memenanginya.

Jangan tuduh peneroka tidak mengenang jasa. Perbetulkan sistem yang menindas mereka, adil terhadap peluh jerih mereka. Mereka bukan pemberontak. Mereka hanya menuntut hak.

Sayangnya, kerajaan yang ada masih berfikiran lama menyebabkan jurang semakin melebar. 
Di saat syarikat besar dengan bangga membentangkan keuntungan berbilion ringgit, rakyat melihat kehidupan mereka semakin terhimpit. Tarif elektrik semakin naik, tambang haji semakin tinggi, harga minyak semakin meningkat dan kenaikan kadar inflasi sangat ketara.

Kerajaan hanya melihat angka di atas kertas, tetapi rakyat menghitung setiap sen dan ringgit yang terpaksa mereka belanjakan. Di saat rakyat mencengkam perut, pemimpin mempamerkan kemewahan hidup dengan barangan berjenama. Kunjungan pemimpin ke kampung dengan janji bulan dan bintang, rakyat miskin terpesona dengan ucapan dan janji yang hanya tinggal janji. 


Kalau mereka berhimpun membantah kenaikan harga barang, mereka akan dicop pro pembangkang. Kalau mereka bantah kenaikan tol dan saman ekor, mereka dicemuh sebagai golongan yang melanggar undang-undang. Kini mereka berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka, iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih, mereka dicop sebagai himpunan haram.

Apa yang dilakukan kerajaan semuanya betul, rakyat semuanya salah. Kerajaan boleh lakukan apa sahaja, kerana mereka menguasai media. Tapi kerajaan harus ingat hari ini hanya 40% rakyat yang percaya media perdana! 


Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar, mereka sayangkan negara. Mereka benci pemimpin ego, sombong, tamak, rakus dan zalim. Rakyat tidak akan khianat kalau kekayaan negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kerajaan jangan lagi berbohong dengan rakyat yang bermaklumat.

Tanyalah pegawai kerajaan tentang pendapatan mereka berbanding kos hidup mereka. Tanya keluhan rakyat miskin di desa dengan segala kepayahan mereka. Kerajaan tidak perlu keluar statistik bantuan kebajikan masyarakat, mereka bukan nak dengar semua itu. Mereka dukacita Malaysia pengeksport utama minyak sawit dan getah, dan negara kita dilimpahi bahan galian - minyak, gas, emas, bijih, arang batu, bijih besi dan seribu sumber. Rakyat kita sikit, tetapi kenapa kehidupan semakin terhimpit.


Kerajaan kena dengar rintihan rakyat, kena terima hakikat atau rakyat akan hukum dalam pilihanraya atau melalui jalan himpunan protes dan kehilangan kepercayaan kepada kerajaan yang ada.


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

0 comments:

Post a Comment